Cuba Banding

Wednesday, July 13, 2011

Tiada lagi syarikat 'penyelamat' bagi Hospital Shah Alam updated 12.34 pm July 13


Tiada lagi syarikat 'penyelamat' bagi Hospital Shah Alam
Hazlan Zakaria
Jul 13, 11
12:34pm
Kongsi 24
Usaha mencari kontraktor baru bagi 'menyelamatkan' pembinaan Hospital Shah Alam terus buntu dengan kali ini Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak bersependapat dengan kontraktor pilihan masing-masing.

Bulan lalu, kementerian berkenaan menolak cadangan JKR bagi melantik sebuah syarikat tempatan Gadang Engineering (M) Sdn Bhd bagi menerusi projek yang terbelangkai itu.

shah alam hospital under construction 2Gadang adalah kontraktor utama kerajaan dan telah membida projek awam bernilai RM2 bilion pada tahun lalu sahaja.

“Permohonan JKR bagi melantik Gadang ... tidak diluluskan. Pendirian Kementerian Kewangan sebelum ini kekal,” kata kementerian itu dalam sepucuk surat bertarikh 17 Jun yang sesalinannya diperolehi oleh Malaysiakini.

Surat itu ditandatangani oleh seorang pegawai tinggi kementerian berhubung permohonan JKR bertarikh 2 Jun itu.

Sebelum ini, kementerian juga menolak permohonan syarikat lain pilihan JKR selepas mengadakan tender semula.

Pada surat bertarikh 17 Jun, kementerian meminta proses tender tertutup diulang semula dan dimasukkan nama dua lagi syarikat yang dibenarkan untuk membida.

NONEDua syarikat itu adalah - GMH Healthcare Sdn Bhd dan Frontier Structure Sdn Bhd - mereka adalah subkontractor asal projek ini sebelum masalah pembayaran menyebabkan pembinaan hospital itu tersekat.

Kontraktor utama bagi projek terbelangkai ini adalah Sunshine Fleet Sdn Bhd. Namun syarikat itu gagal menyelesaikan kerja-kerja binaan setelah menghadapi masalah membayar subkontraktornya. Ini menyebabkan kontrak Sunshine Fleet ditamatkan.

Zulkifli Sulong

Anak saya salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjur Himpunan Sejuta Belia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kebetulan sahabat lama saya.

Namun, kerana arah tuju dan cara penganjuran perhimpunan itu, anak saya telah menarik diri dari jawatankuasa itu pada minggu kedua menjelang hari perhimpunan itu. "Mereka cuba tarik belia dengan hiburan, bukan dengan minda," katanya. Kerana penglibatannya dalam program itu, ramailah rakan-rakannya dari kalangan ini, penyokong agenda Umno.

Apabila datang isu Bersih 2.0, anak saya secara main-main dan bergurau meletakkan statusnya di facebook, dia akan menyertai semua program anjuran Bersih itu. Rupanya, ia telah memanggil rakan-rakannya dalam jawatankuasa 1 juta belia untuk membuat komen-komen menarik tentang isu Bersih.

(Perhimpunan 1 juta belia yang dihadiri tidak sampai 100,000 belia)

Antara komennya adalah "kenapa menyokong Bersih yang diketuai oleh Datuk S Ambiga itu." Lalu dikaitkanlah Ambiga adalah peguam Lina Joy dan penyokong IFC (Inter Faith Commision).

Sebenarnya inilah isu Bersih di kalangan Umno dan penyokong tegar mereka sebenarnya. Ia tidak ada bezanya dengan apa yang dibawa ke minda para anggota keselamatan yang bertugas di hari 9 Julai lalu. Ramai peserta Bersih yang ditangkap disumpah seranah oleh para rakan-rakan polis kononnya padan dengan muka kamu kerana mengikut telunjuk Ambiga yang Hindu itu dan cuba memurtadkan umat Islam itu.

Sekali pandang, kita yang berfikiran waras akan tergelak mendengar hujjah itu. Tetapi kerana kesian kepada mereka yang sudah terperangkap dengan indoktrinasi ini, kita perlu memahamkan mereka apakah sebenarnya yang berlaku dan pemikiran bagaimanakah yang benar.

Saya menerima email ini dari seorang pembaca Harakahdaily:

Assalamualaikum

Saya ada mendengar desas – desus , Pemimpin BERSIH 2.0 Datuk Ambiga merupakan peguam Lina Joy yang murtad. Dia juga antara individu yang menyokong IFC.

Jika benar , macam mana boleh PAS sokong dan mengangkatnya sebagai ketua BERSIH, walhal terang lagi nyata dia musuh ISLAM. Allah berfirman 14 kali dalam al-Quran jangan kita mengangkat kafir menjadi pemimpin kita.

Wallahualam.

Email ini ringkas sahaja tetapi inilah yang cuba dihantar ke dalam pemikiran masyarakat oleh Umno sekarang. Isu inilah dimainkan oleh rakan-rakan anak saya yang menyokong Himpunan 1 Juta Belia itu di wall facebooknya. Ia juga digunakan oleh polis yang menyergah para peserta perhimpunan Bersih 9 Julai dan juga blog-blog pro Umno.

Kepada penghantar email ini, saya telah menjawabnya secara ringkas sebagaimana berikut:

Tuan,

Saya tak tau dia peguam Lina Joy atau tidak tetapi yang pasti Ambiga juga peguam saya dan Datuk Husam Musa dalam kes lawan ECM Libra. Apakah dia penyokong negara Islam yang PAS bawa hanya kerana menjadi peguam kami. Sebenarnya tidak begitu, dia hanya seorang peguam bukan Islam beragama Hindu dan percaya kepada hak asasi manusia. Dia jadi pengerusi Bersih bukan di angkat PAS tetapi oleh 62 NGO untuk perjuang pilihanraya yang adil ada bersih (bebas) ... PAS hanya salah satu penyokong Bersih bukan (yang) lantik Ambiga.

ZS

Inilah yang sebenarnya. Inilah yang telah mengikat ratusan ribu rakyat Malaysia dan antarabangsa pada 9 Julai lalu. Kita bersatu bukan kerana kita satu agama atau satu bangsa tetapi kerana satu tujuan yang universal iaitu untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Ini kerana, dengan pilihan raya yang adil dan bersih sahaja kita akan mengangkat pemimpin dan membentuk kerajaan yang terbaik untuk kita.

Ketika Bersih membentangkan agenda perubahannya di Dewan Pehimpunan China, semua pihak telah dipanggil untuk memberikan sokongan kepadanya termasuklah parti-parti politik. Yang dijemput adalah Umno, MCA, MIC di samping anggota Pakatan iaitu PAS, DAP dan juga PKR.

Namun pada hari itu, kerusi yang dikhasnya untuk Umno, MCA dan MIC kosong sahaja tanpa penghuni. Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi datang ke majlis itu dan diberikan masa 3 minit sahaja untuk berucap. Para pemimpin NGO yang banyak berucap.

Di majlis itulah, Bersih membentang lapan tuntutan dalam agenda perubahan yang hendak dibuatnya. Lapan agenda itu adalah:

Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Cadangan untuk Najib

Sebenarnya inilah isu yang ada didepan kita bukannya cuba mengalihkan isu sebenarnya. Apa salah Umno selaku parti utama yang memerintah negara bertindak lebih rasional. Saya bersetuju dengan pandangan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir, Matthias Chang.

Tiga cadangan Matthias adalah:-

1) Arahkan para penasihat politik beliau (PM Najib) menonton siri TV “The Three Kingdoms” dan belajar asas-asas strategi politik.

2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa jiwanya untuk “Enlarged Ego Syndrome” (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri.

Jadi, Datuk Seri Najib, marilah berfikir secara yang rasional bukan terperangkap dalam kapsul masa kerana kini zaman facebook, youtube dan twitter.

http://bm.harakahdaily

Kesatuan kecewa kerajaan sambung kontrak presiden KTMB
July 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Julai — Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) yang mewakili 3,600 ahli kecewa dengan keputusan Putrajaya melanjutkan kontrak presiden syarikat itu Dr Aminuddin Adnan dua tahun lagi.

RUM membuat pendiriannya pada satu mesyuarat yang diadakan malam kelmarin.

“Majlis Exco RUM melahirkan kekecewaan kepada kerajaan yang tidak mempedulikan suara kami yang menolak Dr Aminuddin sebagai Presiden KTMB dengan menyambung kontraknya selama dua tahun (lagi),” kata Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan dalam satu kenyataan.

Abdul Razak yang turut dihubungi berkata, walaupun belum ada kenyataan rasmi mengenai keputusan dilanjutkan tempoh perkhidmatan tetapi maklumat yang diperoleh kesatuan mengesahkan perkara tersebut.

“Maklumat yang kami terima dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengesahkan keputusan Presiden KTMB dilanjutkan dua tahun lagi,” katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi merasa amat terkilan dengan keputusan melanjutkan kontrak perkhidmatan dan pandangan kesatuan tidak diambil kira.

“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hanya slogan tetapi gagal dipraktiskan, suara individu didengari, suara ramai dikebelakangkan.

“Maaf saya terpaksa melahirkan kenyataan ini, kerana tiada siapa yang mahu mendengar keluhan kesatuan,” katanya lagi.

KTMB merupakan salah satu agensi kerajaan yang diswastakan pada awal 1990-an.

Abdul Razak juga berkata pihaknya akan mengadakan protes dalam waktu terdekat mengenai isu tersebut.

Pada Julai tahun lalu, RUM mendesak Aminuddin meletakkan jawatan sebagai Presiden KTMB kerana didakwa gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Aminuddin dilantik ke jawatan itu pada pertengahan 2009.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Abdul Razak berkata, Aminuddin gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang presiden terutamanya dalam hal yang berkaitan KTMB.

“Dalam tempoh tersebut (11 bulan sejak dilantik) beliau (Aminuddin) telah menyebabkan berlaku penurunan produktiviti KTMB kerana sikap lepas tanganya yang tidak melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik.

“Selain itu beliau gagal menjaga hubungan keharmonian dalam RUM, kita desak beliau meletakkan jawatan,” katanya Abdul Razak.

RUM mempunyai 3,600 ahli.

Aminuddin sebelum ini memberitahu bahawa penubuhan ET dilihat antara pelan transformasi dalam memastikan KTMB lebih berdaya saing, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, budaya kerja dan disiplin yang lebih cemerlang.

http://www.themalaysianinsider


BN perlu guna komunikasi politik lebih baik, kata Saifuddin Abdullah
Oleh Syed Mu’az Syed Putra July 13, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan komunikasi politik yang lebih baik sekiranya mahu mendapatkan semula sokongan rakyat ekoran Himpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Ini kerana jelas beliau, perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan disokong Pakatan Rakyat akan meninggalkan kesan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini berkata, beliau (gambar) secara tegas tidak menyokong Himpunan Bersih 2.0 dan lapan tuntutan yang dikemukakan namun kesal dengan kata-kata kesan yang dilemparkan terhadap gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya tidak menyokong Bersih dan perhimpunannya. Tapi saya juga tidak bersetuju dengan kata-kata kesat yang dilontar terhadap Bersih serta pihak-pihak lain... ini kerana saya menyeru budaya politik yang sihat dan segar.

“Saya juga tidak setuju menggunakan fatwa haram terhadap perhimpunan itu. Istilah polis, iaitu perhimpunan haram adalah memadai, oleh itu saya mahu supaya kita meningkatkan kebebasan bersuara di negara ini.

“BN perlu menggunakan komunikasi politik yang lebih baik selepas ini kerana sedikit sebanyak perhimpunan Bersih itu ada meninggalkan kesan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang sejak minggu lalu diserang di laman Twitter dan blogger pro-Umno menegaskan, sama sekali tidak menyokong Himpunan Bersih 2.0 seperti mana yang didakwa.

Malah tegas Saifuddin, sekiranya perhimpunan itu mendapat permit, beliau juga tidak akan menyertainya kerana tidak menyokong lapan tuntutan Bersih.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Seperti dalam Twitter dan Facebook, saya tidak menyokong Bersih. Saya menyeru politik baru yang terdiri daripada empat perkara iaitu integriti politik, kerangka pentadbiran baru, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.

“Justeru saya faham apa yang dibawa oleh Bersih... ‘faham’ tidak sama dengan ‘sokong’, kalau pun saya setuju dengan satu daripada tuntutannya, itu juga tidak sama dengan sokong,” kata Saifuddin.

Tambah wakil rakyat BN ini, beliau tidak bersetuju dengan perhimpunan anjuran Bersih itu kerana ia “perhimpunan haram.”

“Apa yang saya sokong ialah perhimpunan aman kerana ia sebahagian daripada amalan demokrasi tetapi ia mesti diadakan dengan cara yang sesuai.

“Pada saya antara cara yang sesuai ialah seperti yang dicadangkan Suhakam, sekiranya kita menggunakan cadangan Suhakam ada kemungkinan perhimpunan Bersih itu dapat diadakan dengan permit polis dan aman,” kata Saifuiddin sambil menambah, beliau hanya menyokong perhimpunan dibuat secara aman.

Suhakam sebelum ini berkata bahawa rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam Perkasa 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkasa 20 (1) Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Himpunan Bersih 2.0 pada asalnya adalah satu perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara bagi memohon transformasi pilihan raya yang perlu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun Putrajaya melalui Kementerian Dalam Negeri menyifatkan ia sebagai perhimpunan haram yang boleh menggugat keselamatan negara.

Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan ahli-ahli politik kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ditahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

http://www.themalaysianinsider

No comments: