Cuba Banding

Wednesday, July 13, 2011

Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah updated 2.35 pm July 13

Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, (gambar) menyokong sekiranya Himpunan Bersih 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihanraya.

Menurutnya, pilihanraya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ianya menyentuh soal kepimpinan negara.

“Sedangkan menjaga diri sendiri juga wajib ikut cara Islam, dengan menikmati semua perkara halal, apa lagi soal mentadbir negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Himpunan Bersih 3.0 sekiranya ia diadakan lagi bagi menuntut pilihanraya adil selepas mempengerusikan mesyuarat exco pagi tadi.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu berlakun sakit, tuan guru berkata hanya rakyat yang menjadi hakimnya.

”Orang Umno memang begitu, suka menafikan, dia tuduh kita (PAS), tetapi rakyat yang akan menjadi hakim, insyaallah," katanya.

Menurutnya, Bersih 2.0 akan berjalan dengan baik sekiranya Umno tidak memperalatkan polis supaya menyekat perhimpunan tersebut.

Perasaan manusia bila dia yakin, seperti air hujan dari langit akan turun dengan baik dan sekiranya disekat umpama air banjir mengganas menghanyutkan apa sahaja yang ada dihadapan.

Kiranya ada cadangan untuk buat lagi, setuju untuk rancangan bersih pilihanraya atas nama selagi sistem pilihanraya di negeri ini tidak berjalan lancar.

”Mentadbir negara yang diangkat secara bersih adalah kerja agama dan ianya perlu disokong oleh semua, selagi pilihanraya di negara ini berjalan tidak cara bersih, memang saya sokong atas nama apa sekalipun,”ujarnya.

”Mentadbir negeri adalah ajaran Islam seperti ianya menjaga diri sendiri, mata, bercakap, makan cara bersih, kerana itu ingin menjaga Kelantan cara bersih,”ujarnya.

Yang penting, katanya pilihanraya perlu diadakan secara bersih sekiranya tidak ingin balasan buruk di akhirat nanti.

Menurutnya, peniaga yang dikatakan kerugian besar akibat demontrasi itu akibat kerajaan sendiri memprovokasikan perkara itu.

”Cuba tidak menakutkan mereka atau memberi laluan demontrasi bersih cara baik, orang akan beli air sana, air sini dan hasil jualan akan laku,”ujarnya.

Beliau juga tidak faham sedangkan Puterajaya telah ditempatkan program Himpunan 1 juta pemuda, kenapa kawasan itu tidak disekat.

http://bm.harakahdaily

SPR Tidak Tunduk Desakan PAS
PETALING JAYA: Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk PAS berhubung lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata PAS sepatutnya memastikan memorandum tuntutan Bersih diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin terlebih dahulu sebelum menggesa suruhanjaya itu tunduk kepada desakan mereka.
“Saya lihat tidak sesuailah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendesak SPR kerana memorandum itu perlu diteliti oleh Tuanku Mizan terlebih dahulu.
“Jadi kenapa mahu cabar SPR... Saya jadi hairan sebelum ini mereka kata Bersih tidak ada kaitan dengan politik tapi hari ini PAS cabar kita ikut tuntutan Bersih,” katanya kepada mStar Onlinepada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran Mohamad yang menggesa SPR melaksanakan empat daripada lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Bersih.
Mohamad berkata suruhanjaya itu perlu segera melaksanakan tuntutan Bersih sekiranya mereka tidak mahu berdepan dengan satu Bersih 3.0.
Lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih adalah supaya SPR membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata cabaran Mohamad itu tidak berasas sama sekali dan sebarang langkah penambahbaikan yang dilaksanakan oleh suruhanjaya itu adalah berlandaskan undang-undang dan peraturan SPR.
“Pendirian kita jelas dan konsisten SPR tidak pernah tunduk kepada desakan atau tuntutan mana-mana pihak.
“Dalam masa yang sama, SPR tidak pernah menutup pintu rundingan, kita sentiasa membuka ruang perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk Bersih,” katanya.
Jelasnya, tidak semua tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih berada di bawah bidang kuasa SPR antaranya adalah mewujudkan akses media bebas dan adil, memperkukuhkan institusi awam serta menghapuskan politik kotor.
“Kita mengalu-alukan sebarang cadangan dari mana-mana pihak tetapi biarlah cadangan itu konkrit dan jujur bagi memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini,” katanya.

Teresa Kok kepada Hishammuddin:
Tarik balik keputusan mengharamkan bahan cetak "BERSIH"

Teresa Kok | Jul 13, 2011 12:55:44 pm


Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat keputusan yang bodoh dengan mengisytiharkan objek yang mempunyai perkataan "BERSIH" dan berwarna kuning adalah haram, di mana polis diarah mengambil tindakan terhadap mereka yang mengguna pakai bahan "BERSIH" tersebut.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tersebut telah menjadikan kerajaan BN sebagai bahan lawak orang ramai di dalam dan luar negara.  Selain itu, tindakan keganasan dan penangkapan PDRM sebelum dan pada hari Perhimpunan BERSIH tersebut juga telah menjatuhkan imej Perdana Menteri dan PDRM di seluruh dunia.

Mengikut laporan akhbar, sehingga 8 Julai 2011, PDRM telah menahan seramai 198 orang dan menyoal-siasat seramai 25 orang berkaitan dengan BERSIH.

Pada tarikh perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 pula, PDRM telah menyerang orang yang berhimpun secara aman dengan gas pemedih mata dan meriam air, dan menangkap 1,667 orang di pusat bandar Kuala Lumpur.

Lebih mengecewakan lagi, PDRM masih lagi menyalahgunakan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 untuk menahan enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia.  Ordinan Darurat yang seharusnya digunakan untuk penjenayah sahaja telahpun digunakan ke atas aktivis yang tidak terbabit dalam aktiviti jenayah sekarang.

Memandangkan Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 telah pun selesai, saya ingin menggesa Hishammuddin dan PDRM untuk membatalkan larangan tersebut dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perhimpunan BERSIH 2.0 telah pun berakhir dengan aman, damai dan tidak ada merosakkan sebarang harta benda seperti apa yang diura-urakan oleh pihak polis sebelum itu.  Sebaliknya, golongan yang mencederakan para peserta adalah anggota PDRM sendiri.

Perhimpunan BERSIH 2.0 yang disertai oleh 50,000 orang yang bersuara lantang untuk menyokong kelapan-lapan tuntutan gabungan BERSIH telah menunjukkan kempen yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil tersebut telahpun berjaya.

Di sini saya ingin menyeru Perdana Menteri Najib Razak dan ahli kabinet agar menghormati tuntutan dan kehendak rakyat, dan mengadakan pembaharuan politik dengan menunaikan kelapan-lapan tuntutan BERSIH tersebut.

Tibalah masa bagi kerajaan BN untuk menghormati hak asasi manusia, termasuk memberi lebih kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan perhimpunan secara aman seperti apa yang dipraktikkan di banyak negara di dunia.

*Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim (gambar kanan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian, & Perdagangan Negeri Selangor.



PAS sifatkan pengerusi SPR angkuh
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 13 Julai: Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu tidak akan tunduk kepada mana-mana desakan bagi menambahbaik sistem pilihan raya negara ini disifatkan angkuh dan tidak rasional.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata ia bukan sahaja menunjukkan bahawa SPR tidak bebas malah mengesahkan mereka bertindak demi kepentingan parti politik tertentu.

"Belum apa-apa dia kata tak nak tunduk desakan, ini satu kenyataan angkuh dan tidak rasional.

"Tuntutan yang dibuat bukan tak asas, malah kita kemukakan beberapa bukti manipulasi yang sudah berlaku," katanya.

Abdul Aziz dalam kenyataannya semalam berkata beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak termasuk 8 tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang berhimpun 9 Julai lalu.

Katanya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pun tidak boleh memaksanya untuk melakukan reformasi pilihan raya.

Mengulas lanjut, Suhaizan yang juga ketua dewan pemuda PAS Johor berkata, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri sebelum ini mengakui sistem pilihan raya yang sudah lama dipakai sekarang ini perlu kepada penambahbaikan.

"Kita pun bukan suruh dia terima bulat-bulat, kaji la dulu pandangan dari rakyat.

"Sekurang-kurangnya bagitahu la akan tubuh jawatankuasa untuk mengkaji tuntutan Bersih tu ke. Ini tidak, terus kata tak boleh paksa saya," tegasnya lagi.

Bersih dalam tuntutan mereka mahu SPR membersihkan senarai daftar pemilih, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, dan memanjangkan tempoh berkempin kepada 21 hari.

Dalam tuntutan itu juga mereka mahu SPR memastikan akses media yang bebas dan adil kepada semua parti yang bertanding, memperkukuh institusi awam agar tidak diperguna untuk kepentingan mana-mana parti politik, memantau rasuah politik sewaktu berkempen dan menghentikan politik kotor dalam pilihyan raya.

http://bm.harakahdaily


Bursa saham naik menjelang BERSIH
Jul 13, 11 1:32pm
Indeks komposit Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan pada hari-hari terakhir menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

NONEKatanya, fakta itu sekali gus mengetepikan dakwaan bahawa keyakinan pelabur hilang berikutan perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu negara.

"Pada minggu terakhir menjelang perhimpunan BERSIH, Indeks Komposit Bursa Malaysia meningkat sepenuhnya yang sekali gus menolak ada kesan ekonomi ekoran perhimpunan itu, meski pun kerajaan tanpa belas kasihan mengancam dan memberikan gambaran buruk," kata Pua (kanan).

Bahkan, kata Pua, indeks itu kukuh daripada 1582.35 pada Isnin (4 Julai) kepada 1594.74 pada Jumaat (8 Julai) - sehari sebelum perhimpunan BERSIH.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata, pengalaman di negara seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan juga menunjukkan perhimpunan aman yang selalu diadakan tidak menjejaskan prestasi ekonomi.


No comments: