Cuba Banding

Wednesday, July 13, 2011

Kenyataan pengerusi jadikan SPR tambah buruk updated 07:02 pm

Kenyataan pengerusi jadikan SPR tambah buruk

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengingatkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof agar jangan terlalu angkuh.

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Aziz yang berkata pihak SPR tidak akan tunduk pada mana-mana pihak berhubung tuntutan 8 perkara yang di kemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai lalu.

Katanya, kenyataan tersebut hanya akan menambah lagi pandangan buruk pelbagai pihak berhubung pengendalian SPR yang ada sekarang untuk memastikan pilihan raya umum akan datang dapat berlangsung dengan adil dan bersih.

Menurutnya, jawapan SPR bagi lapan tuntutan Bersih yang lalu, SPR hanya menyatakan masih ada ruang untuk parti pembangkang untuk menghebahkan manifesto melalui akhbar masing-masing tetapi tidak menyentuh soal media rasmi seperti RTM dan Berita Nasional Malaysia( Bernama) yang jelas terbukti tidak memberi liputan yang adil antara kedua-dua pihak yang bertanding.

“Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam tuntutan mereka menyebut semua media rasmi perlu memberi liputan yang seimbang kepada semua parti politik.

“Saya kira soal liputan yang seimbang akan terjawab dan selasai jika Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh memberi peluang kepada setiap Parti walaupun jangka masa yang singkat sekitar 15 minit untuk menerangkan manifesto masing-masing pada pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya.

Mohd Yusof juga menyanggah kenyataan Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Abu Bakar Yahya yang berkata golongan muda yang menyertai himpunan Bersih yang lalu dipengaruhi dan dipergunakan kumpulan tertentu.

“Ini zaman anak muda, golongan muda tidak mungkin mudah di pergunakan. Zaman sekarang sudah ada arus media baru yang semua pihak boleh mendapat maklumat dengan pantas dan boleh menilai yang mana betul dan yang mana menipu,” katanya.

Tambahnya, tidak timbul soal golongan muda ramai menyertai himpunan Bersih 2.0 kerana dijanjikan bayaran wang ringgit seperti kenyataan Abu Bakar.

http://bm.harakahdaily

Pemuda PAS sedia gerakkan Bersih 3.0
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat, sedia menggerakkan massa untuk mengadakan himpunan Bersih sekali lagi, seperti diumumkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semalam jika kerajaan masih berdegil dan enggan mendengar tuntutan rakyat.

Menerusi perhimpunan itu, rakyat menuntut kerajaan melaksanakan 8 perkara iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan berkata, tuntutan tersebut bukanlah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan jika kerajaan benar-benar jujur kepada rakyat.

Menurut beliau, tambahan pula, kesemua tuntutan itu bukanlah sesuatu yang pelik, malah ia amat wajar dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin keadilan kepada rakyat dan membersihkan imej kerajaan serta negara.

Katanya, kerajaan perlu sedar, perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu adalah atas kehendak rakyat dan ia diadakan ekoran desakan rakyat agar kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil.

"Ia bukan diadakan untuk suka-suka, tetapi kerana hasrat yang murni, sehingga para pesertanya sanggup datang dari jauh dari seluruh pelosok negara dan terpaksa menempuhi pelbagai halangan," katanya ketika ditemui di sini.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, menurut beliau, sememangnya perhimpunan aman, tetapi ia telah mencatatkan rekod buruk sehingga menjadi sejarah hitam kepada negara.

"Semua itu terjadi kerana kerajaan BN menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kekerasan terhadap para peserta sehingga lebih 1,400 orang ditangkap, ada yang tercedera, malah ada yang meninggal dunia.

"Peserta yang meninggal dunia itu, Allahyarham Baharudin Ahmad. Beliau adalah bekas tentera dan telah berumur 56 tahun. Walaupun telah berumur, Allahyarham tetap hadir menyertai perhimpunan itu bagi bersama-sama orang ramai mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil.

"Allahyarham Baharudin meninggal dunia selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham mengalami kecederaan parah sehingga patah tulung rusuk dan patah gigi.

"Sesungguhnya, Allahyarham Baharudin itu adalah wira negara. Pengorbanannya amat besar kepada negara. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarganya di atas pemergian Allahyarham dan kita mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada," katanya.

Walaupun perhimpunan Bersih 2.0 memberikan pengalaman pahit kepada rakyat ekoran penggunaan kekerasan melampau oleh kerajaan BN terhadap para pesertanya, tegas beliau, rakyat negara ini tidak takut untuk mengadakan perhimpunan seperti itu sekali lagi jika kerajaan terus enggan membersihkan sistem pilihanraya di tanah air.

"Kerajaan BN tidak mempunyai pilihan lain dalam hal ini, melainkan mesti memenuhi 8 tuntutan itu kerana ia adalah desakan rakyat," tegas beliau.

http://bm.harakahdaily


Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini

ps joeann | Jul 13, 2011 03:29:35 pm


Saya seorang paderi, malah seorang paderi perempuan.

Walaupun saya tidak pernah menyertai perhimpunan sebelum ini, namun saya amat prihatin terhadap senario negara.  Lebih-lebih lagi, negara kita seakan-akan keparahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Kemarahan meruap-ruap dalam hati saya.  Maka saya mula mempertimbangkan sama ada turun ke jalan raya atau tidak kali ini.

Demi masa depan negara, dan supaya saya tidak kesal kemudian, maka saya mengambil keputusan untuk turut serta.  Ia berlaku dua minggu sebelum tarikh perhimpunan berlangsung.  Hati saya tidak tenang sejak itu.

Saya meronta-ronta dalam hati saya.  Ketakutan, kontradiksi bergelut dalam diri saya.

Ini kerana identiti saya.  Sekumpulan artis berada di bawah jagaan saya.  Mereka juga tersentuh dengan keadaan sedemikian, namun mungkin ada yang menganggap mereka tidak sesuai untuk hadir aktiviti sedemikian kerana identiti mereka sebagai orang awam.  Dan mungkin ada yang menganggap saya sebagai seorang paderi, hanya perlu menasihat agar mereka berdoa dalam rumah.

Namun demikian, selain identiti sebagai artis, mereka adalah warga sivil negara ini juga, dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan negara ini.

Air mata saya mengalir...

Dalam dilema sedemikian, saya berdiam diri ketika berdepan dengan mata mereka yang mahu mendapatkan jawapan daripada saya.  Saya tidak menggalakkan secara langsung, tapi juga tidak menghalang secara terbuka.  Di samping itu, saya mendidik mereka, berkongsi dengan mereka senario dalam negara kita.  Apa itu BERSIH 2.0?  Apakah lapan tuntutan tersebut?  Apakah tujuan perhimpunan tersebut...

Saya berharap mereka akan memahami sepenuhnya, menggunakan kematangan diri untuk menilai dan membuat keputusan, sama ada hadir atau tidak.

Sehingga sehari sebelum perhimpunan, dua orang artis menyatakan keputusan mereka untuk menyertai.  Dan saya pun mendedahkan hasrat saya untuk hadir.  Mereka agak terkejut, kerana paderi yang tidak menunjukkan pendirian pada hakikatnya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa yang mungkin berlaku.

Pada hakikatnya, saya bukannya berani, saya juga  ketakutan.

Malam sebelum perhimpunan, hati saya tidak tenang.  Tak lena tidur saya.  Ketika saya berdoa untuk tanah air yang mana saya lahir dan membesar, air mata saya mengalir.  Hati saya berat sekali.

Saya bangun dari tidur pada jam 5 pagi, 9 Julai.  Saya bersembahyang, mendoakan agar perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar.

Pelan A,B, C

Pada jam 9 pagi, saya bersarapan dengan dua orang artis, sambil berbincang bagaimana menembusi sekatan ke dalam bandar, malah kami mempunyai pelan A, B, dan C!   Akhirnya kami mengambil pelan A, masuk ke bandar dengan kereta, dan pergi ke rumah seorang kawan yang berdekatan dengan Stadium Merdeka.

Tanpa diduga, polis memberi laluan kepada kami. Hallelujah! Tuhan mendengar doa kami!

Kami memasuki sebuah bandar yang sepi, lancar, dan dingin.  Rasanya cukup pelik.

Orang ramai menyuntik semangat

Kami singgah di rumah kawan sehingga kira-kira jam 1 tengah hari, kemudian bertolak dengan resah dan gelisah.  Kami tiba di bangunan Chan See Shu Yuen(bertentangan dengan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), mendapati jalan memasuki Stadium Merdeka telah disekat dengan dawai besi, dan beberapa orang polis, pemerhati dari Majlis Peguam berada di situ.  Kami tidak nampak orang ramai di situ.

Kira-kira 20 minit kemudian, hujan turun dengan lebat.  Pada ketika inilah kami nampak kumpulan orang berganding tangan berjalan dari arah Masjid Negara dan Jalan Petaling menuju ke arah kami.  Walaupun orang tidak ramai di pihak kami, namun hati saya disuntik semangat setelah nampak mereka.  Kami menyambut mereka dengan tepukan.

Tiba-tiba saya menjadi cemas pula.  Saya memanjangkan leher saya untuk melihat apa yang berlaku, walaupun dengan ini saya yang berteduh di bawah jambatan akan dibasahi hujan.

Namun, tiba-tiba mereka berhenti, dipercayai dihalang polis.  Saya nampak ramai orang berganding tangan dalam air hujan yang mencurah.  Hati saya panas, dan mengeluh, apa yang telah kita lakukan?  Mengapa negara ini bertindak sedemikian terhadap rakyat jelatanya?

Sejenak kemudian, mereka bergerak lagi ke depan dengan perlahan-lahan, dan akhirnya berdiri di hadapan dawai besi.  Kini, polis juga berganding tangan menjadi satu barisan, bersemuka dengan peserta demonstrasi.  Jarak mereka adalah dekat, boleh menyentuh satu sama lain jika menghulurkan tangan.  Mujur kedua-dua pihak berjaya mengawal diri, dan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Kawal diri

Pada ketika ini, hujan semakin lebat, semua orang basah kuyup dibuatnya.  Namun kita terus melaungkan slogan.  Ada yang memakaikan baju kuningnya.  Kita hanya mahu menunjukkan kuasa rakyat.

Pada masa itu, saya berhubung dengan kawan saya yang berada di Hospital Tung Shin.  Beliau berkata keadaan di sana sangat sengit.  Gas pemedih mata dan meriam air berkimia dilepaskan.  Saya amat gelisah dan tidak berhenti mendoa.  Malah ada seketika kawan yang berada di hujung talian panggilan sana menjerit, kemudian talian putus.  Hati saya menjunam, hanya mendoakan agar ini tidak berlaku apa-apa terhadapnya.  Hati saya lega apabila beliau memanggil balik untuk melaporkan bahawa dirinya selamat.

Demikianlah yang berlaku di tempat saya berada pada 9 Julai.  Hati saya terkapai-kapai.  Cemas, lega, kemudian resah... Hanyut tenggelam mengikut perkembangan yang berlaku.  Tiada rempuhan, tiada bahasa kesat dikeluarkan di tempat saya berkumpul, malah seorang pemimpin mengulangi peringatan bahawa perhimpunan ini adalah aman.

Ada masanya sesetengah yang berdoa, dan kami pun menyertai bersama.  Biarlah kita serah kepada Tuhan untuk menentukan.  Hati saya kembali damai.  Semoga Tuhan bersama kita untuk berdepan dengan segala ini.

FRU muncul untuk menangkap orang ketika kami bersedia untuk bersurai.  Keadaan menjadi cemas ketika itu.  Artis saya menarik saya untuk menyeberangi jalan.  Kasut saya rosak pada saat-saat itu.  Tapi saya tidak peduli, berlari untuk meninggalkan tempat kejadian.  Mujur kami tidak ditangkap.  Tercungap-cungap kami dibuatnya.  Perhimpunan BERSIH 2.0 berakhir dalam suasana cemas berbaur ghairah.

Hati saya masih tersentuh

Setelah kembali ke rumah, saya melayari laman internet.  Gambar, tulisan, klip video yang dimuatnaikkan ke laman internet tetap menyentuh hati saya.  Rupa-rupanya tempat saya berada kemungkinan tempat yang paling "aman".  Tiada gas pemedih mata dan meriam air berkimia, dan tiada keganasan yang berlaku.

Namun, saya tetap marah apabila mendapati keganasan berlaku di tempat perhimpunan yang lain.  Mereka hanyalah rakyat jelata tanpa senjata, mengapa dilayan sebegini?  Apakah polis tidak mempunyai saudara-mara atau adik-beradik?  Bagaimana mereka sampai hati untuk menggunakan kekerasan sedemikian?

Untuk saya, tujuan perhimpunan ini bukan sahaja menyedarkan masyarakat Malaysia, malah menarik tumpuan seluruh dunia.  Ini perhimpunan aman, tiada kereta yang dibakar, tiada kedai yang dirompak, tiada seorang pun anggota polis dicederakan, tiada orang yang menangguk di air keruh.  Yang ada semangat tolong-menolong ketika berdepan dengan serangan tanpa simpati.  Kita mengawal diri dengan baik.  Bukankah ini makna sebenarnya Satu Malaysia?

Sebagai seorang paderi, saya gembira apabila mengetahui ramai penganut kristian yang hadir dalam perhimpunan.  Saya harap lebih ramai penganut kristian akan tampil ke depan, mencintai negara kita dengan tindakan kita!

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua orang artis yang bersama saya.  Keberanian mereka, semangat patriotik mereka, telah diterjemahkan kepada tindakan, bersama menyaksikan sejarah ini.  Semua pejuang yang berani, dari semua kaum, terima kasih kerana keberanian anda, membubuh tanda noktah yang sempurna dalam perhimpunan ini, semoga Tuhan memberkati anda semua!
Baca: Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS
*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

http://merdekareview


Abdul Taib Bantah Penglibatannya Halang Ambiga Masuk Sarawak
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak mengemukakan bantahan terhadap semakan kehakiman yang difailkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga berhubung dakwaan beliau dihalang daripada memasuki negeri itu pada April lalu.
Menerusi bantahannya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyatakan bahawa beliau bukanlah pihak berkuasa negeri yang perlu dinamakan dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.
Selain itu beliau turut menyatakan bahawa perkara berkenaan tidak boleh disemak di bawah Akta Imigresen.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Rohana Yusuf menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh untuk mendengar bantahan tersebut.
Penetapan tarikh berkenaan dibuat dalam kamar di hadapan pihak plaintif dan responden.
Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam menerusi samannya turut menamakan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan Pengarah Imigresen Sarawak sebagai responden.
Ambiga dihalang memasuki Sarawak pada 15 April lalu iaitu sehari sebelum hari pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak.
Ambiga diwakili peguam James Khong, Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakli Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Imigresen manakala Penasihat Undang-Undang Khas kepada Kerajaan Negeri, Datuk JC Fong mewakli Ketua Menteri Sarawak.
Dalam tuntutan mahkamah itu, Ambiga memohon supaya notis yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Sarawak bagi menghalangnya memasuki negeri tersebut dibatalkan.
Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu, Ambiga turut meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan satu notis bagi mengarahkan pihak responden agar membenarkan beliau memasuki Sarawak, membayar ganti rugi kos dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Menurut Ambiga, pihak responden gagal mengambil kira fakta yang menunjukkan bahawa kunjungannya ke Sarawak adalah untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bersifat kepartian.
Malah menurut Ambiga, responden juga gagal untuk mempertimbangkan sewajarnya fakta bahawa beliau dibenarkan masuk ke Sarawak secara sah pada kunjungannya sebelum itu.

No comments: