Cuba Banding

Wednesday, September 28, 2011

SPR telah mengeluarkan 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 September


SPR: Pemilih 12.3 juta, 50,000 pemohon masih disiasat

September 27, 2011
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 September lalu setelah disahkan meninggal dunia.
Selain itu, dalam tempoh berkenaan, SPR juga telah memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam kenyataan hari ini berkata tindakan itu diambil dalam proses semasa pembersihan senarai Daftar Pemilih membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang.
Katanya SPR juga sedang membuat siasatan lanjut terhadap 50,000 nama pemilih berdaftar.
Kamaruddin berkata dalam proses pembersihan itu, SPR membuat semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya semakan rekod pemilih melalui proses pembersihan Daftar Pemilih adalah secara berterusan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Dipetik Bernama Online, katanya, hasil semakan itu mendapati ada nama-nama pemilih berdaftar dikeluarkan atas pelbagai sebab seperti pelucutan kewarganegaraan, meninggal dunia atau bersara daripada perkhidmatan polis atau tentera.
Selain itu, Kamaruddin berkata semakan Daftar Pemilih juga melibatkan pertukaran status pengundi dan perubahan status pemilih awam kepada pemilih pos dan sebaliknya.
Beliau berkata SPR juga menyediakan kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih (Borang A) melalui laman web di alamat www.spr.gov.my.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pendaftaran sebagai pemilih tidak boleh dibuat atas talian tetapi sebaliknya perlu menghantar Borang A itu ke kaunter pendaftaran pemilih SPR.
Katanya borang berkenaan tidak boleh dihantar melalui pos, faks ataupun e-mel.

http://www.themalaysianinsider.


Kenapa Ketua Polis bimbang BN kalah dalam PRU-13?
Berita, Komentar, Ulasan & PendapatApakah kewajaran Ketua Polis Negara yang secara terang-terangan menyatakan berpendirian beliau tentang kedudukan sebuah parti politik, Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang, padahal beliau merupakan penjawat awam yang memerlukan sikap profesional yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya.


Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) dilaporkan mengeluarkan pandangan secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.


Kenyataan seperti itu sepatutnya tidak keluar oleh seorang kakitangan kerajaan yang berkhidmat bukan kerana parti pemerintah.


Apakah beliau tidak boleh membezakan antara parti politik dan kerajaan yang memerintah? Padahal beliau dibayar gaji melalui wang yang dimiliki rakyat keseluruhan, bukannya daripada ahli Umno-BN.


Dipetik dari Harakahdaily, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian Ismail Omar itu menampakkan sangat KPN itu berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) kerana memperlihatkan kebimbangan Umno-BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang.


“Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?


“Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah,” kata Mahfuz.


Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?


“Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.


“Polis sepatutnya dilihat tidak memihak,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno.


Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan.


“Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?


“Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang,” katanya.


Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah.


Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.


“Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).


“Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah,” katanya.

Posted on Tuesday, September 27 @ 20:00:00 MYT by tok_aji
http://www.selatanonline.




Jui Meng: Hentikan rundingan rahsia dan tipu helah dalam Petronas
Posted on Tuesday, September 27 @ 09:01:54 PDT by paktam
Artikel
Oleh Wong Choon Mei
Pentadbiran Najib mesti menghentikan fitnah terhadap agenda ekonomi Pakatan Rakyat dan membentuk semula perancangan kewangan Negara yang kukuh, bermula dengan mendedahkan rahsia yang menyelaputi syarikat minyak Negara, Petronas. Ini sahaja dapat menghasilkan berbilion ringgit di dalam tabung Negara, mengaktifkan semula ekonomi dan membantu berjuta rakyat Malaysia di dalam melalui keadaan sukar sekarang ini, kata ahli ekonomi dan ketua-ketua pembangkang.

“Dari 1974 hingga 2010, Petronas melaporkan ia beroleh keuntungan sebanyak RM700 bilion. Ini merupakan satu lawak jenaka. Bagi Petronas untuk menghasilkan keuntungan yang sedikit dalam jangkamasa yang panjang iaitu 36 tahun, merupakan suatu penghinaan kepada kebijaksanaan seseorang. Jika dibandingkan dengan pendedahan WikiLeaks bahawa Petronas merupakan syarikat ke-13 paling untung di dunia, ini adalah amat tidak masuk akal dan ini menunjukkan betapa teruknya rasuah sebenarnya,” Chua Jui Meng, Timbalan Presiden  PKR memberitahu Malaysia Chronicle.
Dunia minyak yang dibayangi rahsia dan tipu helah kroni
Petronas ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum pada tahun 1974 dan telah menikmati kadar kenaikan harga petroleum yang tinggi pada dekad yang lalu. Petronas mendapat keuntungan pra-cukai sebanyak RM90.5 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac 2011. Selain cukai, Petronas telah membayar kepada kerajaan dividen sebanyak RM30 bilion pada tahun 2009, yang merupakan kenaikan dari RM24 bilion pada tahun 2008, RM20 bilion pada tahun 2007, RM13 bilion pada tahun 2006 dan hanyalah RM9.1 bilion pada tahun 2005.
Tetapi ura-ura mengatakan bahawa minyak merupakan pilihan besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat kroni yang rapat dengan kuasa pemerintahan hebat di dalam parti Umno Najib.Pihak-pihak ketiga ini dikatakan telah diberi keizinan untuk membenarkan pilihan jual beli di dalam pasaran minyak global, yang disokong oleh minyak Petronas sendiri. Disebabkan kenaikan harga minyak yang mendadak sejajar dengan permintaan dunia, ini telah memberi pihak-pihak kroni keuntungan yang besar dan tidak sama sekali akan kembali ke Negara ini.
“Sudah tentu, semua rahsia dan tipu daya ini mesti disiasat dan dihentikan. Ia adalah seperti membenarkan pihak-pihak ini merampas keuntungan yang sepatutnya milik Petronas. Dan ini juga mungkin menyebabkan laporan hasil terkumpul adalah sangat rendah. Siapakah pihak-pihak ini, siapa yang memberi mereka hak-hak ini dan yang penting sekali, hentikan urusan ini dengan kadar segera kerana wang tersebut adalah milik rakyat. Ia merupakan kekayaan bangsa dan sekarang, simpanan minyak kita mula berkurang,” kata Jui Meng.
Membuka pekung: Apakah Dr M memimpin reformasi atau sebaliknya?
Baru-baru ini, pembocoran saluran diplomatik Amerika telah membuat pendedahan bahawa seorang pegawai Petronas, Mohd Azhar Osman Khairuddin, memberitahu jurucakap kedutaan mengenai simpanan minyak dan gas Malaysia yang semakin berkurang. Conoco Philips Malaysia juga telah mengesahkan perkara tersebut, tanpa penemuan baru hasil minyak Malaysia akan berkurang pada kadar 10 peratus setiap tahun, dari 550,000 tong sehari pada tahun 2008 kepada 490,000 tong sehari pada tahun 2009 dan 450,000 tong sehari pada tahun 2010.
Jui Meng dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahukan ‘Royal Commission of Inquiry’ terhadap Petronas. Anwar berkata bahawa kekayaan minyak milik rakyat dan audit yang benar dan menyeluruh mesti diadakan. Beliau meminta Petronas agar menjawab terus ke Parlimen untuk bertanggungjawab dan ketelusan.
Ramon Navaratnam, ahli ekonomi dan ketua masyarakat sivil yang dikenali ramai, bersetuju bahawa sepatutnya terdapat lebih banyak ketelusan diaplikasikan di syarikat minyak Negara. Beliau menyeru penasihat Petronas, Mahathir Mohamad yang juga merupakan bekas Perdana Menteri untuk mengambil tindakan.
“Sememangnya bagi taraf dunia, Petronas dilihat sebagai kurang telus dari segi perolehan keuntungannya dan banyak perlu dilakukan untuk membaikpulih. Tun Mahathir adalah orang yang terbaik di dalam usaha malakukan reformasi di Petronas ini. Akta Pembangunan Petroleum haruslah dikaji semula dan semua klausa yang dimasukkan untuk melindungi rahsia sepatutnya dilupuskan,” kata Ramon yang juga merupakan presiden ‘Transparency International’ Malaysia.
Basmi rasuah untuk tingkatkan hasil pengeluaran
Kedua-dua Jui Meng dan Ramon telah memberi maklumbalas kepada kenyataan yang dibuat oleh Pemandu, sebuah unit ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, di mana pada Hari Jumaat telah berkata bahawa kerajaan persekutuan telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah daripada kira-kira RM1,500 kepada RM4,000 setiap bulan.
Pemandu tidak menyatakan sebarang jangkamasa perlaksanaannya, menyebabkan kedua-dua Ramon dan Jui Meng mengecam usul tersebut. Mereka memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk memberi harapa palsu pada rakyat dalam mempertingkatkan taraf ekonomi mereka hanya akan menimbulkan masalah lebih besar.
Penganalisis kewangan telah bersetuju bahawa perancangan tersebut akan mengambil masa,  dan dengan keadaan angin kemurungan ekonomi dunia yang bertiup kencang ke arah Asia dan Malaysia, jawapan kepada penyelesaian segera berada di dalam Petronas sendiri, iaitu dengan menghapuskan segala amalan negatif yang berleluasa, juga mempertingkatkan aktiviti penjimatan yang berfokus kepada pembasmian rasuah. Masalahnya terletak pada keupayaan pihak atasan yang berpengaruh politik kuat untuk melaksanakannya, kata mereka.
“Hakikatnya, membasmi rasuah adalah kunci kepada segala penyelesaian permasalahan. Sebagai contoh Selangor – dalam jangkamasa 3 tahun ini telah berjaya mempunyai simpanan tunai tertinggi di dalam 28 tahun sejarahnya. Penyelesaian yang tidak berkesan pada masa pemerintahan BN berkesan sekarang, ini kerana pentadbiran Pakatan telus dan ikhlas melaksanakan tugas.Tanpa rasuah, seperti Pulai Pinang,” kata Jui Meng.
Di dalam Buku Jingga, PKR telah mengusulkan kenaikan pendapatan isi rumah dari RM1,500 kepada 4,000 yang akan hanya berkuatkuasa di dalam jangkamasa 5 tahun. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil, kata Jui Meng, tetapi jangka masa yang munasabah dengan pengambilan langkah serius seperti perlaksanaan pendapatan minima sebanyak RM1,500, memberi peluang kepada pasangan untuk bekerja dari rumah supaya mereka boleh beroleh sumber pendapatan isi rumah kedua, melupuskan dan mengurangkan tol, mengawal kadar bayaran air dan elektrik.
“Kenyataan Pemandu telah dicuri dari Buku Jingga Pakatan, hampir serupa. Terlalu banyak cadangan yang telah dicuri dari kami untuk tampak bagus, akan tetapi, walaupun mudah di dalam bidang kuasa mereka untuk merealisasikannya, kami tidak nampak sebarang usaha drastik dari pentadbiran Najib kearah itu. Baru-baru ini, BN telah mengiktiraf Hari Malaysia dan ia merupakan cadangan kami. Panggilan 16 September hasil usaha Anwar dan ketegasannya agar hari tersebut diberi pengiktirafan menyebabkan BN mengambil langkah serupa,” kata Jui Meng.
- Malaysia Chronicle

1 comment:

Yong said...

Jangan yang masuk ikut pintu belakang ada 692,930 pulak. Yele, bila dah campur indon, bangla, myanmar nepal, filipino dll.