Cuba Banding

Tuesday, September 27, 2011

Nik Aziz: DAP ibarat ‘budak kecil takut hantu’

September 26, 2011

KOTA BARU, 26 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.
Ia kenyataan pertama beliau selepas petang tadi kepimpinan Pakatan Rakyat mengarahkan pemimpin-pemimpin parti komponen tidak membuat kenyataan isu berkenaan sehingga ia dibincangkan Rabu ini.
Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.
“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.
Semalam,  Nik Aziz (gambar) berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.
Malah semalam, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Pada satu ceramah di Kuala Lumpur kelmarin, Nik Aziz menegaskan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini lebih kejam daripada undang-undang Islam atau hukum hudud.
Jelas beliau, bagi jenayah berat seperti membunuh, merompak, menjual dadah dan sebagainya penjenayah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi jika mengikut hukum hudud adalah potong tangan.
“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu,” katanya lagi.
Petang tadi, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka lusa.
Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, katanya kepada pemberita.
Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum Hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat.



RM100 juta hasil keuntungan judi untuk pendidikan, kata Najib

TERKINI @ 07:12:35 PM 26-09-2011
September 26, 2011
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Sekurang-kurangnya RM100 juta daripada keuntungan aktiviti perjudian akan disalurkan kepada sekolah-sekolah vernakular dan mubaligh menerusi “perbincangan rapat” bersama komponen Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Perdana Menteri(gambar) berkata demikian selepas melancarkan dana Community Chest yang diuruskan oleh sebuah konsortium ahli-ahli perniagaan yang membayar lebih RM2 bilion kepada Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (PMP) milik bilionair Ananda Krishnan tahun lalu.
Dana pendidikan didukung oleh Putrajaya itu diketuai oleh Tan Sri Lim Kok Tay dari Genting, yang menyumbangkan sumbangan awal  RM26 juta kepada 61 sekolah hari ini, kebanyakannya bagi sekolah vernakular dan menjanjikan minimum RM100 juta setiap tahun mulai tahun depan.
“Dana ini akan diagih-agihkan menerusi perbincangan rapat dengan parti-parti seperti MCA, Gerakan dan MIC dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan ia diagihkan dengan adil,” kata beliau di SJK (C) Confucian petang ini.
Langkah kerajaan mengehadkan pembiayaan kepada sekolah-sekolah vernakular telah menjadi punca rasa tidak puas hati di kalangan komuniti Cina dan India.
Akhbar Straits Times melaporkan bulan lalu bahawa eksekutif-eksekutif kewangan yang terlibat dalam perjanjian itu percaya ia boleh memperbaiki penerimaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Cina dan India yang sokongan mereka beralih kepada Pakatan Rakyat dalam jumlah yang banyak pada pilihan raya umum 2008.
Najib yang dijangka memanggil pilihan raya umum ke-13 dalam waktu terdekat menambah, “penyelesaian kreatif” akan melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua.
“Kami tidak boleh memenuhi kesemua keperluan komuniti,” katanya.
Kata Najib, adalah penting “model-model baru” diusahakan untuk mencapai apa yang kerajaan sasarkan.
Selain Lim, lembaga pemegang amanah terdiri daripada timbalan pengerusi Genting Tun Hanif Omar, Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong, ketua Kumpulan Lion Tan Sri William Cheng dan Tan Sri G. Gnanalingam dari  Westports.
Genting memiliki separuh daripada Jana Pendidikan Malaysia, konsortium yang membeli PMP.

No comments: