Cuba Banding

Wednesday, October 12, 2011

Peneroka diugut tidak akan menerima bantuan daripada pihak pengurusan Felda, seperti surat sokongan untuk sekolah anak-anak jika tidak menarik balik saman

Peneroka diugut tarik balik saman Felda 


KUALA LUMPUR, 12 Okt: Lima peneroka Felda Palong 9, Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan supaya menarik semula saman mereka terhadap Felda.


Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Ladang Gedes Jempol, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.


Menurut Peguam T Kumar seperti dipetik KeadilanDaily, peneroka tersebut diugut tidak akan menerima bantuan daripada pihak pengurusan Felda, seperti surat sokongan untuk sekolah anak-anak jika tidak menarik balik saman tersebut.


“Dalam masa beberapa minggu, pihak pengurusan datang dari rumah ke rumah bersama dengan ketua cawangan (Umno). Amaran yang diberikan kepada peneroka merupakan ugutan secara tidak langsung dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada KeadilanDaily.


7 Julai lalu, seramai 113 peneroka memfailkan saman terhadap Felda kerana kecuaian pemberian tender menebang kayu getah.


Mereka menamakan sembilan defendan, antaranya Felda, pengurus Felda Palong 9, Saleh Muhidin, dan ketua kampung, Osman Parman yang juga ketua cawangan Umno.


Dalam kenyataan tuntutan mereka, kumpulan itu berkata pengurus Felda dan anggota JKKR pada satu mesyuarat 16 Mac tahun lalu telah memutuskan projek untuk memproses pokok getah yang ditebang akan dianugerah menerusi tender terbuka dan diberi kepada pembida tertinggi.


Pegawai khas pengarah Felda, Datuk Ramli Ismail, juga hadir pada mesyuarat itu, kata kenyataan tuntutan mereka.


Bagaimanapun, kontraktor dilantik Felda, Syarikat LBJ Global dianugerahkan projek itu pada harga bidaan RM8,205 sehektar atau RM33,000 bagi setiap peneroka iaitu paras harga yang lebih rendah daripada harga siling yang dipersetujui.


Mereka mendakwa Felda telah abai dan cuai menjaga kepentingan plaintif-plaintif yang telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan kehilangan.


Malah mereka juga mendakwa Felda dan pengurusnya ‘membuat representasi dan salah nyata’ bahawa harga RM33,000 bagi setiap peneroka adalah harga paling tinggi dan berpatutan mengikut harga pasaran.


Setiap peneroka mempunyai kawasan seluas 10 ekar (empat hektar).


http://bm.harakahdaily.


Parlimen Indonesia tubuh panel khas siasat dakwaan Malaysia rampas tanah

October 12, 2011
KUALA LUMPUR, 12 Okt — Parlimen Indonesia akan membentuk sebuah pasukan khas untuk menyiasat dakwaan terbaru bahawa Malaysia merampas lebih 1,400 hektar tanah di kawasan Kalimantan Barat, demikian menurut laporan Jakarta Post hari ini.
Jakarta dan Putrajaya telah mengetepikan dakwaan bahawa Malaysia merampas tanah milik republik itu.
Kedua-dua kerajaan telah pun mengatakan bahawa tiada bukti wujudnya rampasan tanah di kawasan berhampiran dengan negeri Sarawak.
Bagaimanapun menurut akhbar itu, ketua Parti Demokratik Perjuangan Indonesia (PDI-P) Tjahjo Kumolo mengumumkan penubuhan pasukan siasatan khas itu atas alasan ada asas kehilangan tanah milik negara itu.
“Kami tidak akan membuat dakwaan jika kami tiada data,” kata Tjahjo yang dipetik oleh agensi berita Antara.
“Kami mengesyaki ada petanda sempadan yang sudah dialih dan ada skandal di sebalik usaha ini, kerana ada sumber arang batu di kawasan sempadan,” kata beliau sambil mendakwa kecewa kerana kurang kesungguhan di pihak kerajaan untuk menangani dakwaan kehilangan tanah di kawasan sempadan.
Dilihat usaha mahu mengelakkan ketegangan hubungan kedua-dua negara, Jakarta dengan segera menolak dakwaan beberapa ahli Parlimennya yang mendakwa Malaysia “merampas” lebih 1,400 hektar tanah di kawasan sempadan Kalimantan Barat.
Pada satu sidang media di Jakarta kelmarin, empat orang menteri, kerajaan Indonesia berkata Malaysia tidak melanggar sebarang perjanjian berkaitan dengan sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Penyelarasan Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan Djoko Suyanto bersama Menteri Luar Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro menjawab kenyataan wakil rakyat Maj-Jen (B) TB Hasanudin.
“Tiada pertikaian sempadan sedemikian antara Indonesia dan Malaysia sebab kedua-dua ada rujukan-rujukan yang sama, yang mana perjanjian-perjanjian dimeterai oleh kerajaan Belanda dan British pada 1981, 1915 dan 1928,” kata Marty (gambar).
Dalam pada itu, Djoko berkata kemungkinan Hasanudin telah diberikan maklumat yang salah.
“Kami telah melakukan survei di sepanjang sempadan Indonesia-Malaysia di kawasan Kalimantan dan tiada kawasan di sempadan yang telah dialih,” katanya.
Semalam, mengenai dakwaan bahawa tanah Indonesia di Kalimantan telah diambil alih oleh Malaysia, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ia bukan sebenarnya suatu isu untuk diberi tumpuan memandangkan koordinat sempadan darat telah pun dipersetujui oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata jika sebarang tanda sempadan dialihkan, kedua-dua negara boleh menghantar pasukan untuk menetapkan tanda sempadan seperti yang telah pun dipersetujui sebelum ini.
“Itu bukanlah satu isu yang kami perlu bimbang. Ia boleh berlaku... tanda sempadan dialihkan oleh individu tidak bertanggungjawab tanpa sebarang tujuan. Jika perkara seperti ini didapati berlaku, kami akan dapat menyelesaikannya dengan baik. Terdapat garis panduan yang sangat jelas berdasarkan koordinat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Bagaimanapun, masih ada isu sempadan tertunggak yang kami perlu muktamadkan, namun ini bukanlah suatu isu yang membimbangkan kami,” katanya.
Marty berkata dua lagi mesyuarat kumpulan teknikal berkaitan isu sempadan maritim dan darat akan diadakan menjelang akhir tahun ini.



Pakar Ekonomi: Belanjawan 2012 Kerajaan Persekutuan Banyak Kelemahan


SHAH ALAM, 12 OKT : Terdapat berbagai kelemahan belanjawan kerajaan persekutuan terutama membabitkan pembayaran sekali (one-off payments) seperti RM3,000 kepada sesetengah pegawai, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Berhad Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Jelasnya, bayaran sekali bukan langkah penyelesaian yang bersifat kekal didalam menangani masalah ekonomi.

“Ia tidak diinstitusikan sebagai “safety-net mechanism” atau mekanisme jaringan keselamatan yang rakyat boleh bergantung harap,” katanya dalam rancangan “Terus Terang” di TV Selangor hari ini.

Di dalam belanjawannya kerajaan persekutuan antaranya memperuntukan bayaran khas RM3,000 kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang telah tamat kontrak.

Azrul berkata dari segi keseimbangan belanjawan, pembayaran sekali yang terlalu banyak akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekaligus melambatkan lagi proses mengurangkan defisit fiskal negara.

“Pemberian one-off kepada rakyat perlu mempunyai alasan dan rasional yang kukuh serta pada kadar atau jumlah yang munasabah,” katanya.

Sebagai contohnya, Azrul mempertikaikan jusifikasi memberi RM100 kepada semua 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga ke Tingkatan 5, kerana ia boleh berlaku ketirisan.

Antara ketirisan yang dilihat Azrul ialah, anak-anak bukan warga Malaysia juga akan mendapat bantuan ini dan yang mungkin dapat untung adalah syarikat-syarikat telekomunikasi.

Menurut Azrul peruntukan sebanyak RM530 juta itu sebaik-baiknya disalur ke tabungan biasiswa atau pinjaman pendidikan.

Rancangan “Terus Terang” akan disiarkan di TV Selangor pada Jumaat 12 tengahari dengan ulangan pada hari Ahad jam 6 petang.


No comments: