Cuba Banding

Thursday, October 13, 2011

Bolehkah berkahwin dengan orang bunian?

Datuk Dr Haron Din


Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.


1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?


Halimatussaadiah
Bota, Perak


Jawapan 1


Puan,


Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya): "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T."


Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.


Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).


Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya.


Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara.


Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis).


Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."


Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.


Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.


Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya):


"Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya".


Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan.


Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.


Jawapan 2


Hukumnya adalah jelas, jumhurnya (Keseluruhan ) ulama sudah berijtima' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.


Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT.


Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?


Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Wallahu a'lam.


http://bm.harakahdaily.



Kedutaan Malaysia di Jakarta diserang
Isu sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat yang dihangatkan oleh media tempatan telah menyebabkan sekumpulan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi dan bertindak liar depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Rabu sehingga merosakkan cermin pos pengawal. 

Kumpulan dari Forum Betawi Rempug (FBR) yang berjumlah kira-kira 650 orang berdemonstrasi selama satu setengah jam mulai pukul 1 petang Rabu, melempar benda keras seperti batu, kayu dan buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan. 

Ini menyebabkan cermin pos pengawal dan beberapa lampu pagar kedutaan pecah hingga melukakan sembilan anggota polis yang berkawal di situ.

Para penunjuk perasaan itu dikatakan membantah tindakan Malaysia yang didakwa kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Kumpulan itu dipimpin Pengarah FBR Edwan Hamidy.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia tidak melayani sebarang nota bantahan dari kumpulan itu kerana mendakwa tuduhan mereka itu tidak benar. 

Para penunjuk perasaan menjadi marah apabila dihalang oleh pihak polis daripada memasang bendera FBR di pintu pagar bangunan pejabat kedutaan itu sehingga mereka bertindak liar merempuh anggota polis.

Pasukan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka bagi mengawal keadaan daripada menjadi bertambah buruk.

Isu pertikaian sempadan itu berlaku apabila Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Tb Hasanuddin hujung minggu lalu mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, yang didakwa telah diambil oleh Malaysia. 

Dakwaan beliau bagaimanapun segera disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana ia tidak berasas.

Mereka ialah Menteri Penyelaras Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Djoko Suyanto; Menteri Luar Marty Natalegawa; Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi; dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro.        

“Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada 1891, 1915 dan 1928,” kata Marty.

Perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Inggeris itu telah menetapkan garis sempadan kedua-dua negara itu dan sejak sekian lama tidak ada sebarang pertikaian mengenainya.

Sehubungan kejadian itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berikutan kerosakan yang berlaku.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pihaknya akan meminta penjelasan bagaimana kekacauan itu boleh tercetus sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

“Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hampir setiap tahun berhadapan dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga berlaku pelbagai kerosakan pada aset negara.

“Nota diplomatik yang akan dikirim ini ialah bagi meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia bagaimana mereka dapat membantu kita menyelesaikan isu ini,” katanya di Jakarta.

Pengiriman nota diplomatik itu adalah selaras dengan Konvensyen Vienna yang menetapkan bahawa pihak berkuasa sesebuah negara harus melindungi harta benda setiap pejabat perwakilan asing di negara berkenaan.

-Bernama

http://www.malaysiakini.

Dr M: Kemungkinan Pakatan tak bubar DUN serentak
Kerajaan Pakatan Rakyat di empat negeri berkemungkinan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.
mahathir meets bloggers 150807 mahathirMantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu berkemungkinan merupakan strategi Pakatan untuk menumpukan kekuatan dan meraih sokongan rakyat di negeri-negeri pemerintahan BN.

Pakatan menerajui pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Dengan ini, mereka (Pakatan) dalam tangan ada empat buah negeri. Mereka tumpu di negeri-negeri lain untuk menambah kekuatan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur Larian Sahara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

"Bagi pilihan raya di peringkat DUN, ia bergantung kepada kerajaan negeri sama ada bubar atau tidak dewannya. Kalau keempat-empat DUN di bawah pemerintahan Pakatan tidak dibubar, kita akan lihat pilihan raya terhad kepada negeri-negeri yang diperintah BN," katanya.

"Namun begitu, sekiranya pilihan raya umum diadakan dekat dengan tamat tempoh penggal lima tahun, nak tak nak, dia (Pakatan) kena buat (membubarkan DUN) juga," katanya.
NONEDr Mahathir berkata kerajaan BN tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya umum  ke-13 kerana tempoh penggal hanya berakhir pada Mac 2013.

Katanya kerajaan BN perlu membuat ujian dan kaji selidiki untuk mengetahui pandangan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dan rakyat akan menunggu dengan apa yang dijanjikan oleh kerajaan.

"Jangan-jangan yang dijanji tidak ditunaikan. Kalau cakap tidak serupa bikin, susah. Jadi, cakap seperti apa yang akan dibikinkan," katanya.

Mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Jumaat lalu, katanya kerajaan BN harus memastikan semua projek dilaksanakan dengan jayanya kerana rakyat akan menilai hasil dan usaha kerajaan.

- Bernama

No comments: