Cuba Banding

Thursday, July 14, 2011

Samad Said: Najib 'memang kejamlah' updaated 5.00 pm July 14


4
Samad Said: Najib 'memang kejamlah'
Abdul Rahim Sabri
Jul 14, 11
5:00pm
Kongsi 587
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.

"Kalau tengok (perdana menteri) yang sudah-sudah itu, (Najib) memang kejamlah," katanya ketika diminta membandingkan pentadbiran Najib dan dua penyandang sebelumnya - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

NONEMenceritakan kembali "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, A Samad (kiri) mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.

Ketika diwawancaraMalaysiakini di sebuah restoran di Bangsar hari ini, A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".

"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.

Kepimpinan 'bangsawan'
Sehubungan itu, A Samad mendesak Najib meletakkan jawatan, selaras dengan kempen sama di Facebook yang kini sudah digemari hampir 200,000 orang.

"Ya, saya mahu (beliau letak jawatan). Saya ikut (perkembangannya) dalam Facebook, amat bagus (kempen itu). Kalau di Jepun, orang lain buat salah pun, menteri itu tunduk depan orang.

NONE"Ada perdana menteri Jepun tidak sampai satu penggal pun, (letak jawatan). Tapi di sini tentu, orang sangat mengidam kuasa," katanya sambil menambah kerajaan tidak lagi memerintah "dengan sukaan umum".

Bagaimanapun, ditanya tentang perdana menteri mana yang yang paling bagus, A Samad tidak menjawabnya secara langsung, sebaliknya menyebut tentang penguasaan "bangsawan" bagi jawatan itu.

Katanya, sepanjang lebih 50 tahun kemerdekaan, kecuali Dr Mahathir, kesemua perdana menteri disandang oleh golongan itu yang disifatkannya "hidup mudah".

"Laporan-laporan yang sampai ke telinga (mereka) itu, semuanya yang cantik sahaja. Jadi, mereka tidak merasakan (kesusahan rakyat).

"Saya merasakan sudah waktunya, kepimpinan harus datang dari bawah, bukan dari atas," tegasnya lagi.


A Samad Said diwawancara Wee Yu Meng, Jimadie Shah Othman, Abdul Rahim Sabri dan Nigel Aw.



Khalid Samad: Bersih 2.0, pengalaman saya
Khalid Samad
Pengalaman saya bersama Perhimpunan BERSIH 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui ELITE/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana UMNO/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara ‘illegal’, BN mencuri harta rakyat melalui cara ‘legal’.

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai ‘pemandu pelancong’ ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Dato Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Hj Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu BERSIH 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap BERSIH 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Hj Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke Lobi, pelanggan di restoran di kawasan Lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan Negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk Negara. Hanya UMNO tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri!
Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama Hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu ‘terowong’ tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Landrover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah landrover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju BERSIH 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak ‘lubang’ di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan Negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

(Khalid Samad sejurus selepas terkena botol gas pemedih mata yang ditembak ke atas kepalanya. Ketika gambar diambil, kepala sudah berbungkus dengan kain puteh)

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plaktik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

http://bm.harakahdaily

PSM dakwa EO ganti ISA
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Julai: Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mendakwa kerajaan menggunakan Ordinan Darurat (EO) menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan enam aktivis parti itu untuk mengaburi mata rakyat.

Pengerusinya, Dr. Nasir Hashim berkata, aktivis PSM tidak seharusnya ditahan di bawah EO kerana mereka bukan penjenayah sebaliknya bergerak di bawah parti yang sah.

"Kawan-kawan kami terperangkap dalam akta ini dan EO tak boleh digunakan ke atas orang politik. Ia hanya untuk penjenayah yang sangat berbahaya," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA juga berkata, cara tahanan di bawah EO sama seperti ISA yang penuh dengan tekanan.

"Dalam ISA akan ditimbulkan pelbagai kemungkinan. Saya tak percaya kalau sesorang tahanan itu membuat sesuatu pengakuan selepas 60 hari ditahan kerana mereka mengalami pelbagai tekanan," katanya yang juga Adun Kota Damansara.

Sementara itu, bendahari GMI, Nashita Md Nor berkata, kerajaan takut untuk menggunakan ISA kerana rakyat sudah celik mengenai akta zalim itu.

"Rakyat sudah biasa dengan ISA, daripada kempen penerangan kita dan sebagainya tapi EO rakyat tak biasa lagi. Sebab itu kerajaan berani guna EO," katanya.

Beliau turut mendakwa EO lebih teruk daripada ISA kerana selain daripada ditahan tanpa bicara, tahanan juga akan disumbat ke Penjara Simpang Renggam bersama penjenayah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan berat.

"Menurut peguam Edmund Bon, terdapat kira-kira 1,000 tahanan di Simpang Renggam dan tempatnya sangat penuh dengan penjenayah dari pelbagai latar belakang kesalahan," katanya.

ISA versi baru

Aktivis GMI, Norlaila Othman yang juga merupakan isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dalam sidang media sama menyifatkan EO sebagai "ISA versi baru".

Beliau berkata, daripada pengalaman suaminya yang ditahan selama tujuh tahun di kem Kamunting, tindakan yang dilakukan terhadap enam aktivis ini sama dengan apa yang pernah dilalui oleh suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan gerakan Jemaah Islamiyah.

Antaranya mengenai soalan-soalan yang ditanya kepada tahanan dan dipaksa untuk menyetujui jawapannya.

Tahanan juga katanya akan dikaitkan dengan gerakan komunis dan musuh utama kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bila saya dan suami saya tengok soalan-soalan dan jawapan ini, sama sebiji dengan apa yang pernah diberikan kepada suami saya.

"Memang sama dengan ISA. Ada satu soalan, satu jawapan. Hari-hari begitu, nak atau tidak memang kena terima.

"Apa yang disoal sama dengan ISA.Dikaitkan dengan komunis, dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar, nak tunjukkan betapa bencinya kerajaan dengan Anwar," katanya yang melalui pelbagai cabaran dan tekanan sepanjang bergerak aktif dalam GMI.

Beliau turut mencadangkan segala pendedahan itu ditulis dalam blog yang diuruskan oleh aktivis agar maklumat samapai keapda rakyat.

"Semasa suami saya dalam tahanan, memang saya menulis dalam blog dan saya rasa dalam hal EO ini juga perlu dicatat dalam blog supaya dapat diketahuai oleh ramai orang mengenai EO ini," katanya.

http://bm.harakahdaily

No comments: