BERSIH 2.0 membersihkan stigma dan ketakutan masyarakat Cina Malaysia terhadap demonstrasi
![]() 9 Julai 2011 membuka satu lembaran baru dalam proses pendewasaaan demokrasi di Malaysia. Puluhan ribu rakyat Malaysia melepasi segala rintangan sekatan polis dan ugutan kekerasan untuk berhimpun dan berarak demi satu matlamat bersama - sistem pilihanraya yang BERSIH. Apa yang lebih signifikan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini ialah ia bukan sahaja berlangsung di Kuala Lumpur malah di berpuluh bandaraya di seluruh dunia di mana rakyat Malaysia menetap. Namun, pada hemat saya, kejayaan terbesar pada 9 Julai ialah ia telah menghapuskan satu stigma lama di kalangan masyarakat Cina Malaysia iaitu demonstrasi dalam apa bentuk sekali pun, akan membawa kepada rusuhan kaum dan keadaan huru-hara. Stigma ini sudah lama tertanam dalam minda masyarakat Cina Malaysia hasil daripada propaganda berterusan dari UMNO dan MCA bahawa masyarakat Cina akan menjadi mangsa paling teruk dalam keadaan rusuhan kaum. Kedai-kedai milik orang Cina akan dibakar, orang Cina akan diserang dan dibelasah teruk dan akhirnya masyarakat Cina tidak dapat hidup dalam keadaan aman, kata mereka. Apabila keadaan politik tidak stabil, maka ekonomi negara akan terjejas dan ini tentulah akan menjejaskan kepentingan ekonomi masyarakat Cina yang banyak terlibat dalam sektor perniagaan. Mereka ingat skrip ini masih laku pada tahun 2011 dan mereka telah mengupah "kontraktor" baru yang bernama PERKASA untuk melaksanakan kerja-kerja ini. Masih ingat apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali beberapa minggu lepas? Beliau "menasihatkan" orang Cina yang duduk di KL supaya membeli lebih banyak stok makanan dan beras sebelum 9 Julai dan sembunyilah di rumah pada hari tersebut kerana akan berlaku pertembungan di antara dua kumpulan orang Melayu dan huru-hara akan tercetus. 9 Julai datang dan lalu. Perarakan dan perhimpunan telah dijalankan secara aman. Yang menyebabkan rakyat yang berhimpun secara aman lari lintang-pukang ialah apabila FRU memancut air dan menembak gas pemedih mata dengan sewenang-wenangnya. Tidak ada dua kumpulan yang bertembung seperti yang digembar-gemburkan oleh PERKASA. Yang ada, hanya sekumpulan kecil dalam lingkungan 300 orang yang menamakan diri mereka sebagai "Patriot" yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO. Tak apa, itu hak mereka berhimpun. Ini satu aspek yang membuktikan kematangan pemikiran rakyat Malaysia. Para demonstran yang berarak hari itu tahu mengapa mereka berada di sana, Ia adalah kerana satu tuntutan yang sah untuk menikmati sistem pilihanraya yang adil dan bersih. Mereka ingin membuktikan bahawa "tunjuk perasaan" merupakan satu manifestasi kebangkitan kesedaran hak politik rakyat secara aman. 9 Julai berjaya menghilangkan kebimbangan para peniaga terhadap demonstrasi jalanan. Malah, yang membuka perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut mendapat "durian runtuh" disebabkan pelanggan yang ramai. Kalau rakan saya, Ng YenYen mengatakan sektor pelancongan kehilangan RM100 juta pada hari tersebut, maka beliau patut menyalahkan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke Kuala Lumpur pada hari tersebut sehingga ratusan ribu lagi "pelancong" dari seluruh negara tak dapat sampai ke ibu kota. Fenomena inilah yang tidak dapat difahami oleh MCA. Mereka masih menggunakan skrip dan pendekatan generasi "radio dan televisyen hitam putih" era-1969 ke atas generasi "Facebook danTwitter" era-2011! Pendek kata, mereka telah ketinggalan zaman dalam memahami perubahan sosio-politik masyarakat Malaysia dan pemikiran anak muda. Tak apalah, biarlah Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai terus tidur dalam buaian! Utusan Malaysia dan propagandis UMNO ingin menyembunyikan fakta bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum. Mereka terus memainkan perang psikologi dan mendakwa kononnya PAS telah diperalatkan oleh DAP. Mereka cuba menggambarkan bahawa yang ditangkap dan terhidu gas pemedih mata hanya orang PAS. DAP dan yang lain hanya memainkan "remote control" untuk memperkudakan ahli-ahli PAS. Ini satu permainan politik yang cukup kotor dan menjijikkan. Sebagai seorang pemimpin DAP, saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada pimpinan PAS atas semangat setiakawan dan keprihatinan mereka terhadap kumpulan perarakan kami di Pudu Plaza. Pada malam 8 Julai, saya dan Vincent Wu (Penolong Setiausaha Organisasi Pusat DAP) telah dipanggil untuk perbincangan mengenai isu keselamatan di Pejabat Agung PAS bersama dengan Salahuddin Ayub, Hatta Ramli, Dzukefly Ahmad dan Kamarulzaman dari Pemuda PAS. Tian Chua juga berada dalam perbincangan tersebut. Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai telah melakarkan satu wadah baru dalam lanskap sosio politik Malaysia. Sekiranya rakyat berbilang kaum boleh berarak dan berhimpun bersama-sama untuk satu tujuan dan matlamat yang diidami, maka tidak ada alasan mengapa kepimpinan pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat tidak boleh terus mara memimpin agenda perubahan untuk Malaysia dan mengembumikan Barisan Nasional dalam PRU ke-13 nanti. Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini *Loke Siew Fook (gambar kanan) ialah Ketua DAPSY merangkap Ahli Parlimen Rasah. http://merdekareview Suhakam: Siasatan awam dakwaan keganasan polis ![]() Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengumumkan ia akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu ini. Bagaimanapun, ia sedang mengkaji bidang rujukan siasatan tersebut yang akan diumumkan kemudian. Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee mengumumkan demikian selepas menerima memorandum dari peserta perhimpunan BERSIH yang diketuai ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Marina Chin Abdullah. [Berita lanjut menyusul] |


No comments:
Post a Comment