Cuba Banding

Tuesday, March 27, 2012

Jawatankuasa khas Parlimen dilarang bincang NFC, Lynas, kes Tajudin Ramli

Nazri: Jawatankuasa khas Parlimen dilarang bincang NFC, Lynas, kes Tajudin Ramli

March 27, 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac — Parlimen dan jawatankuasa khasnya tidak dibenarkan berbincang berkenaan butiran Lynas Corporation, Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan juga kes Tajudin Ramli sehingga mahkamah membuat keputusan, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Menteri kanan itu berkata perkara itu berkuatkuasa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) terhadap Lynas, penyiasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap RM250 juta skandal NFC dan soalan Pakatan Rakyat (PR) yang ditolak berkenaan penyelesaian kes Tajudin di luar mahkamah.
“Betul, sekiranya ia masih dibincangkan di mahkamah, undang-undang subjudis terpakai untuk itu,” katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditanya di Parlimen semalam.
Turut dinyatakan Lynas PSC hanya mempunyai tiga bulan penggal yang akan tamat sebelum mahkamah menyelesaikan kes tersebut, namun Nazri berkata tempoh panel tersebut masih boleh dilanjutkan.
“Kes Tajudin masih lagi dibincangkan di mahkamah,” katanya.
Menjelaskan isu subjudis hanya boleh ditentukan oleh mahkamah dan bukannya Parlimen, menteri itu berkata, “pada saya jelas sekiranya kes itu masih lagi dalam perbicaraan, kita tidak boleh membincangkannya”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu (gambar) berkata demikian apabila menjelaskan keputusan Dewan Rakyat menolak soalan berkenaan Tajudin, bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS), dan penyelesaian kontroversi beliau dengan Danaharta.
“Lagipun, penyelesaian di luar mahkamah bukanlah tidak pernah ada di dunia ini,” tambahnya.
Pada 13 Mac, dilaporkan Dewan menolak soalan daripada DAP berkenaan penyelesaian di luar mahkamah Tajudin-Danaharta atas alasan ia tidak boleh dibincangkan.
Keempat-empat ahli Parlimen itu menyoal Putrajaya berkenaan butiran penyelesaian tersebut dan bagaimana ia akan memberikan kebaikan orang ramai sedangkan Tajudin sudah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar RM589 juta kepada Danaharta, yang mana di wujudkan bagi mengatasi krisis hutang sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997.
Selasa lalu, topik berkenaan subjudis sekali lagi dibangkitkan di Parlimen ketika debat berkenaan cadangan membentuk Lynas PSC.
Usul berkenaan diluluskan walaupun pembangkang enggan memberikan kerjasama, dan menyatakan mereka adalah “pengamal perhubungan awam” oleh Putrajaya untuk membenarkan kilang Lynas di Kuantan.
Namun begitu, Nazri semalam mengingatkan  Dewan telah mempertimbangkan berkenaan Lynas PSC telah memusatkan “pentadbiran” berkenaan pembentukan panel, sama seperti komposisi dan rujukannya.
“Jadi sekiranya ada pihak berkata kerajaan tidak konsisten (dengan menolak soalan Tajudin) kerana kami membenarkan perbincangan Lynas, itu tidak benar.
“Hanya berkenaan Lynas, kami tidak berbincang berkenaan merit kes,” jelas Nazri.
Sepuluh penduduk Kuantan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Australia itu, Lynas Corporation, untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melawan keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) berkenaan lesen operasi sementara (TOL) untuk menjalankan kilang nadir bumi tersebut di Gebeng, Kuantan.
Rabu lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan kepada Dewan perkara spesifik berkaitan dakwaan jenayah terhadap Pengerusi Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail adalah subjudis apabila membincangkan skandal NFC.
Penjelasan beliau itu dibuat selepas menolak usul tergempar minggu sebelumnya untuk membincangkan penyalahgunaan wang oleh Salleh dan dan keluarganya. Salleh yang didakwa atas jenayah pecah amanah di mahkamah adalah suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
PAC turut membuka kes berkenaan Tajudin dan NFC, tapi menurut Nazri, jawatankuasa tersebut adalah tidak dibenarkan untuk menyentuh perkara yang berkaitan kes yang masih berlangsung di mahkamah.


themalaysianinsider.




Hutang kroni dilupus, hutang mahasiswa dikejar

Khairil Abdul Rahim,27 Mac 2012
TEMERLOH, 27 Mac: Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim mempertikaikan bagaimana kerajaan boleh lupuskan hutang kroni sehingga setengah bilion ringgit sedangkan hutang pelajar universiti yang hanya puluhan ribu tidak henti-henti dituntut dan dikejar.

“Bayangkan di negara ini ilmu pun macam diniagakan, masuk belajar kena berhutang. Sanggupkah kita tengok nak belajar kena berhutang dan habis belajar bukannya terus dapat kerja. Pengangguran sekarang ini dua kali ganda jumlah mahasiswa.

“Tapi tuan-tuan tengok Tajudin Ramli hutang RM584 juta boleh dilepas dan selesai begitu saja sedangkan mahasiswa berhutang antara RM15 ke RM50 ribu dikejar sehingga ke lubang kubur. Jadi apa gunanya masuk universiti?

“Mahasiswa yang belum tahu untung nasibnya disenaraihitam dan tak boleh keluar negara. Tapi kalau tengok pemimpin negara sampai berbuih mulut kata rakyat diutamakan,” sindirnya.

Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) yang digantung itu berkata demikian ketika berceramah di Taman Saga di sini semalam.

Beliau pernah mencetuskan kontoversi kerana menurunkan gambar Perdana Menteri di PWTC itu berkata, negara sudah lebih 50 tahun merdeka tetapi rakyatnya masih terkongkong walaupun mereka yang dianggap berilmu iaitu pelajar universiti.

“Saya digantung oleh pihak universiti kerana membantah Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang sudah 40 tahun menutup mulut mahasiswa.

“Kami bantah Auku kerana tak logik membisukan pelajar universiti. Bayangkan kalau yang belajar dalam jurusan Sains Politik takkan tak boleh kritik parti politik, nakkan cakap tentang ayam itik.

“Saya sendiri sebagai mahasiswa. Kita kritik sebab kita sayangkan negara ini. Takkan nak biarkan pemimpin makan rasuah,” hujahnya lagi.

Adam menambah, dengan membisukan mahasiswa itulah menyebabkan pemimpin tidak takut makan rasuah banyak-banyak kerana mahasiswa tidak boleh bersuara. Sedangkan mahasiswa orang yang berilmu justeru tidak mungkin membiarkan kemungkaran dan penganiayaan.

Katanya, apabila sudah tidak ada lagi saluran untuk suarakan kepincangan di mana lagi jika tidak di jalan raya sebagaimana di negara-negara maju mahasiswanya berdemonstrasi di jalan raya.

“Jadi pada hari itu (15 Disember 2012) saya bersama 500 mahasiswa berarak ke PWTC kerana bangunan itu bangunan Umno iaitu parti yang memerintah negara ini.

“Saya turunkan berdera gambar (Datuk Seri) Najib Tun Razak sebagai simbolik membantah penipuan slogan transformasi untuk memansuhkan Auku dan hilang kepercayaan anak muda kepada kepimpinannya selaku ketua kerajaan,” hujahnya lagi.

Adam menyeru golongan anak-anak muda supaya segera menggerakkan perubahan kerana sudah 54 tahun selepas merdeka tetapi pemimpin negara dan parti memerintah masih bergelumang dengan rasuah serta politik perkauman yang membawa budaya samseng.

“Jadi kepada anak-anak muda saya seru, inilah masa yang paling sesuai untuk tumbangkan kerajaan yang ada hari ini demi kebaikan generasi akan datang,” laungnya dengan penuh bersemangat.



harakahdaily.

Pelaburan FGVH di luar negara rugi

PAS dedah pelaburan FGVH di luar negara rugi

Hazayani Zakaria,26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: PAS hari ini mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di luar negara mengalami kerugian.

Bukti tersebut diperoleh daripada laporan audit FGVNA sehingga 31 Disember 2010.

Pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berkata, syarikat pegangan pelaburan, Felda Global Ventures North America Sdn. Bhd. (FGVNA) mencatat kerugian sebanyak RM27,576,023 pada 31 Disember 2010 berbanding keuntungan sebanyak RM44,832,558 pada 31 Disember 2009.

Katanya, kerugian itu akibat anak-anak syarikat miliknya di Amerika Utara gagal membayar balik pinjaman yang diberikan sebanyak RM48,173,488.

"Felda telah melabur dana melebihi RM1,000,000,000 di dalam Twin Rivers Technologies Holdings Inc (TRTH) dan anak-anak syarikatnya di Amerika dan Kanada sejak Oktober 2007.

"Berdasarkan dua pengukur prestasi iaitu syarikat rugi dan pinjaman yang diberikan kepada anak-anak syarikat gagal dibayar balik mengikut terma yang dipersetujui dan ini membayangkan prestasi syarikat bermasalah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rosli juga mempersoal tujuan FGVNA membeli saham TRTH pada harga RM1,567.50 sesaham.

"Kenapa Felda memilih untuk membeli 97 peratus milikan dalam TRTH walhal ia adalah pemain baru dalam bidang oleochemicals yang ditubuhkan pada 1994 dan TRTH bukannya market leader dalam bidang ini?" soalnya yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Selain itu katanya, pelaburan yang dibuat FGVNA di Amerika Utara iaitu Amerika syarikat dan Kanada amat besar iaitu berjumlah RM1,255,263,942.

"Apakah pulangan tahun yang diharapkan daripada pelaburan ini? Apakah manfaat kepada peneroka-peneroka Felda daripada pelaburan ini?" soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub terus meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberi penjelasan berhubung kemerosotan tunai Felda daripada 4.5 bilion pada 2001 kepada 1.2 bilion pada 2005.

"Felda telah ada ibu pejabat tapi beli lagi pejabat di KLCC berharga RM600 juta lebih.

"RM235 bilion dibayar sebelum pembinaanya. Adakah ia dirujuk kepada ahli lembaga pengarah Felda dan adakah pejabat ini yang diperlukan peneroka?

"Datuk Ahmad Maslan kata semuanya untung, tak ada rugi," katanya.

PAS sokong demo hapus hutang PTPTN sebelum p'raya

PAS sokong demo hapus hutang PTPTN sebelum p'raya
Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Katanya, PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapuskira oleh kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan sanggup menghapuskira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Mohamad berkata, kerajaan perlu menghapuskira hutang berkenaan sebagai tanda "kasih sayang" kepada para pelajar dan juga sebagai satu bentuk pelaburan kepada golongan muda ini.
Beliau mengaitkan perkara itu dengan tindakan kerajaanmelupuskan pinjaman sebanyak kira-kira RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.

"PAS akan menyokong (perhimpunan) kerana bila Tajudin Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini, hampir RM600 juta (hutang) dilupuskan. Kenapa pelajar yang berhutang RM3,000, RM4,000, RM6,000 tak boleh dihapuskira?

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira.  Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," kata Mohamad lagi dalam satu sidang media hari ini.

Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan akan dirancang oleh kumpulan pelajar dan PAS akan menyokong usaha itu.
Ketika dihubungi selepas itu, Mohamad berkata perhimpunan tersebut antara lainnya akan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia.
"Tarikhnya mereka belum tahu lagi bila," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata PAS juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Terengganu yang menarik balik biasiswa ke atas sembilan orang pelajar tajaan negeri itu.
Pelajar di universiti Mesir itu dikenakan tindakan berkenaan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada Julai tahun lalu.
Katanya, PAS mengutuk tindakan kerajaan Terengganu merupakan tindakan keterlaluan, zalim dan menganiaya anak Melayu.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS akan menghantar satu memorandum "dalam masa terdekat" untuk menyampaikan tuntutan berkenaan.
"Kalau tidak ada apa-apa perubahan daripada tindakan menarik biasiswa maka kita akan bincang peguam untuk ambil tindakan," katanya lagi.
PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Saturday, March 24, 2012

'Skandal Copgate'

'Skandal Copgate': Gantung tugas AG, kata PKR
Pembangkang hari ini menggandakan desakan terhadap kerajaan supaya menggantung tugas Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail ekoran dakwaan penglibatannya dalam skandal 'Copgate'.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, ini kerana, ia dakwaan yang serius kerana beberana pihak seperti bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dikaitkan.

Malah, katanya, ia melibatkan penangkapan penjenayah penting.

Surendran berkata, pegawai terlibat juga bukan polis berpangkat rendah, tetapi pegawai tertinggi pasukan keselamatan.

"Dakwaan juga bukan dibuat daripada lelaki di tepi jalan tetapi (bekas pengarah siasatan jenayah) Datuk Ramli Yusuff, pegawai polis yang sangat kanan dalam pasukan keselamatan.

"Terdapat juga dakwaan selain ini terhadap peguam negara. Kenapa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka?" soal Surendran yang juga seorang pengamal undang-undang.

malaysiakini.


Penyelewengan: Jamil Khir didesak lantik audit bebas siasat pelaburan Tabung Haji

Diterbitkan oleh: Editor@WD
Sabtu, Mac 24, 2012 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom didesak supaya melantik badan akauntan dan audit bebas bagi menyiasat secara terperinci aktiviti pelaburan anak syarikat Lembaga Tabung Haji (LTH).

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, ini perlu bagi meningkatkan akauntabiliti, ketelusan serta memberi jaminan segala pelaburan dan proses tatakelolaan LTH selamat dari penyelewengan.

Katanya, pihaknya bimbang apabila LTH terlibat dalam pelaburan syarikat yang bermasalah, Silver Bird Group Berhad yang telah menghadapi masalah kewangan yang serius dan perlu melakukan penstrukturan semula hutang sejak Februari lalu.

“Sebagai salah satu pemegang saham terbesar syarikat ini, LTH (22.19 peratus) sudah tentu terdedah kepada ketidaktentuan di Silver Bird ini yang dianggarkan menjangkau RM111.5 juta,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen baru-baru ini.

Malah, katanya isu pelaburan dan tender projek “Queue Management System” turut dibangkitkan apabila diberikan kepada syarikat yang kurang berpengalaman sehingga Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemberian tender itu.

“Selain itu, isu Lityan dan peletakan jawatan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) selepas EGM di Petra Perdana menguatkan lagi tanggapan tentang kepincangan dan kelemahan pelaburan yang dbuat oleh LTH,” tegas Naib Presiden PKR itu.

Beliau berkata, dakwaan ini dikuatkan lagi apabila bekas Pengerusi dan Pengarah Besar LTH Tan Sri Hanafiah Ahmad mencadangkan agar siasatan bebas perlu dijalankan segera kerana terdapat banyak aktiviti pelaburan LTH yang dipersoalkan oleh para pendeposit yang kini seramai 5.1 juta.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah yang berpandangan akauntabiliti dan ketelusan pelaburan LTH tidak memuaskan, menurut Izzah yang memetik laporan akhbar pada StarBiz tahun 2010.

“Saya harap kebenaran isu ini akan dicapai demi rakyat khususnya umat Islam yang menjadi pendeposit dalam LTH,” katanya.

Sumber: Freemalaysiatoday.com 

warkahdaily.

Tiada manipulasi hakim dalam isu FELDA, kata Najib

Tiada manipulasi hakim dalam isu FELDA, kata Najib

March 24, 2012
KUALA LUMPUR, 24 Mac — Datuk Seri Najib Razak menafikan tuduhan yang dibuat PKR terhadap pentadbirannya yang mendakwa telah memanipulasi hakim yang terlibat dalam kes FELDA.
Perdana Menteri itu berkata kepada pemberita bahawa dakwaan sedemikian “adalah penyelewengan fakta” dan akan dijelaskan di Parlimen minggu hadapan.
Najib bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Ahli Majlis Tertinggi Umno di PWTC di Kuala Lumpur 23 Mac 2012. — Foto oleh Choo Choy May
“Perkara itu tidak benar. Itu adalah penyelewengan fakta,” kata Presiden Umno itu selepas mempengerusikan Ahli Majlis Tertinggi Umno malam tadi.
“Datuk Ahmad Maslan ada fakta lengkap,” tambahnya, merujuk kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu.
PKR menuduh Perdana Menteri Isnin lalu cuba untuk mempengaruhi mahkmah berhubung kes Felda dan mendakwa mereka mempunyai bukti yang menyokong tuduhan tersebut.
Memetik minit mesyuarat antara Najib dan pengurusan FELDA pada 27 Jun di Parlimen tahun lalu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution telah membaca petikan yang “membuktikan” tuduhan terdapatnya cubaan untuk mempengaruhi kes mahkamah FELDA.
“Pastikan hakim dan peguam diberikan pemahaman berkenaan subjek dan teknikal untuk pengiraan OER (kadar perahan sawit mentah) bagi memastikan FELDA menang kes tersebut,” kata Ahli Parlimen Machang itu membaca petikan tersebut.
Ahli Parlimen Machang itu menegaskan terdapat empat kes melibatkan peneroka FELDA dan OER, dan pendedahan itu membuatkan sistem keadilan di mahkamah boleh dipertikaikan.
Pemimpin PKR berkata kerajaan harus memberikan jaminan berlakunya perbicaraan yang adil untuk peneroka FELDA, dan menambah ini menimbulkan keraguan serius terhadap tindakan perundangan yang diambil oleh peneroka yang menentang penyenaraian FELDA.
Bulan lalu, lapan peneroka FELDA telah memenangi arahan sementara mahkamah menghalang penyerahan pegangan saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada FELDA Global Venture Holdings (FGVH), langkah penting untuk penyenaraian firma perladangan tersebut.
Penyenaraian FGVH telah diumumkan Najib ketika Pembentangan Belanjawan 2012 yang akan menyaksikan unit yang mengalami kerugian menguasai aset yang dimiliki KPF sekarang.
Putrajaya minggu lalu berkata akan melaksanakan rancangan penyenaraian itu pada Jun, dengan atau tanpa 51 peratus pegangan FELDA Holdings yang dimiliki peneroka.
Kerajaan sebelum ini menegeaskan mereka mempunyai sokongan daripada majoriti peneroka, walaupun laporan pembangkang menunjukkan sebaliknya.
FELDA mengumumkan daripada IPO akan ditukarkan kepada sebuah badan khas (SPV) bagi memastikan peneroka menerima faedah langsung daripada penyenaraian, selepas mahkamah menghalang pemindahan saham tersebut.
Namun begitu, PKR mendakwa SPV tersebut akan menurunkan nilai penyenaraian FGVH, menambah keputusan kerajaan itu adalah tindakan menghalang KPF.
Koperasi itu mempunyai 220,000 ahli, daripada 112,635 peneroka FELDA dan yang lainnya adalah kakitangan FELDA dan anak-anak peneroka.
Reuters bulan lalu melaporkan Putrajaya mungkin akan menangguhkan penyenaraian berikutan tentangan peneroka, yang mana akan menjadi risiko kepada sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) daripada peneroka yang merupakan bank undi kerajaan.
Pengkritik mendakwa rancangan penyenaraian itu yang menyaksikan FGVH yang mengalami kerugian mengambil alih KPF akan mengakibatkan peneroka dan FELDA mengalami defisit RM1.5 bilion setiap tahun.
Anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies, FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM500 juta tahun lalu.
Namun Ahmad berkata unit tersebut telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM203 juta dan RM366juta pada 2009 dan 2010.
FELDA Holdings mempunyai tenaga kerja seramai 19,000 kakitangan, dengan tenaga buruh seramai 46,795 bekerja di  300 ladang, 70 kilang pemprosesan, tujuh kilang penapisan, empat kilang kennel, 13 kilang getah, kilang perusahaan dan logistik, dan pemasangan pukal di Malaysia dan juga di luar negara.