Cuba Banding

Thursday, April 5, 2012

Siapa Sepatutnya bertanggungjawab 'task force' warga asing

Najib bertanggungjawab 'task force' warga asing

Harakahdaily,05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling bertanggungjawab atas kewujudan 'task force' yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila 'task force' itu memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tak mungkin mereka diberi kerakyatan untuk memilih mana-mana parti. Tentulah mereka dikehendaki memilih Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib sahaja.

"Lebih penting lagi, tak mungkin 'task force' seperti itu boleh wujud tanpa keizinan dan persetujuan Perdana Menteri memandangkan sebahagian dari yang terlibat itu adalah pegawai-pegawai kerajaan berprofil tinggi," katanya.

Bagi Salahuddin, apa yang berlaku itu adalah satu pengkhianatan yang sangat keji ke atas kedaulatan negara dan undang-undangnya.

"Lebih malang lagi, bolehkah kita mendakwa bahawa Perdana Menteri bukanlah boss besar kepada 'task force' itu?

"Apabila berlaku pengkhiantan, bolehkah kita mendakwa Perdana Menteri tidak mengetuai pengkhianatan terhadap negara itu?" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga yakin projek memenangkan BN yang melibatkan 'task force' itu pasti menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

"Selepas diberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tentulah wajib diadakan sistem pemantauan dan ugutan untuk memastikan warga asing berkenaan mengundi BN.

"Semua itu tentulah menggasak begitu banyak wang rakyat. Tak mungkin Najib dan para pemimpin Umno dan BN mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai projek memenangkan BN itu," kata Salahuddin.

Malah, katanya, pelbagai kesan dan akibat dari tindakan membanjirkan negara ini dengan warganegara asing yang diberi taraf kerakyatan itu juga akan memakan belanja yang luar biasa besar.

"Dengan taraf sebagai warganegara semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN, mereka juga akan mendapat pelbagai keistimewaan yang sememangnya dinikmati oleh rakyat negara ini. Semua itu akan memakan belanja berterusan yang sangat besar jumlahnya.

"Negara terpaksa menangung beban tambahan berterusan semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN. Itu belum lagi diambilkira kesan dan masalah sosial yang tidak dapat dielakkan akan tercetus," kata Salahuddin.

Sebab itulah beliau yakin, 'task force' tersebut akan menjadi pencetus kemarahan rakyat dan mereka akan membanjiri ibu negara dan tempat-tempat perhimpunan lain yang ditentukan di seluruh negara pada 28 April ini.

Bersih 3.0 menetapkan 28 April ini untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran duduk bantah di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat lain yang ditentukan di seluruh negara.

"'Task force' itu pasti menjadi satu lagi penyebab utama yang mendorong seramai-ramai rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 seluruh negara 28 April ini.

"500,000 duduk dan bantah di ibu negara bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan besar PAS akan menubuhkan 'task force'nya sendiri bagi menghadapi kerja jahat 'task force' itu.


harakahdaily.

Ini Contoh Kotoran SPR Yang Perlu Di Bersihkan 3.0 kan
Posted on Wednesday, April 04 @ 12:30:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Analisis IsuSumber Tukang Lawan


Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH dan saintis politik Wong Chin Huat mendedahkan lebih banyak contoh pengundi "klon", yang didakwanya sebagai pengundi hantu.

Menggunakan daftar pemilih suku keempat 2011, Wong (kiri) menjelaskan empat kaedah pengundi boleh didaftarkan banyak kali, supaya mereka dapat mengundi beberapa kali.

 
"Anda boleh mendapati bahawa kita telah begitu maju dalam teknologi pengklonan sehingga kita boleh mengalahkan Korea dan semua orang lain di dunia," kata pensyarah Universiti Monash itu sinis.

Empat kaedah tersebut adalah:

  • Pengundi yang mempunyai nombor kad pengenalan lama dan alamat yang sama, tetapi berbeza nombor kad pengenalan baru;
  • Pengundi yang mempunyai nama yang sama, tetapi nombor kad pengenalan baru yang sedikit berbeza;
  • Nama yang sama dengan tarikh lahir yang sedikit berbeza, dan nombor kad pengenalan baru; dan
  • Pengundi pos dengan nama yang sama tetapi nombor kad pengenalan yang sedikit berbeza .

Wong memberi 10 contoh pengundi yang mungkin "diklon" dan berkata, terdapat sekurang-kurangnya 560 contoh "klon" bagi jenis pertama.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu berapa banyak terdapat "klon" dalam tiga kategori yang lain, sambil menegaskan bahawa penyelidikan yang dijalankannya itu adalah membabitkan jumlah yang kecil sahaja.

Dalam satu contoh pengundi yang mempunyai nombor IC lama dan alamat yang sama, beliau menunjukkan cetakan 'screenshot' dari lamanweb semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini Contoh Kotoran SPR Yang Perlu Di Bersihkan 3.0 kan 


tranungkite.


Bosan konflik punca 69 ahli keluar Umno

Yaakub Dasan,04 Apr 2012
RANTAU PANJANG, 4 April: Bosan dengan konflik yang tiada penghujung melanda Umno bahagian ini menyebabkan ramai pemimpin di peringkat akar umbi bertindak keluar daripada parti tersebut.

Bagi mereka hubungan dingin Ketua Bahagian, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail tidak mampu dipulih lagi, biar pun ada kenyataan menggambarkan keadaan sebaliknya.

Bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Kedap, Abdul Rashid Daud berkata, permusuhan di peringkat bahagian belum reda kerana masing-masing mahu menjadi ketua.

Katanya, situasi itu sudah merebak ke peringkat akar umbi sehingga menyebabkan aktiviti parti tidak dapat diadakan seperti biasa.

“Pemimpin Umno Rantau Panjang tidak berkesudahan bermusuhan sesama sendiri. Sedangkan PAS nampak lebih padu perjuangan mereka.

“Sebab itulah kami merasakan tidak teragak-agak dan tiada sebab tidak mahu menyokong PAS. Perjuangannya bersandarkan agama,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang menyertai PAS beramai-ramai malam tadi.

Seramai 69 ahli dan penyokong Umno dari Cawangan Kampung Dangar dan Kampung Kedap menyerah borang menyertai PAS di majlis tersebut.

Borang berkenaan diserah Wan Zaidi Wan Hanapi kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang diadakan di rumah bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Dangar, Ismail Daud. (Gambar atas)

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang.

Sebelum ini konflik yang melanda Umno Rantau Panjang mengundang campur tangan Perhubungan Umno Kelantan. Biar ada kenyataan hubungan Abdullah dan Mohd Zain sudah pulih, namun keadaan di akar umbi menggambarkan sebaliknya.

Sementara itu di Kubang Kerian difahamkan lebih 300 bekas ahli dan penyokong Umno di bahagian terbabit dijangka menyerah borang menyertai PAS dalam masa terdekat ini. Sempena program itu diadakan ceramah perdana dihadiri Menteri Besar.

(Ikuti laporan penuh dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

No comments: