Cuba Banding

Friday, December 23, 2011

Pegawai SPRM serbu pejabat NFC dikemaskini 4.56pm

Pegawai SPRM serbu pejabat NFC
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat National Feedlot Corporation (NFC) hari ini berhubung skandal Fidlot yang membabitkan keluarga menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Enam pegawai penguatkuasa dari SPRM Putrajaya memasuki pejabat di Solaris Mont Kiara pada sekitar 2.50 petang, dengan disaksikan oleh petugas media yang berkumpul di situ.
Pegawai berkenaan, diketuai pengarah siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, dilihat keluar daripada premis berkenaan kira-kira dua jam kemudian.

Semalam, SPRM mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat skandal tersebut.
Projek NFC yang diusahakan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan juga anak-anak mereka, meraih kontroversi apabila projek berkenaan ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.
NFC didakwa menyeleweng pinjaman mudah RM250 juta itu untuk perbelanjaan tidak berkaitan, termasuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar.



SPRM rampas komputer, dokumen dalam serbuan terhadap pejabat NFC

December 23, 2011
KUALA LUMPUR, 23 Dis — Lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) merampas dokumen dan satu unit CPU komputer dalam serbuan di ibu pejabat Pusat Fidlot Nasional, National Feedlot Corporation (NFC) di Solaris Mont Kiara hari ini yang dikaitkan dengan penyelewengan dana kerajaan untuk projek ternakan lembu berkenaan.
Anggota SPRM yang diketuai oleh Pegawai Operasi SPRM Putrajaya, Supritendan  Wan Abdul Rahman Wan Mohd Salleh, dilihat memasuki pejabat berkenaan kira-kira jam 2.55 petang hari ini dan meninggalkan pejabat berkenaan pada jam 5 petang.
Menurut Wan Abdul Rahman, pihaknya telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja NFC dan mereka telah memberikan kerjasama yang baik.
“Kami telah mengambil keterangan daripada pekerja di syarikat ini (NFC) dan mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya yang juga merupakan ketua siasatan untuk NFC.
Dalam serbuan tersebut, SPRM telah merampas satu unit CPU  dan empat sampul surat putih berisi dokumen penting yang berkaitan dengan siasatan skandal NFC.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dokumen yang dirampas pihaknya.
NFC merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pusat ternakan lembu NFC yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan.
Skandal NFC tercetus apabila Laporan Tahunan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan dalam dana kerajaan sejumlah RM250 juta berhubung projek berkenaan.
Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil(gambar), turut dikaitkan dengan skandal tersebut.
Serbuan hari ini dikaitkan dengan pengumuman SPRM semalam bahawa pihaknya akan menyiasat kes penyelewengan dana kerajaan oleh NFC, bertentangan dengan kenyataan badan tersebut sebelum ini yang menyerahkan siasatan kepada pihak polis atas dakwaan terdapat kes pecah amanah.
SPRM turut mengesahkan pihaknya telah menahan reman seorang individu berpangkat “Datuk” semalam untuk disoal siasat berkaitan skandal tersebut.
Pakatan Rakyat telah menggunakan isu ini dan pemimpinnya menuntut Shahrizat untuk meletak jawatan atas penyelewengan yang berlaku.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menggesa Shahrizat mepaskan jawatan sebagai menteri dan Ketua Wanita Umno demi menjaga nama baik wanita ketika Kongres PKR di Johor bulan lalu.
Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin daripada Umno termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar dan beberapa ketua cawangan Umno turut membuat gesaan yang sama terhadap Shahrizat demi menjaga nama baik parti

No comments: