Cuba Banding

Friday, November 25, 2011

Akta Perhimpunan Aman untuk sekat Pakatan buat pendedahan

Anwar: Akta Perhimpunan Aman untuk sekat Pakatan buat pendedahan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengenalan Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sebenarnya merupakan tindakan untuk menghadkan pergerakan ahli parlimen Pakatan Rakyat dalam memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan salahguna kuasa, rasuah dan salah pengurusan oleh pihak pemerintah.

"Peruntukan di dalam Undang-Undang Perhimpuan Aman yang mana menetapkan denda sehingga RM20,000 jika didapati bersalah, membolehkan kerajaan mengheret ahli-ahli Parlimen Pakatan ke muka pengadilan jika melakukan ceramah, penjelasan dan perhimpunan, yang merupakan salah satu cara untuk Pakatan Rakyat terus memberi penjelasan kepada rakyat.

"Undang-Undang Perhimpunan Aman ini merupakan satu cara untuk menghalang Pakatan memberi penjelasan kepada rakyat secara berterusan mengenai perkara yang berbangkit kerana permohonan untuk mengadakan perhimpunan yang merujuk kepada ceramah dan sesi dialog dengan rakyat memerlukan kelulusan 30 hari sebelum perhimpunan itu diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemansuhan tiga proklamasi darurat - yang menurutnya hanya satu perkara kecil yang seharusnya telah dilaksanakan lama dulu - seharusnya membawa kepada kebebasan demokrasi yang lebih baik di Malaysia.

"Tetapi malangnya, pemerintah tidak mengotakan janji mereka dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang menyekat kebebasan rakyat dan sekaligus melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Tiga proklamasi darurat itu ialah:

(i) Proklamasi Darurat 1966 [P.U.(A)339A/1966] iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak bertujuan untuk membolehkan Kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak;

(ii) Proklamasi Darurat 1969 [P.U.(A)145/1969] iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 berikutan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ; dan

(iii) Proklamasi Darurat 1977 [P.U.(A)358/1977] iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 di Kelantan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian politik di negeri Kelantan.

"Kita gembira kerana perdana menteri menerima cadangan-cadangan Pakatan Rakyat, khususnya setelah Rang Undang-Undang Pemansuhan Darurat yang dicadang Pakatan Rakyat ditolak Speaker Dewan Rakyat pada April 2011," katanya.

Tambahan lagi, katanya, pendirian perdana menteri yang diwakili Datuk Seri Nazri Aziz begitu berbeza pada 16 Mac 2011 apabila dalam jawapan parlimen beliau kepada soalan ahli parlimen Lembah Pantai tentang kesediaan memansuhkan serta-merta pengisytiharan darurat: "Pada pandangan kerajaan, Proklamasi Darurat pada tahun 1969 masih wajar dikekalkan atas sebab yang berikut:

(a) Adalah wajar bagi kerajaan untuk mengekalkan Proklamasi Darurat pada tahun 1969 kerana jika tidak, undang-undang yang telah diperbuat semasa Proklamasi Darurat sedang berkuatkuasa akan terhenti berkuatkuasa mengikut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan ini akan menimbulkan kesukaran kepada kerajaan untuk mengawal jenayah untuk isu-isu yang melibatkan ketenteraman awam; dan

(b) Kemungkinan terdapat keperluan supaya undang-undang diperbuat dengan segera oleh YDPA semasa Parlimen tidak bersidang bagi menangani masalah berhubung dengan keselamatan negara antaranya yang melibatkan ancaman pengganas serta keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak diliputi di dalam undang-undang sedia ada.

"Pun begitu, kami alu-alukan pemansuhan ini kerana menandakan suara rakyat tidak dapat dihadang oleh kerajaan lagi," katanya lagi.

Pembangkang, menurut Anwar, telah lama membawa usul untuk memansuhkan proklamasi darurat sejak lama dulu iaitu sejak 1979.

"Malahan Pakatan Rakyat telah membawa usul untuk memperkenalkan Akta Pemansuhan Darurat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas tetapi yang melibatkan pemansuhan kesemua proklamasi darurat dan beberapa undang-undang serta peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan apabila diperkenalkan Proklamasi Darurat ini," katanya

No comments: