Cuba Banding

Friday, October 14, 2011

Utusan diarah bayar Khalid Samad RM60,000

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan akhbar Umno, Utusan Malaysia membayar gantirugi RM60,000 kepada Khalid Samad kerana memfitnah ahli parlimen Shah Alam itu.


Keputusan itu dibuat hakim Dr Prasad Sandosham Abraham hari ini berhubung berita di muka hadapan akhbar itu bertarikh 11 Oktober 2009 yang bertajuk ' Zulkifli bidas Pak Janggut'.


Peguam Mohamed Hanipa Maidin (kanan), yang mewakili Khalid berkata, selain membayar RM60,000 itu, Utusan juga diarah membayar kos perundangan.


"Mahkamah arahkan Utusan membayar RM60,000 kepada Khalid Samad sebagai gantirugi kerana memfitnah.


"Utusan juga kena bayar kos yang jumlahnya akan ditaksir kemudian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.


Hakim juga memberi tempoh satu bulan kepada Utusan untuk mengemukakan rayuan.


Utusan pada 11 Oktober lalu melaporkan 'Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin membidas individu yang digelarnya Pak Janggut yang sanggup memutar belit ayat-ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam.'


Di dalam samannya sebelum ini Khalid (kiri) menyatakan berita fitnah itu merujuk kepada beliau meskipun nama beliau tidak disebut.


Beliau menamakan Ketua Pengarang Utusan, penerbit dan pencetak akhbar itu, sebagai defenden dalam saman tersebut.


Ini kerana sebelum berita itu diterbitkan, beliau ada menulis surat kepada penduduk Seksyen 23 di mana di dalam surat tersebut Khalid ada menukilkan ayat-ayat Al-Quran bagi menegaskan perlunya umat Islam berlaku adil dalam isu pembinaan kuil di Sekyen 23 Shah Alam.


Hakim pada perbicaraan 30 September lalu, bersetuju bahawa artikel tersebut merujuk kepada Khalid dan hakim berkata tuduhan memutar belit ayat al-Quran adalah fitnah yang serius, lebih serius dari menuduh orang Islam sebagai Abu Jahal.


Pada 11 Oktober lalu, mahkamah telah mendengar hujah peguam kedua-dua pihak berkaitan isu gantirugi.


Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Khairudin manakala Utusan diwakili peguam Mohan dari Tetuan Shafiee & Mohan.


http://bm.harakahdaily.



PKR kesal dengan respons Menteri Pertahanan

October 14, 2011
KUALA LUMPUR, 14 Okt ─ Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan jawapan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung keraguan mereka terhadap Projek Network Centric Operation (NCO) yang diserahkan secara tender terus kepada Sapura Secured Technologies Sdn Bhd.
Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, masing-masing Naib Presiden PKR hari ini mempertikaikan jawapan menteri berkenaan yang disifatkan mereka tidak mempunyai perancangan yang menyeluruh dan hala tuju tepat.
“Kami, pemimpin PKR kesal dengan jawapan menteri kerana seolah-olah tidak ambil berat tentang pelaksanaan projek ini sedangkan ia melibatkan kos yang sangat besar,” kata Nurul Izzah (gambar).
“Daripada jawapan yang diberikan Menteri Pertahanan sewaktu sidang Parlimen tempoh hari, projek ini mengandungi empat fasa... fasa Pertama bermula tahun ini hingga Tahun 2015 seiring dengan Pelan Pembangunan Lima Tahun Rancangan Malaysia,” katanya.
Fasa Kedua antara 2016 hingga 2020 manakala Fasa Ketiga (2021-2025) dan Fasa Keempat (2026-2030).
Dalam jawapan bertulis Kementerian Pertahanan mengesahkan NCO dianugerahkan kepada Sapura atas faktor seperti kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pertahanan, keselamatan dan teknologi maklumat.
“Ia mengambil masa 20 tahun untuk melengkapkan keseluruhan fasa dan anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM140 juta untuk dua tahun, jadi secara keseluruhan, projek ini akan menelan belanja kira-kira RM 2 bilion untuk 20 tahun,” tegas beliau sambil menekankan jumlah itu akan dibazirkan sekiranya projek itu tidak dilaksanakan secara rapi dan tersusun.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, daripada keseluruhan fasa, Sapura diberi percubaan untuk melaksanakan Fasa 1A dan sekiranya tidak memuaskan, kerajaan akan memberikan pelaksanaan projek itu kepada syarikat lain.
“Ini menunjukkan kerajaan belum yakin dan bergantung kepada keupayaan Sapura ketika melaksanakan Fasa 1A tersebut, saya tidak menolak akan berlaku lonjakan kos sekiranya belaku perubahan-perubahan syarikat dalam pelaksana program itu,” ujarnya yang pernah mendakwa syarikat itu tidak memiliki kebolehan teknikal untuk melaksanakan projek ini.
Bersetuju dengan kenyataan Nurul Izzah, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu menjelaskan, kenyataan menteri berhubung keperluan perkakasan dan perisian bagi kegunaan projek ini, yang tidak dapat dikenal pasti dengan mudah dan memerlukan kajian serta perbincangan terperinci mengenainya turut akan menjadi punca lonjakan kos pelaksanaan sistem ini.
“Kementerian berkenaan juga tidak memberikan pelan tindakan lengkap program tersebut dengan tepat, mereka hanya memberikan jadual pelaksanaan untuk setiap fasa, tapi tidak memberikan maklumat terperinci, seolah-olah menteri sendiri tidak mengetahui apa sebenarnya hala tuju projek ini, jelasnya kepada The Malaysian Insider.
Dalam sidang media itu juga, Tian Chua menegaskan kementerian berkenaan seharusnya menyatupadukan sistem pembelian peralatan ketenteraan negara kerana kerajaan dilihat seolah-olah sedang “pergi membeli-belah untuk barangan keperluan ketenteraan tersebut.”
“Sistem pertahanan negara kita tidak terancang, kementerian seolah-olah pergi membeli-belah, pergi satu negara kemudian beli kelengkapan perang, kemudian pergi negara lain, beli kelengkapan perang yang lain, tidak bersepadu, seolah-olah tidak ada perancangan rapi untuk membeli keperluan tersebut,” katanya.
Beliau menyifatkan ia merupakan satu pembaziran dalam penggunaan wang kerajaan.
“Duit kerajaan ini seharusnya diurus secara efisyen,” tegasnya lagi.
Program NCO ATM ini adalah sebuah projek untuk mengintegrasikan semua aplikasi sistem, pengesanan, sistem arah dan kawal serta persenjataan untuk ATM.
Sebelum ini difahamkan bahawa pihak ATM telah pun memiliki sistem yang hampir sama, yang dimajukan beberapa tahun lalu.

No comments: