Cuba Banding

Friday, October 14, 2011

40 ribu nama diragui, apa jadi dengan ALIS

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pendedahan wujud 40,000 pemilih 'diragui' yang mahu dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada umum menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS).


ALIS iaitu satu sistem yang menghubungkan pengkalan data SPR dengan pengkalan data warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Ianya digunakan bagi mengenalpasti individu yang mendaftar sebagai pemilih adalah sah sebagai warga negara.


"Sebelum ini SPR begitu berbangga kerana mempunyai sistem yang dihubungkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai ALIS (Agency Link-Up System).


"Sudah pastilah JPN mempunyai pengkalan data yang paling canggih dalam negara kita. Tapi apa sudah jadi dengan sistem ini," soal Exco Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.


Beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu turut mempersoal adakah JPN tidak memiliki identiti semua warga negara Malaysia sehingga perlu dipaparkan kesemua 40 ribu pemilih yang meragukan kepada media.


Sepatutnya dengan sistem ALIS itu katanya, SPR dan JPN sudah mampu membezakan antara pengundi asli dan pengundi palsu.


"Mengapa baru sekarang SPR menyedari pemilih yang meragukan. Apakah sebelum ini SPR tidak menyedarinya?


"Kalau tidak menyedarinya bagaimana status pilihan raya ke-12 yang penuh dengan daftar pemilih yang tercemar," soalnya lagi.


Selain itu beliau turut mempersoal apakah SPR sudah tidak yakin dengan JPN kerana kelemahan sistem pengkalan datanya sehingga terpaksa dipamer kepada umum.


Ke mana hilang 10,000 lagi nama


Sementara itu, beliau mahu SPR menjelaskan ke mana hilangnya sejumlah 10,000 lagi nama yang sebelum ini didakwa sedang di siasat oleh mereka.


"Dalam kenyataan media yang terbaharu Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof telah mendedahkan bahawa terdapat 40 ribu pengundi yang diragukan.


"Sedangkan sebelum ini kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR bahawa terdapat 50 ribu pemilih yang sedang disiasat. Saya tidak tidak pasti bagaimana 10 ribu pemilih hilang secara tiba-tiba," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.


Pun begitu, beliau turut mengucap syabas kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya,Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof kerana akhirnya akur bahawa daftar pemilih SPR perlu dibersihkan.


Beliau juga mahu usaha Pemuda PAS membongkar segala kelemahan dalam sistem pilihan raya tidak lagi diperlekeh SPR


http://bm.harakahdaily



Pengundi diragui: Langkah SPR bukti daftar ragukan, kata Pemuda PAS

October 14, 2011
KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu mempamerkan 40,000 nama pengundi, yang dikategorikan sebagai kumpulan diragui untuk mendapatkan maklum balas maklumat yang sahih dan tepat.
Bagaimanapun sayap parti Islam itu yang secara berterusan mempertikaikan kesahihan daftar pemilih berkata, pihaknya cukup terkilan dengan sikap Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) yang sebelum ini sering berdolak-dalik berkenaan dengan isu yang cukup serius ini.
“Sebelum ini Abdul Aziz menafikan adanya pemilih yang diragui status pemilih mereka dalam data SPR seperti yang telah didedahkan oleh pihak Pemuda PAS Malaysia sebelum ini.
“Kini terbukti sudah kebenaran seperti yang didakwa dan mungkin angkanya melebihi daripada 40,000 nama seperti di dakwa oleh SPR,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mohd Sany berkata Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS berharap semoga pihak SPR berlaku telus dan bersungguh-sungguh untuk melakukan pembersihan daftar pemilih ini.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak mahu SPR hanya membuat kenyataan retorik yang hanya bertujuan untuk ‘mengaburi’ mata rakyat bagi menunjukkan kesungguhan SPR melaksanakan reformasi pilihanraya di dalam negara ini,” kata beliau lagi.
Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS katanya, “dengan ini mengarahkan supaya seluruh jentera Pemuda di semua peringkat untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti penama-penama yang akan dipamerkan oleh pihak SPR bagi memastikan penama-penama tersebut adalah sebenarnya orang yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pemilih  dalam negara ini, dan bukannya ‘orang samaran’ yang diciptakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.”
Selain itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya para pimpinan PAS di semua peringkat, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat serta sekalian rakyat Malaysia supaya melakukan semakan terhadap status diri sendiri sebagai pemilih berdaftar di dalam daftar pemilih kerana pihak Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia  mendapat maklumat ada usaha yang dilakukan oleh pihak SPR untuk “mengeluarkan dan menghilangkan” nama-nama pengundi yang telah berdaftar dan pernah mengundi sebelum ini secara tidak sah dan tanpa pengetahuan mereka melalui operasi pemutihan daftar pemilih ini.
Oleh itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS mengharapkan supaya sayap itu di peringkat kawasan akan memainkan peranan menyediakan perkhidmatan semakan status pengundi kepada masyarakat setempat di pejabat masing-masing secara serius untuk mengelak kejadian kehilangan pengundi daripada daftar pemilih sedia ada dan mengambil tindakan susulan sekiranya berlaku kes kehilangan tersebut kepada peringkat Negeri dan Pusat.
Semalam, Aziz berkata SPR akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.
Kata beliau, nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
“Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.
“Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak,” katanya.

No comments: