Cuba Banding

Thursday, August 18, 2011

Adakah dapat dipastikan tiada lagi penipuan setelah terbentuknya pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya


Panel Parlimen: Saya mahu pembangkang puas, kata Najib

TERKINI @ 09:29:59 PM 17-08-2011
August 17, 2011
KAPAR, 17 Ogos — Tiga hari selepas mengumumkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya, Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan itu diambil untuk “memuaskan” pembangkang meskipun mereka menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.
“Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai.
“Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka, maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem,” kata beliau (gambar).
“Kami mahu sesiapa yang memerintah negara ini dipilih mengikuti kehendak sebenar rakyat,” kata beliau pada majlis berbuka puasa di Pangsapuri Seri Perantau, kawasan perumahan kos rendah 11 blok dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri kini dalam usaha merangka persiapan untuk menjawab segala isu yang mungkin akan dibangkitkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen kelak berhubung usaha menambah baik sistem pilihan raya.
Kata Hishammuddin, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan antara isu yang dibincangkan pada pertemuan itu ialah mengenai daftar pemilih.
Beliau berkata turut dibincangkan pada pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof itu ialah mengenai pembersihan pada senarai daftar pemilih sekiranya perlu.
“Penting untuk menyelaraskan dari segi senarai nama mereka yang telah dapat kewarganegaraan, yang meninggal dunia dan senarai yang boleh mengundi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini.
Dipetik Bernama Online, Hishammuddin berkata pertemuan dengan SPR itu penting memandangkan setiap kali isu pilihan raya timbul, macam-macam tuduhan tidak berasas yang menyentuh tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dilemparkan.
http://www.themalaysianinsider


PSC, Hanya Untuk Diriuhkan, Tak Sempat Pun Untuk PRU-13
Posted on Wednesday, August 17 @ 10:50:43 PDT
Dilulus untuk paparan oleh aya

BeritaOleh: laniismaa

"NONECadangan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk melakukan pembaharuan dalam undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini akan dibuat tetapi belum tentu dapat dilaksanakan dalam PRU-13.

Kerajaan tentunya tidak mahu sesuatu yang menjerut leher mereka. Jawatankuasa ini hanya untuk mengendurkan kemarahan rakyat. Anwar juga berkata PM, Najib Abdul Razak mahu mengalih tekanan ke atas SPR dengan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas ini.

Bernama melaporkan PSC bagi menambah baik sistem pilihan raya yang mungkin ditubuhkan selepas 3 Oktober 2011. Hanya mungkin!!!


Nazri Aziz berkata "PSC akan draf laporan mengenai isu-isu pilihan raya, kemudian ia akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencapai rumusan. Selepas itu, draf akhir akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk semakan sebelum diluluskan oleh Kabinet, dan akhir sekali dibentangkan di Parlimen untuk digubal menjadi undang-undang,"

"Jika pilihan raya umum diadakan pada 2013, kita kemungkinan akan menggunakan undang-undang yang telah ditambah baik seperti dicadangkan oleh PSC".

"Bagaimanapun, saya tidak tahu bila pilihan raya umum akan datang diadakan. Hanya Perdana Menteri yang tahu,"

Maksud keseluruhannya, kerajaan akan bentuk PSC dan jangan harap akan dapat dilaksanakan dalam PRU-13. Ini hanyalah terlebih auta mengaburi mata rakyat, kerana diminta untuk dipercepatkan, kerajaan seronok melengah-lengahkannya. Janganlah kita pula yang terlebih seronok!! Ekele.Net 


http://www.tranungkite


Jawatankuasa yang tiada kuasa
Posted on Tuesday, August 16 @ 23:00:27 PDT by paktam
Pendapat
Oleh Adil Mat Selamat
Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa pehttp://www.mindaaktif.net/wp-content/uploads/2011/07/pilihanraya.jpgmilih Parlimen untuk meneliti status sistem pilihan raya ekoran kritikan dan dakwaan wujudnya banyak kepincangan dan kecacatan. 
Kita sebagai masyarakat awam sudah tentu akan menyambut baik apa sahaja usaha melaksanakan penambahbaikan yang berkaitan dengan fungsi dan peranan institusi-institusi awam di negara ini, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.



Sekilas pandang, kita boleh sahaja menganggap bahawa pentadbiran Najib mula memperakui dan tunduk kepada desakan Bersih 2.0 yang mahu kepada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Di pihak kerajaan, sudah tentu perkembangan ini diharap akan dapat ‘mencuci bersih’ imej Najib yang telah tercalar di seantero dunia gara-gara silap percaturan ketika berdepan dengan rakyat ketika tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Dunia telah melihat bagaimana kerajaan berjanji, mungkir janji dan memutarbelitkan janji; dunia menyaksikan bagaimana polis bertindak agresif dan ganas terhadap orang ramai yang berhimpun secara aman. Dan kini kerajaan Barisan Nasional seperti menjilat kembali ludah sendiri.
Mengapa perlu ada jawatankuasa pemilih?
Namun, setelah kita renung dalam-dalam akan cadangan panel Parlimen ini, timbul beberapa kemungkinan dan kesan yang akan berlaku dan seharusnya dilakukan.
Pertama, bukankah lapan tuntutan Bersih 2.0, jika dilaksanakan oleh SPR dengan perakuan kerajaan, sudah pasti tidak perlu diwujudkan jawatankuasa pemilih Parlimen ini? Bukankah dengan mewujudkan jawatankuasa itu ia akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung satu lagi beban kos?
Kedua, bukankah tuntutan Bersih 2.0 itu sudah amat jelas, ia ditujukan kepada SPR, bukan meminta penubuhan jawatankuasa yang lain? Mengapa tidak distrukturkan kembali, baik dari segi prosedur, proses, akta atau letakkan sahaja SPR di bawah tanggungjawab Parlimen?
Jika langkah ini diambil, selain dari perubahan proses dan perlaksanaan pilihan raya yang akan menjadi lebih bersih dan adil, SPR juga akan dilihat lebih telus kerana mereka akan menjawab terus kepada Parlimen, duit rakyat juga yang selamat.
Ketiga, dan yang paling penting, timbul persoalan di kalangan kita sebagai rakyat, oleh kerana ada keganjilan dan keanehan ini, benarkah jawatankuasa Parlimen itu mampu membawa perubahan yang diharapkan?
Jika kita perhatikan betul-betul, penubuhan jawatankuasa seperti ini seakan sudah menjadi ‘trend’, dan bukan sebagai jalan mencari penyelesaian.
Ke mana perginya hasil siasatan jawatankausa dan suruhanjaya?
Kita belum lupa pada penubuhan beberapa jawatankuasa seumpamanya seperti yang diwujudkan untuk kes kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamed, adik Aminurashid; malah Suruhanjaya Diraja kes pita V.K Linggam suatu ketika dulu yang jelas siapa melakukan kesalahan, telah ‘dimatikan’ begitu sahaja oleh peguam negara.
Kesemua hasil siasatan jawatankuasa dan suruhanjaya ini (dengan entah berapa kosnya) tidak ke mana-mana. Malah kemampuan, kredibiliti dan keberkesanan dari hasil jawatankuasa-jawatankuasa ini terus dipersoalkan.
Jadi apa guna tubuhkan jawatankuasa atau suruhanjaya jika matlamatnya – keadilan – tidak tercapai?
Jika kita pertikaikan perkara ini, maka kerajaan akan menuduh kita macam-macam – tidak mahu menerima hasil siasatan, enggan terima keputusan, dan sebagainya. Maksudnya, walau pun pelaksanaan dan keputusan jawatankuasa dan suruhanjaya gagal menghasilkan kebenaran atau keadilan, kerajaan tetap mahu memaksa kita sebagai rakyat menerimanya.
Itulah yang terjadi dan bakal terjadi khususnya pada penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen yang baru ini.
Hakikatnya, penubuhan segala macam jawatankuasa sebegini hanya untuk menggambarkan bahawa kerajaan ‘pro-aktif’ atau ‘responsif’ terhadap kes-kes yang menjadi isu.
Pada hal, isu tersebut tidak akan ke mana-mana pun. Kemudian, kerajaan akan mendakwa mereka telah melaksanakan transformasi. Mudah sekali sifirnya!
Jawatankuasa pemilih hanya samaran BN
Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa penubuhan satu lagi jawatankuasa pemilih untuk penambahbaikan proses pilihan raya ini tidak akan mengikut jejak langkah dan hasil jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk dahulu?
Jika tidak ada jaminan bahawa SPR itu telus, tubuhlah seberapa banyak jawatankuasa dengan sebanyak mana kos sekalipun, hasilnya tetap akan sama.
Hakikatnya, lapan tuntutan Bersih 2.0 itu harus dilaksanakan oleh SPR tanpa kompromi dengan mana-mana pihak. Bersih 2.0 bukan milik Pakatan Rakyat, bukan milik BN, ia adalah milik rakyat Malaysia yang prihatin.
Namun kita juga sedar, jika mengharap SPR dan kerajaan untuk berubah, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.
Dengan bertambahnya penubuhan jawatankuasa, rakyat akan tambah dikelirukan lagi tentang peranan dan fungsi institusi awam dalam melaksanakan amanah mereka kepada rakyat.
Hasil kerja jawatankuasa ini kelak, sudah tentu akan dilaksanakan oleh pihak SPR juga yang masih belum telus. Maka, usaha ini hanyalah ibarat menukar sebatang tiang rumah sedangkan keseluruhan rumah itu sendiri sudah reput di makan anai-anai.
Jika kerajaan serius dan jujur, laksanakan sahaja lapan tuntutan Bersih 2.0. Dengan itu, PRU ke-13 ini dapat dilaksanakan secara bebas, adil dan bersih.
Apa yang nampak jelas, Najib sekadar mahu menyedapkan hati rakyat dan mencuri masa untuk UMNO dan BN membuat persiapan pilihan raya.
Jawatankuasa itu kelak, sama ada siap dengan keputusan sebelum atau selepas PRU ke-13, tidak akan punya apa-apa kuasa, jawatan tiada kuasa; sama seperti jawatankuasa dan suruhanjaya yang telah diwujudkan sebelum ini. – Roketkini.com




Izzah Gesa Najib Timbang Semula Anggota PSC

KUALA LUMPUR 17 OGOS: Pakatan Rakyat mahu pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) yang majoritinya dibarisi wakil rakyat daripada parti pemerintah dipertimbangkan semula oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Hal ini kerana menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim, kebiasaannya jawatankuasa-jawatankuasa khas di negara luar akan diketuai oleh pembangkang.

"Saya rujuk kenyataan media yang kita berikan semalam, kita sudah sediakan syarat rujukan sebagai jawatankuasa pilihan.

"Di mana-mana negara sama sekali pun jawatankuasa pilihan perlu dianggotai dan diketuai oleh pembangkang di sesebuah negara itu. Jadi pada pandangan awal saya, (pembentukan jawatankuasa) ini sudah tempang dan tidak mencerminkan hasrat keseriusan untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya," katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama Datin Seri Wan Azizah Ismail pada jam 3.30 petang tadi.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengadakan sidang media tergempar untuk memberitahu jawatankuasa khas parlimen yang akan ditubuhkan akan dianggotai oleh lima wakil rakyat daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Nazri juga memberitahu, usul mengenai pembentukan jawatankuasa tersebut akan dibentangkan ketika sidang Parlimen Oktober depan.

Dalam pada itu, Izzah menegaskan keputusan yang dibuat dalam pembentukan jawatankuasa ini adalah penting memandangkan ia merupakan satu reformasi pembaharuan dan penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya di negara ini yang sudah tertunggak sejak sekian lama.

"Bukan kita menolak, tetapi kita bersedia bekerjasama tetapi anda pun tahu bagaimana parlimen kita berfungsi.

"Kalau majoriti daripada BN, SPR juga bergantung kepada BN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga bergantung kepada BN, jadi bagaimanakah kita hendak pastikan ada perbezaan sedangkan tuntutan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya itu sudah lama dikenalpasti oleh Suhakam, sudah dikenalpasti juga oleh badan-badan lain...isunya ialah pelaksanaan,"katanya lagi.

Oleh itu beliau meminta Perdana Menteri, Najib Razak supaya beristiqamah dalam pembentukan jawatankuasa khas ini, sekali gus menilai semula tujuh syarat yang diletakkan oleh Pakatan Rakyat untuk menyokong penubuhan jawatankuasa terbabit.

"Saya menggesa sekali lagi kalau beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) boleh merujuk semula perkara berbangkit ini.

"Pertamanya isu yang lebih besar sudah ada rekomendasi daripada Suhakam merujuk kepada laporan 2007 yang menyatakan ada tiga atau empat langkah yang perlu dibuat dalam reformasi pilihan raya,"ujarnya.

http://tvsnews

No comments: