Cuba Banding

Sunday, July 17, 2011

Boleh pakai baju kuning tanpa logo BERSIH kata polis 2:41pm


Polis: Boleh pakai baju kuning tanpa logo BERSIH
Jul 17, 11 2:41pm
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tidak salah memakai baju kuning tetapi diingatkan supaya tidak memakai baju kuning yang mengguna lambang BERSIH.

Katanya, buat masa ini Bersih telah disahkan sebagai sebuah pertubuhan haram dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat pengumuman itu baru-baru ini.

"Apabila pengumuman itu telah dibuat, tanggungjawab polis adalah untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan sesuatu pertubuhan haram. Jadi, polis cuma menguatkuasakan undang-undang yang ada berkaitan dengan pengistiharan bahawa Bersih itu adalah satu pertubuhan yang haram.

"Itu sebabnya kita tangkap mereka yang memakai baju kuning yang menggunakan lambang BERSIH. Tak salah pakai baju kuning...tak salah, pakailah baju kuning, stoking kuning atau topi kuning...cuma yang tidak boleh adalah apa juga logo yang menyokong pertubuhan haram Bersih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Skim Kepolisian Masyarakat dan 'Crime Awareness Team' (CAT) di Dataran Nilai malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan timbalannya Datuk Abd Manan Mohd Hassan.

Khalid berkata jika ada pihak yang tidak puas hati dengan larangan itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan.

"Jadi, bila mahkamah telah putuskan kita (polis) akan ikut. Kita akan melaksanakan apa juga perintah mahkamah itu mengikut undang-undang," katanya. 

Mengenai penubuhan CAT, beliau berkata ia adalah program di bawah pencegahan jenayah bagi mengembeleng tenaga golongan muda ke arah membantu polis dalam agenda menurunkan kadar jenayah dan menghapuskan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.

Katanya kerjasama dan penglibatan golongan muda dalam program masyarakat seperti CAT di bawah kawal selia Jabatan Belia dan Sukan sebagai aktiviti Rakan Muda, membolehkan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah dapat dianjurkan dari semasa ke semasa. 

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tampil membantu polis dalam pencegahan jenayah.

- Bernama



http://www.malaysiakini

Agihkan Tanah Felda Plantation Kepada Rakyat
Mazlan Aliman

MUQADDIMAH

Apabila kerajaan mengumumkan tiada lagi penempatan baru untuk peneroka Felda pada tahun 1990, Felda telah mewujudkan estetnya sendiri menerusi tanah yang diberi oleh Kerajaan Negeri. Felda Plantation Sdn Bhd(FPSB) telah ditubuhkan pada 13 Januari 1992 sebagai anak syarikat Felda yang bertanggungjawab terhadap ladang seluas 367,710 hektar(data terkini tahun 2000- 340,890 hektar)

Ladang Felda yang pertama diperkenalkan di Selancar, dalam parlimen Rompin, Pahang. Ia membabitkan 150 peserta atas tanah berkeluasan lima ribu ekar. Kini terdapat 150 ladang yang seumpamanya dan Gugusan Sahabat di Sabah adalah yang paling luas iaitu sekitar 100,000 hektar.

MENGAPA FELDA PLANTATION MESTI DIMANSUHKAN

1. Bertentangan dengan matlamat asal Felda menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Dengan erti kata lain, tanah haruslah diberi kepada individu rakyat sebagai jaminan masadepan.

2. Bertentangan dengan Akta Penempatan Beramai-ramai 1960(GSA) yang dibentang pada 27 April 1960 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Abd Razak bahawa hanya terdapat dua jenis pemilikan keatas tanah. Pertama menerusi seksyen 7(2) iaitu pemilikan individu dan seksyen 11(1) iaitu melalui koperasi.

3. Tugas Felda di bawah GSA, bagi sebahagian tanah yang mana Felda dilantik untuk menguruskannya; hanya sebagai agen pengurusan dan bukannya memiliki tanah. Ini boleh dirujuk melalui Surat Perjanjian Antara Peneroka dengan Felda.

4. Adalah jelas pemilikan tanah ladang oleh Felda Plantation adalah tidak sah, haram dan terbatal kerana bercanggah dengan akta GSA. Ia mengkhianati persetujuan yang di putus bersama antara kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

5. Peserta Ladang Felda Plantation seramai 45,000 orang menjalani kehidupan yang sukar tanpa jaminan masa depan. Mereka bekerja sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari(1 kong) hanya mendapat upah sekitar RM25 setiap tan yang dituai tanpa gaji pokok. Untuk beroleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sesuatu yang hampir mustahil kerana ia bergantung kemampuan tulang empat kerat mereka. Sebab itu sebahagian besar
anak tempatan telah meninggalkan Felda Plantation; yang tinggal buruh-buruh asing sahaja.

TAWARAN 100 HARI DALAM BUKU JINGGA PAKATAN RAKYAT

Salah satu daripada 10 perkara utama yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat sepertimana dalam Buku Jingga ialah PEMANSUHAN FELDA PLANTATION DAN TANAH-TANAH TERSEBUT DIURUSKAN OLEH GENERASI KEDUA DAN KETIGA FELDA.

SIAPAKAH YANG DITAWARKAN TANAH FELDA PLANTATION

1. Peserta Felda Plantation kerana merekalah yang menjadi buruh di situ ketika ini,

2. Generasi Kedua dan Ketiga Felda yang berkelamin dan memenuhi kriteria seperti tiada tanah, tiada tempat tinggal yang tetap, berpendapatan rendah dan menanggung keluarga yang ramai,

3. Bekas anggota tentera yang dijanjikan tanah oleh Kerajaan(janji yang tidak dilunaskan) bagi menghargai perkhidmatan mereka menjaga keselamatan Negara. Mereka ini ada yang berpencen tapi jumlahnya begitu kecil, berhenti awal dan tidak berharta serta menjadi OKU(Orang Kurang Upaya) kerana kecederaan yang dialami semasa dalam perkhidmatan,

4. Kakitangan Am Rendah Felda yang bekerja sebagai mekanik, pemandu, kerani am, buruh dan lain-lain yang umumnya gaji bulanan mereka di bawah RM1,500 sebulan.

5. Anak tempatan yang mendiami kawasan berhampiran Felda Plantation
seperti Orang Asal, penduduk tempatan dan suku kaum Sabah.

Bersandarkan keluasan tanah Felda Plantation, seramai 80,000 kumpulan sasaran di atas akan beroleh manfaat atas tanah seluas 10 ekar seorang. Suatu tawaran yang paling istimewa dalam hidup seorang rakyat Malaysia!


SOAL JAWAB FELDA PLANTATION


Bagaimana mahu mengagihkan tanah sedangkan terdapat 1.6 juta anak peneroka?
Hanya mereka yang layak sahaja memperolehinya sepertimana penjelasan di atas..

Bagaimana nasib kakitangan Felda Plantation?
Mereka akan diserapkan ke penempatan baru Felda yang dianggarkan 200 buah bahkan jumlahnya mungkin ditambah mengikut keperluan.

Adakah Felda akan bankrap kerana tiada sumber pendapatan?
Felda mempunyai 43 anak syarikat(tidak termasuk Felda Global Venture). Justeru itu, pembukaan 200 Felda baru menjadikan ia lebih berdaya maju dan menjana pendapatan berbilion ringgit pada setiap tahun.

Benarkah tidak ramai anak peneroka yang miskin tegar dan mereka tidak wajar dibantu?
Kerajaan dan Felda harus turun padang untuk melihatnya sendiri

100 ribu hektar tanah tersebut terletak di Sabah, bagaimana mahu mengagihkannya kepada anak peneroka di semenanjung?
Sudah tentulah anak tempatan Sabah yang memilikinya.

Tawaran Tanah Felda Plantation hanya akan bernilai sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU 13 akan datang.


‘MENERAJUI PERUBAHAN’

MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden ANAK

http://bm.harakahdaily


Salam Bersih dari Kuala Lumpur ke Kota New York

July 17, 2011
17 JULAI — Pagi hari yang cerah disinar mentari,dihiasi pepohon hijau dengan daun berjuta melambai sayu. Tanah subur bersulam bunga berbagai warna diatas bumi diiringi bunyi kicauan burung-burung,  menjadi petanda hari bersejarah yang bakal diukir. 
Sambil menyaksikan segala keindahan alam serta kesibukan insan di Kota New York, hati bersyukur kepada tuhan akan kebebasan yang dinikmati di bumi orang. Sebaliknya hati terasa hiba lagi terharu memikirkan apa yang telah berlaku di tanah air sendiri 12 jam yang lalu. 
Sememangnya saya bersyukur dengan apa yang telah negara kita capai tetapi realiti kini sukar untuk disembunyi kerana bau bangkai janji kemerdekaan terhidu kuat serata dunia. 
Semenjak 1946, rakyat telah berani bangun dan keluar ke jalanraya di bandar dan desa untuk menentang penjajah British. Keberanian berjuang kerana kebenaran berpaksikan hak asasi telah melahirkan sebuah negara merdeka pada tahun 1957. 
Alhamdulillah kita bebas dari penjajahan 500 tahun warga asing. 
Tetapi, sejarah hitam 1969 mengajar bagaimana nafsu kuasa pihak yang mahu mengangkat satu ketuanan telah mengikat kembali kebebasan demokrasi dengan akta darurat berlapikkan hujah perkauman menjadi nyata. Mimpi merdeka bertukar ngeri kotor lagi menghampakan. 
Masya Allah, kita dijajah kembali bukan sahaja dengan dilarutkan demokrasi tetapi jauh lebih dasyat kerana minda dan jiwa dijajah hipokrasi sebuah nasionalisma sempit lagi menghimpit. 
“Inilah nasib kisah orang melayu, Hujah lapuk lagi palsu diterima bulat generasi minda yang lesu, Korupsi, Kolusi, Konspirasi depan mata biar diam membisu, Sibuk bersubahat menghalang rakyat berhimpun untuk bersatu, Yang mahu Negara Bersih dan bukan kiasu, Suruh semua bersyukur buta sejarah yang lalu, Tetapi buat lupa dosa kerajaan yang aib lagi tidak malu, Ibarat kisah si Luncai dengan labu-labu..Biarkan..Biarkan” 
Mana boleh dibiarkan......dibiarkan begitu sahaja? 
Oleh itu tahun 2011 menyusul di atas usaha gergasi 2007 untuk mengembalikan jiwa Malaysia yang berbilang bangsa melalui pilihanraya bebas dan adil menjadi agenda murni patriot jitu negara. 
Oleh itu hak demokrasi berani bertembung dengan tamparan kuku besi otokrasi yang tidak mahu negara Bersih daripada dijajah hipokrasi demokrasi penuh korupsi. 
Oleh itu kuning menjadi haram, bersih pula dikotorkan dan rakyat terus ditakutkan dengan cerita momok konon mengancam bangsa oleh pemangsa khayalan ciptaan ilusi jiwa muflis bersongkok tinggi. 
Mana boleh dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja? 
Tanggal  9 Julai bermulalah perjuangan menuntut janji demokrasi sebenar. 
Tanggal  9 Julai bermulalah perjuangan membebaskan ekonomi untuk semua. 
Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan memerdekakan minda dan jiwa daripada penjajah otokrasi Putrajaya. 
Mana boleh dibiarkan....dibiarkan begitu sahaja? 
Tepat jam 10 pagi bermulalah tiupan panggilan Bersih pada 9 Julai 2011 di Melbourne, Australia yang terus bergilir mengelilingi dunia secara aman sehingga tiba di Kuala Lumpur di mana patriot pertiwi yang ramai berhimpun damai diserang bertubi-tubi oleh  penjajah baru biru yang tidak bersantun lagi lupa diri serta ikrar suci menjaga rakyat dahulu dan bukan diutamakan bersubahat bersama tuan berbibir merah jambu berambut kelabu. 
Tepat jam 10 pagi setibanya giliran tiupan Bersih di Kota New York, 12 jam selepas Kuala Lumpur yang masih basah berdarah lagi pedih berasap memahat sejarah; Bersih disambut dengan kain rentang kuning memanjang dan semangat Malaysia Muhibah yang baru. 
Mana boleh dibiarkan.....biarkan begitu sahaja? 
Maka tuhan dan dunia  menyaksikan melalui YouTube, Facebook, Twitter mahupun SMS; pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, antara patriot dan penjajah dan antara Bersih dan Kotor. 
Maka Patriot Bersih beribu ditangkap, berjuta menunggu sedangkan 'Patriot' Kotor hanya beratus beratur paksa manakala juak berjuta menyorok di belakang tengkolok hanya taat berolok membuat bising seperti ayam berkokok menunggu disembelih keris tumpul lagi bengkok oleh puak pemakai songkok tinggi yang ghaib kehadiran tersesat di jalanan sebagai alasan balasan dosa nista pahlawan palsu berjiwa lesu. 
“Ada Bersih, Ada Kotor, Yang takut berkata karut, Yang berani sanggup digari, Akhirat nanti jawablah sendiri, Buku di tangan kanan atau kiri, Orang berani tidak takut mati, Kerana niat suci didalam hati, Berjuang demi Ilahi.” 
Memang benar pagi hari yang indah menjadi petanda sejarah baru diukir. 
Cahaya mentari menerangi kegelapan penindasan serta pepohon hijau demokrasi memberi teduh kepanasan kezaliman, kicaun burung penuh kesyukuran perjuangan murni baru dimulakan dan warna-warni bunga ibarat berbagai bangsa bersama untuk menjadikan Malaysia Bebas, Bersatu dan Bersih. 
Insya Allah, Malaysia Muhibbah Merdeka sudah lahir bersih dari kekotoran pengkhianat bangsa-pemungkir janji-pemecah amanah-penghasut durjana. 
Terima kasih Bersih yang penuh cinta untuk pertiwi dan dengan penuh sayu salam AlFatihah untuk wira Baharudin yang gugur merintis perjuangan menuju kebebasan agar dipenuhi janji merdeka yang sebenar! 
Pesanan Peringatan bersama dari Thomas Jefferson: 
“Apabila Rakyat takut kepada kerajaan, Ia dinamakan Penjajahan (tyranny), Apabila Kerajaan takut kepada Rakyat, Itu Namanya Kemerdakaan (Liberty)” 
Masih mahu dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja? 
Nurul Syaheedah, USA

No comments: