Cuba Banding

Monday, June 13, 2011

Hukum Qazaf jadi mainan politik jijik Umno



KUALA LUMPUR, 13 Jun: Umno tetap tidak mahu berubah dan menjadikan Islam sebagai mainan politik jijik mereka apabila mempertikaikan khutbah Jumaat Negeri Selangor yang bertajuk ‘Jenayah Qazaf adalah berdosa besar’.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, qazaf dan hudud sama seperti sembahyang, puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan.
Menurutnya, masjid merupakan tempat yang sesuai bagi menerangkan perintah Allah SWT walaupun sebenarnya menyampaikan dakwah tidak terhad hanya di masjid namun apabila menerangkan hukum Allah supaya umat Islam faham akan betapa besarnya dosa memfitnah dan mengaibkan seseorang kemudian dibawa sekali jalan penyelesaian sepertimana yang dituntut oleh agama dianggap politik, ini benar-benar menunjukkan yang Umno sememangnya jahil.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan mempertikaikan isi kandungan khutbah tersebut yang mana kononnya bermotifkan politik dan mempunyai maksud di sebaliknya.
Firdaus menganggap tindakan Kerajaan Negeri Selangor memberikan kefahaman kepada rakyat akan dosa qazaf semasa khutbah Jumaat bertepatan dengan masanya memandangkan ketika itulah rata-rata umat Islam memenuhi ruang masjid berbanding dengan semasa kuliah-kuliah umum di waktu lain.
Tambahan pula, katanya isu fitnah video seks sedang berleluasa ketika ini yang mana umum mengetahui siapa dalang di sebalik penyebaran video tersebut.
Umno jelas tidak boleh membezakan antara politik dengan perintah Allah di mana hukum qazaf wujud sebelum wujudnya Umno di muka bumi ini.
“Apakah menerangkan perkara-perkara wajib yang terkandung di dalam Al Quran salah?
“Bukankah itu satu kewajipan bagi pemerintah bagi menjadikan rakyat berilmu dan tidak mudah ditipu?” soalnya.
Menurutnya, Umno sememangnya suka jika rakyat dibiarkan hidup dalam keadaan jahil serta buta ilmu supaya rakyat mudah ditipu oleh Umno.
Bagi Umno, ujarnya selagi rakyat buta maklumat dan ilmu, selagi itu mereka boleh terus berkuasa dan memperbodohkan rakyat.
Kata beliau, sememangnya Umno tidak boleh dibiarkan lagi menjadi pemerintah di Malaysia ini.
Mereka, katanya jelas bertopengkan agama demi meraih habuan politik.
“Bagi mereka agama sekadar solat, puasa dan zakat, tidak lebih daripada itu sedangkan Islam syumul dan menjadi panduan kepada kehidupan kita,” katanya.

No comments: