Cuba Banding

Tuesday, July 31, 2012

Tanah kerajaan Terengganu dilelong


Posted on Monday, July 30 @ 09:18:05 MYT by paktam
Artikel
Oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad
Apakah reaksi SELURUH rakyat Terengganu apabila tanah milik kerajaan negeri terpaksa dilelong oleh sebuah bank ekoran kegagalan membayar pinjaman bank?

Inilah yang berlaku kepada tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) seluas kira-kira 15 hektar yang terletak di Mukim Kerteh yang terpaksa di lelong.


Tanah yang menjadi milik kerajaan negeri ini telah digadaikan kepada bank pada tahun 1997 bagi membangunkan satu projek 432 lot perumahan bercampur yang dikenali sebagai ‘Bandar Baru Kerteh Jaya’.

Amat memalukan! Akibat kegagalan membayar pinjaman, Hong Leong Bank telah melelong tanah milik kerajaan negeri ini melalui satu lelongan awam yang telah diadakan pada 18 Julai, 2012.
Menurut dokumen Lelongan Awam terbabit, tanah tersebut telah di lelong pada jam 10.30 pagi di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Sebuah syarikat bukan Bumiputera, yang berpengkalan di Pulau Pinang, Alam Sierra Development Sdn Bhd telah menjadi pembida tunggal yang berjaya membida tanah kerajaan negeri itu dengan harga rezab RM 5.594 juta.

Ia mempunyai 158 lot tapak rumah banglo, 168 lot tapak rumah berkembar dan 106 lot tapak rumah kedai.

Persoalan besar yang menjadi tanda-tanya kepada seluruh rakyat Terengganu kini adalah, siapakah yang bertanggungjawab dengan kejadian yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu ini?

Apakah kerajaan Terengganu khususnya Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu ambil peduli sehingga tanah milik kerajaan ini ‘terlelong’ begitu sahaja kerana ianya digadai kepada bank bukan di zaman pemerintahan beliau?
Atau apakah kerajaan negeri sudah kehabisan sumber kewangan sehinggakan tidak mampu lagi untuk membida bagi menebus kembali tanah milik kerajaan ini?

Semua rakyat Terengganu tahu bahawa pentadbiran Ahmad Said boleh berbelanja besar setiap tahun. Sejak tiga tahun lepas lebih RM6 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek-projek mewah seperti Kawasan Bebas Cukai di Kenyir dan pembinaan Zoo di Kemaman yang di luluskan diatas nama pembangunan untuk rakyat Terengggganu.

Namun kejadian yang sama ini juga berlaku apabila tanah orang-orang Melayu di bandaraya Kuala Terengganu terhakis apabila ada tanah milik orang Melayu di pusat bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain.

Kerajaan negeri gagal memainkan peranan bagi menghalang tanah milik orang Melayu bertukar tangan setelah dimajukan pihak tertentu. Ia tergadai kerana kerajaan negeri tidak ada dasar yang berkesan.

Saya telah berkali-kali memaparkan di ruang ini tentang masadepan perkampungan orang-orang Melayu yang terletak di bandaraya Kuala Terengganu yang kini seolah-olah menjadi pelarian di bumi sendiri.

Masa depan mereka tidak menentu dengan siri demi siri pengambilan tanah penduduk yang dilakukan oleh kerajaan negeri di atas nama ’pembangunan’ dan membela orang-orang Melayu Terengganu.

Kebanyakan rakyat yang terlibat dengan pengambilan tanah ini adalah penduduk asal Melayu yang tinggal di bandar dan pinggir bandaraya Kuala Terengganu sejak ratusan tahun.

Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada kampung tradisi seperti Kampong Tanjung, Ladang Sehat, Bukit Besar, Losong hingga ke Pasar Cabang Tiga.

Sepatutnya kerajaan negeri meneliti dengan serius cadangan agar agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu (LTAWNT), Yayasan Terengganu dan Yayasan Islam perlu memain peranan mengambil alih tanah milik orang Melayu di sekitar bandaraya Kuala Terenggan.

Meskipun ada sebahagian dari tanah-tanah ini bersaiz kecil, namun ia amat penting dimajukan demi kebaikan ekonomi dan masadepan anak bangsa Melayu Terengganu.

Namun sehingga kini kepimpinan Menteri Besar tidak mempunyai kepekaan bgi mendengar rintihan rakyat ini dan dan tanah-tanah ini tergadai begitu sahaja ditelan pembangunan.

Kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat sepatutnya lebih peka dengan isu-isu yang amat penting ini khususnya bagi penduduk asal Melayu terengganu yang telah ratusan tahun meneroka negeri ‘Darul Iman ini’.

Tergadainya tanah milik kerajaan di Kerteh ini membuktikan bahawa kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar sekali lagi gagal dan tidak mampu memikul amanah bagi membela rakyat Terengganu Darul Iman.

Mungkinkah juga seluruh negeri penyu bertelur ini akan juga ‘terlelong’?
----------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it , Twitter; @syedazman

http://www.detikdaily.net

No comments: