Cuba Banding

Thursday, May 3, 2012

FGVHB: Menang sorak kampung tergadai

FGVHB: Menang sorak kampung tergadai

Dr. Rosli Yaakop,03 Mei 2012
Deraf Prospektus Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVHB) telah dipaparkan di laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mulai 29 April 2012. Prospektus itu masih bertaraf “registrable” dan hanya menjadi “registered” apabila permohonan penyenaraian diluluskan. Penganalisi berspekulasi ia pasti lulus. Ruang sudah tiada untuk Perdana Menteri bermain sorong-tarik.

Penyenaraian bakal terjadi pada akhir bulan Jun ini setelah tertunda berkali-kali. Berdasarkan maklumat di dalam prospektus, saham FGVHB, atas asas modal berbayar yang telah dibesarkan, berjumlah 3.65 bilion unit pada nilai tara RM1.00 se saham. Harga IPO tidak dinyatakan di dalam prospektus tetapi sumber Reuter yang dipetik oleh Malaysiakini bertarikh 30 April 2012 menyebut harga IPO ialah RM4.65 se saham. Ini akan menghasilkan pungutan modal melebihi RM10 bilion bagi FGVHB. Butir terpenci saham FGVHB adalah seperti dalam Jadual 1.

Jadual 1: Jumlah Saham FGVHB yang Diterbitkan


Jenis Saham
Bilangan Unit Saham
%

Tawaran untuk Menjual Saham Sedia ada (“Offer Shares”)
1,208,890.900
33.0

Terbitan Awam (“Issue Shares”)
980,000,000
27.0

Jumlah Saham IPO
2,188,890,900
60.0

Saham di bawah “Greenshoe Option
109,445,000
3.0

Jumlah Terbitan (termasuk Greenshoe Option)
2,298,335,900
63.0

“Saham diketepikan untuk KPF” (Tidak diapongkan)
1,349,815,600
37.0
Jumlah Besar
3,648,151,500
100.0

Dari kesemua saham FGVHB (3.65 bilion unit), hanya 2.19 bilon unit atau 60% (“saham IPO”) akan diapongkan, iaitu,  dijual kepada pelbagai pelabur yang terdiri daripada pelabur runcit (pelabur orang awam Bumiputera dan bukan Bumiputera), peneroka Felda yang layak, kakitangan Felda yang layak, pelabur institusi dalam dan luar negera dan pelabur Bumiputera terpilih (yang berdaftar dengan MITI).

Saham yang bakal dijual kepada para pelabur terdiri daripada saham sedia ada, iaitu, saham milik Felda Badan Berkanun (Felda BB) di dalam FGVHB sebagai balasan kepada pelupusan 49% kepentingan Felda dalam Felda Holding Berhad (FHB) kepada FGVHB berjumlah 1.21 bilion unit (33%). Felda akan menawarkan untuk menjual kesemua saham ini kepada para pelabur. Selepas ini, ia tidak lagi memiliki apa-apa kepentingan dalam FGVHB.

Selain dari itu, FGVHB bakal menerbitkan saham baru (“saham terbitan”) berjumlah 980,000,000 unit (27%) untuk dijual kepada para pelabur. Ini bakal menjana RM4.6 bilion untuk FGVHB, tidak cukup besar untuk ke arena perniagaan global.

Juga, FGVHB memiliki opsyen untuk menjual saham tambahan (di bawah “Greenshoe Option”) berjumlah 109,445,000 unit (3%) lagi kalau berlaku “oversubscription” atau untuk menyetabilkan harga saham di pasaran.  Kalau opsyen ini dilaksanakan, jumlah saham bakal diapongkan berjumlah 2.3 bilion unit.

Sejumlah 1.35 bilion unit saham FGVHB tidak diapongkan di pasaran saham. Ia sekadar “diketepikan” atau “diperuntukkan” kepada KPF kerana penyeneraian FGVHB “tidak melibatkan KPF.”  Walaupun KPF “tidak terlibat” di dalam pengapongan ini, namun kepentingannya (51%) di dalam FHB bersama-sama kepentingan Felda BB (49%) di dalam FHB, adalah  harta yang menjadi asas kepada saham-saham yang diterbit dan diapongkan. Harta inilah dinilai bagi menentukan harga seunit saha FGVHB yang akan diapongkan.

Walaupun saham berjumlah 2.19 bilion unit yang bakal diapongkan, tetapiasset back-up merangkumi kesemua aset iaitu, 51% hak KPF dan 49% hak Felda BB. Tiada pemecahan aset dilakukan.

Saham yang tidak diapongkan berjumlah 1.35 bilion unit (37%) dan ini adalah hak KPF. Ia tidak diapongkan kerana KPF “tidak terlibat” dalam penyenaraian dan KPF tidak memberi kebenaran kepentingannya itu diapongkan di bursa saham. Bila pasaran sekondari bermula nanti, yang akan dijualbeli hanyalah 2.19 bilion unit saham. Saham 1.35 bilion unit ini tidak tersenarai dan tiada dijualbeli di pasaran sekondari.

Saham itu “diketepikan” dan tidak dijual kepada para pelabur di bawah tawaran IPO.  Ia akan dipindahkan kepada Felda Asset Holding Company (FAHC) yang akan memegang dan mengurus saham ini secara mutlak bagi pihak KPF. Perlantikan FAHC sebagai pemegang dan pengurus saham berkenaan bagi pihak KFP diputuskan sendiri oleh Felda BB. Tiada resolusi berkaitannya diluluskan oleh mana-mana mesyuarat KPF yang sah.

Jadual 2: Agihan Saham IPO FGVHB


Kategori Pelabur
Jumlah Saham
Jumlah Nilai (RM Juta) @ RM4.65 se saham
%
1
Untuk Pelabur-Pelabur Runcit




Kepada Rakyat Malaysia (melalui pengundian)




  • Bumiputera
36,481,500
169,638.975
1.0

  • Bukan-Bumiputera
36,481,500
169,638.975
1.0

Kepada Peneroka dan Kakitangan Felda (Tanpa Pengundian – Borang Biru dan Borang Merah Jambu)




  • Peneroka Felda
91,204,000
424,098,600
2.5

  • Kakitangan Felda
109,444,000
508,914,600
3.0

Jumlah Kecil
273,611,000
1,272,291,150
7.5
2
Untuk Pelabur Institusi




  • Pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI
419,537,000
1,950,847,050
11.5

  • Lain-Lain Pelabur Institusi
1,495,742,900
6,955,204,485
41.0

Jumlah Kecil
1,915,279,900
8,906,051,535
52.0

Jumlah Besar
2,188,890.900
10,178,342,685
60.0

Bagaimanakah saham IPO bakal diigihkan? Sebagaimana yang didedahkan di dalam prospektus, saham IPO (terdiri dari saham sedia ada dan saham terbitan) yang bakal diapongkan akan diagihan seperti dalam Jadual 2. Diperhatikan, pertama, saham yang mewakili kepentingan Felda berjumlah 1.21 bilion unit (saham sedia ada - “offer for sale shares”) bakal diapongkan kesemuanya ditambah dengan 0.98 bilion unit saham terbitan baru (“public issue shares”) menjadikan jumlahnya 2.19 bilion unit.

Kedua, pegangan saham FGVHB apabila IPO dilaksanakan bakal didominasi oleh pelabur institusi Malaysia dan antarabangsa dengan pegangan sebanyak 41% yang mana 20% bakal dipegang oleh rakan kongsi strategik yang telah dikenalpasti.  Pelabur Bumiputera terpilih (dipilih oleh MITI bakal menguasai 11.5% dari jumlah saham FGVHB yang akan diapongkan. Ini bermakna pelabur institusi akan menguasai majoriti (52.5%) saham FGVHB yang diapongkan. Oleh itu, kesan mutakhir daripada penyenaraian FGVHB ialah pemindahan harta Felda kepada pelabur-pelabur institusi dalam negara dan luar negara dan sebuah syarikat asing yang diangkat sebagai “rakan kongsi strategik” bakal berkongsi milik tanah dan lain-lain harta Felda dengan peneroka.

Ketiga, tiada saham percuma untuk peneroka Felda. Peneroka Felda diperuntukkan 91,204,000 unit saham (1%), bermakna, kalau diagihkan sama rata kepada kesemua 112,635 orang peneroka, setiap peneroka akan mendapat 809.73 unit saham seorang (dibulatkan kepada 1 lot atau 1,000 unit seorang). Pada harga IPO RM4.65 se saham, kosnya RM4,650 se lot. Dikira setakat membeli 1 atau dua lot, majoriti peneroka mampu membeli secara tunai, tidak perlu pinjaman bank. Kalau diperuntukkan 10 atau 20 lot seorang, barulah berbaloi membuat pinjaman bank.

Kalau peneroka diperuntukkan 10 lot seorang, maka jumlah keseluruhan menjadi 1,126,350,000 unit saham atau 51.4% dari seluruh saham yang diapongkan. Kalau seorang peneroka diperuntukan 20 lot, maka jumlah keseluruhan menjadi 2,252,700,000, sudah melebihi 100% jumlah saham yang diapongkan.  Jadi, tidak logik peneroka bakal diberikan 10 hingga 20 lot seorang seperti mana yang diuar-uarkan selama ini. Kalau pun diberikan, peneroka akan menjualnya (lebih-lebih lagi kalau berhutang dengan bank) segera menyebabkan harta mereka terlepas buat selama-lamanya kepada orang lain, majoritinya pelabur bukan peneroka dan pelabur asing yang memang diharapkan masuk secara besar-besaran ke Bursa Malaysia untuk memacu naik harga saham FGVHB ini.

Jelas tiada durian runtuh untuk peneroka dalam bentuk saham. Hatta, kalau diberi satu lot pun, peneroka kena bayar. Pada analisis mutakhirnya, berapa banyak pun saham yang bakal dimiliki peneroka, ia pasti dijual dalam jangka pendek apatah lagi kalau pembelian dibiayai bank. Yang bakal meraih untung besar ialah “pelabur Bumiputera terpilih” (di bawah MITI) yang umum maklum majoritinya adalah kroni pemerintah dan penama-penama yang mewakili sebuah parti politik.

Mungkin peneroka bakal dibayar durian runtuh tunai. Sumbernya dari Felda yang bakal memperoleh RM5.62 bilion tunai. Kalau peneroka diberikan RM10,000 seorang, jumlahnya RM1.13 bilion. Ini tidak berbalau kerana nilai tanah Felda Plantation Sdn. Bhd. sudah jauh lebih besar. Kalau diagihkan kesemua RM5.62 bilion itu, peneroka bakal mendapat RM50,000 seorang. Kurang dari RM50,000 seorang bukan durian runtuh namanya. Kebenarannya ialah, Felda tidak mungkin membayar jumlah ini.

Penyenaraian FGVHB tidak lebih dari eksersais memindahkan harta yang selama ini berada di bawah Felda Badan Berkanun kepada pelabur institusi (awam dan swasta) dan pelabur asing swasta dan di dalam proses ini, segolongan pelabur bernama “Pelabur Bumiputera Terpilih” dan pemain judi di pasaran saham – bukan peneroka - menikmat manfaat terbesar. Felda BB dan KPF dimandulkan. Jadilah peneroka “menang sorak kampong tergadai.”

1 comment:

suahati said...

biasalah....ladang peneroka punya tp semua urusan bisnis yg ada kaitan dgn ladang akan dibolot oleh orang tengah atau syarikat keparat...........jarang koperasi yg dimiliki 100% miliku peneroka atau petani boleh dapat peluang urus sendiri kepentinagn mereka tampa orang tengah......jadilah nanti orang tengah dapat isi manakala peneroka dapat kuah jaaaaaaa akhirnya