Cuba Banding

Wednesday, April 18, 2012

Selangor tiada p'raya selagi daftar pemilih........

Selangor tiada p'raya selagi daftar tak bersih

Hazayani Zakaria,18 Apr 2012
(Sidang media pemimpin utama Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen)

KUALA LUMPUR, 18 April: Pakatan Rakyat mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar pemilih.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar bawah) berkata, kerajaan Selangor dicadang berbincang dengan SPR untuk menyelesaikan isu daftar pemilih ini.
"Sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat kemungkinan besar negeri Pakatan tidak akan turut serta terutamanya Selangor.

"Negeri-negeri lain masih membincangkannya tapi Selangor kami mahu menunggu daftar pemilih benar-benar bersih dan SPR perlu berbincang dengan semua parti dalam Pakatan dan BN di Selangor untuk memastikan tidak ada penipuan dalam pilihan raya.

"Tapi untuk persekutuan kita tidak ada upaya dan percaya pilihan raya akan diadakan dalam masa singkat," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar juga berkata, Pakatan amat kesal dengan kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih meskipun perkara itu telah dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya (PSC).

"Kita amat kesal kerana janji SPR membersihkan daftar pengundi belum ditunaikan.

35 peratus pengundi baru di Selangor


"Sehingga Disember 2011, di Selangor sahaja ada pertambahan hampir setengah juta pengundi baru.

"Sebanyak 398,300, yang pindah masuk 91,000 jumlahnya 489705.

"Ini merupakan 35 peratus undi Selangor.  Bukan isu pertambahan tapi perpindahan kawasan tanpa pengetahuan dan nama belum dikenal pasti," katanya.

Perkara tersebut turut disokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menambah pilihan raya tidak wajar diadakan sebelum kerajaan melaksanakan kebebasan media.

"Indonesia, Filipina termasuk Myanmar sudah membuat perubahan mengikut desakan antrabangsa.

"Selagi hal-hal ini belum berlaku dengan cara yang sebaiknya adalah tidak wajar BN mengumumkan tarikh pilihan raya dengan segera semata-mata kerana dijamin boleh menang," katanya.


Seru sertai Bersih 3.0


Sementara itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat menyertai Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

"Kita menyeru semua rakyat Malaysia keluar  menjayakan Bersih 3.0 untuk menunjukkan rakyat mahu pilihan raya yang bersih," katanya.


No comments: