Cuba Banding

Tuesday, April 3, 2012

Bersih 3.0 dijangka berlaku bulan ini

Bersih 3.0 dijangka berlaku bulan ini, kata sumber

April 03, 2012


Pengerusi Bersih Ambiga: “Tiada pilihan lain.”
KUALA LUMPUR, 3 April — Bersih dijangka akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan berlaku hujung bulan ini.
Salah seorang jawatankuasa pemandu Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian Insider butiran berkenaan “Bersih 3.0” akan didedahkan sewaktu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28 April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan tersebut.
Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar.
Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya yang bakal berlaku.
Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.
“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,” kata sumber berkenaan.
“Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan, atau menafikan perkara itu.
“Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut adalah sangat jelas.”
Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.
Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam.
Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30 pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap hasil laporan tersebut.
Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.
SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam laporan interim PSC Disember lalu.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak di sesetengah kawasan Parlimen.
“Melihatkan kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.
“Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari,” tambahnya.
Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil.
Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih 2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media antarabangsa.
Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC dan enakmen yang menerima kritikan hebat, Akta Perhimpunan Aman tahun lalu.




http://www.themalaysianinsider.com/



Panel mahu SPR bersihkan daftar pengundi

TERKINI @ 03:46:26 PM 03-04-2012
April 03, 2012
KUALA LUMPUR, 3 April — Panel khas Parlimen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan keutamaan bagi membersihkan daftar pemilih daripada sebarang kegiatan manipulasi.
Panel berkenaan dalam laporan akhir mereka yang dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini turut mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) diteruskan bagi memantau dan memastikan daftar pemilih terus bersih dan bebas.
Cadangan tersebut dikemukakan selepas dakwaan berterusan pemimpin pembangkang dan kumpulan pemerhati seperti Bersih 2.0 terhadap kegiatan manipulasi dalam daftar pemilih, termasuk kewujudan pengundi bertindih dan peningkatan mencurigakan di sesetengah kawasan pengundian.
“Jawatankuasa mencadangkan agar SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan kerjasama berterusan untuk membersihkan daftar pengundi bagi memastikan daftar pengundi yang digunakan di dalam pilihan raya adalah sah,” kata panel dalam laporan tersebut.
Panel berkenaan turutt mendedahkan sehingga 20 Mac ini, sejumlah 483 anggota polis telah memohon untuk kad MyKad atau MyTentera.
“Jawatankuasa mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh 60 hari selepas laporan lengkap ini dibentangkan di Parlimen,” kata panel.
Turut dicadangkan agensi yang bebas seperti Mimos Berhad ditugaskan untuk bekerjasama dengan SPR untuk mengemaskini daftar pengundi berkenaan.
Panel berkenaan turut mendedahkanpengesahan daripada Mimos menunjukkan sejumlah 324 alamat dengan lebih 100 individu didaftarkan sebagai pengundi dan 938 alamat antara 51 dan 100 pengundi berdaftar.
Menurut panel, punca kepada masalah tersebut adalah alamat yang tidak lengkap, seperti alamat yang menggunakan perkataan “kampung”, “rumah pangsa”, “rumah panjang”, dan “jalan” tanpa nombor rumah, alamat bersama, dan alamat pengundi “peminjam”, yang mana alamat digunakan oleh individu lain yang membolehkan mereka berdaftar di kawasan spesific.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengarahkan SPR untuk menggunakan tempoh 45 hari untuk menunjukkan senarai pengundi di mana lebih 50 didaftarkan di bawah satu alamat.
“Ini bagi membolehkan mereka (pengundi) tampil dan membolehkan SPR membersihkan senarai daftar pengundi. Hasilnya kemudian harus di laporkan kepada jawatankuasa khas Parlimen yang dilantik,” kata panel.
Antara cadangan lain, panel turut menuntut pemindaan peruntukan undang-undang yang membolehkan SPR memadamkan nama daripada senarai daftar pengundi, apabila menerima bukti individu berkenaan bukan pengundi sah.
Laporan PSC itu sedang dibahaskan di Parlimen.
Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.
Selepas13 mesyuarat, enam pendengaran awam, dan lawatan ke beberapa negara luar, panel berkenaan mengemukakan 22 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam. Daripada kesemua hasil laporan tersebut, terdapat empat perkara yang tidak dipersetujui panel.


http://www.themalaysianinsider.com/



PSC cadang bubar parlimen lepas cukup 4 tahun
Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mencadangkan peruntukan undang-undang pembubaran Parlimen hanya dibuat selepas empat tahun pilihan raya umum
sebelumnya.

PSC turut mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuh untuk mengawasi dan meneliti semua usaha penyemakan dan pembersihan daftar pemilih serta melaksanakan tugas-tugas lain yang dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Laporan akhir PSC yang dibentang pada persidangan Dewan Rakyat itu juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pemilih yang alamatnya diragui berdasarkan dakwaan terdapat lebih 50 pengundi di satu alamat yang sama, dalam tempoh 45 hari daripada tarikh laporan PSC dibentang.

Ini adalah untuk memberi ruang pemilih yang terlibat memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih berkenaan, kata laporan itu yang dibentang hari ini.

Mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, SPR disaran mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksana pada masa hadapan.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan agar SPR mengkaji cadangan untuk membenarkan prapendaftaran bagi warganegara yang mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih.

Laporan PSC itu mengandungi 22 syor dan cadangan yang meliputi lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan SPR dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif.

Syor-syor dan cadangan itu diperoleh PSC daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semula jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja yang dilakukan sejak jawatankuasa itu diluluskan pada Oktober tahun lepas.

Jawatankuasa itu telah mengadakan 13 mesyuarat sejak 12 Okt tahun lepas hingga 28 Mac tahun ini, selain menubuhkan lima jawatankuasa kecil yang diketuai anggota jawatankuasa PSC untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit dalam pendengaran awam yang telah diadakan.

Selain itu, sebanyak enam siri pendengaran awam juga telah diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Kota Baharu dan berakhir di Johor Baharu sejak November tahun lepas hingga Januari.

Daripada siri pendengaran awam itu, sebanyak 106 persatuan, pertubuhan berdaftar serta individu telah membentangkan pandangan dan cadangan di hadapan jawatankuasa itu.

Laporan PSC itu juga mencadangkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik untuk warganegara Malaysia di luar negara, termasuk menimbangkan kaedah pengundian awal tertakluk kepada pindaan undang-undang yang berkenaan.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Manakala bagi petugas media, SPR disyor memberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan SPR distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain.

Menyentuh mengenai persempadanan semula, PSC mengesyorkan SPR supaya menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

"Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip 'Satu Orang, Satu Undi' dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar," kata laporan itu.

Laporan itu turut meminta SPR meneliti cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti campuran atau Sistem Perwakilan Berkadaran.

"Perkara ini perlu diteliti kerana ia melibatkan dasar yang perlu dipertimbang oleh kerajaan, dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu," kata laporan itu.

Menyentuh mengenai peruntukan dana kepada parti politik, jawatankuasa itu mencadangkan kerajaan mengadakan peruntukan dana kepada parti politik mengikut jumlah kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya dalam usaha menyuburkan sistem demokrasi di negara ini, serta membendung gejala rasuah di kalangan anggota politik.

"Justeru itu, kerajaan disaran mengadakan peruntukan dana dan menggubal formula yang sesuai bagi parti politik dan calon yang menang mengikut jumlah yang sesuai dengan kerusi dan undi yang dimenangi dalam pilihan raya mengikut agihan 50 peratus untuk kerusi dimenangi dan 50 peratus untuk jumlah undi yang diperoleh," kata laporan itu.

- Bernama
http://www.malaysiakini.com/



Gajah mati tinggal tulang, BN mati tinggalkan hutang
Posted on Monday, April 02 @ 19:00:00 CDT by paktam
Penulis TamuOleh SHIRZAD LIFEBOATHUTANG negara kini adalah pada paras 53 peratus KDNK. Apakah maknanya ini? Dan apakah seperti ini sihat atau tidak untuk ekonomi sesebuah negara.Bagi yang masih tidak begitu memahami maksud KDNK (singakatan piawaian bagi ‘Keluaran Dalam Kasar Negara’), ia bermaksud jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu (lazimnya dalam tahun kalendar).


Ia juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang.
Maka dari segi hutang negara ini, analogi atau pengibaratan paling mudah dalam skala lebih kecil ialah: jika anda adalah sebuah kerajaan dan pendapatan anda katakan RM1,000 sebulan maka jumlah hutang anda ialah RM530.
Itu sebenarnya tidak menjadi masalah besar. Lagipun sebagai seorang rakyat biasa Malaysia, kita sudah lali hidup dalam nisbah pendapatan kepada hutang yang jauh lebih besar. Malah jika dikira hutang membeli rumah (pada kadar tinggi disebabkan kegagalan  kerajaan mengawal mekanisme harga atau peregulasian lemah), hutang kereta (kerana struktur cukai menyebabkan harga kereta persendirian antara tertinggi di dunia), hutang kad kredit (kerana gaji yang tak pernah cukup untuk kehidupan seharian) dan hutang peribadi (kerana dalam keadaan terdesak kita tidak ada pilihan), maka hutang kita jauh melebihi keluaran dalam kasar kita.
Malangnya, kerajaan BN tidak melihat ini sebagai satu masalah kronik kepada rakyat. Sebaliknya beban hutang ini ditokok pula dengan penarikan semula pelbagai subsidi, pengenalan pelbagai cukai konsumer baru sebagai tambahan cukai yang sedia ada dan telah dinaikkan berulang kali, harga barangan utama pengguna yang terus naik dan bak kata orang ungkapan Inggeris, "last but not least", nilai ringgit yang susut lebih cepat berbanding mata wang utama dunia.
Malah kerajaan BN tidak pernah merasa susah hati tentang prestasi ekonomi negara sekalipun. Kepada minda pemimpin BN hatta Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekalipun, wang tunai tidak ada masalah dan boleh turun dari langit pada bila-bila masa. Setiap Menteri Kewangan bermula daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah Perdana Menteri Malaysia dan mereka seakan-akan mahu menunjukkan tidak ada lagi negara yang kaya di seantero dunia ini melainkan Persekutuan Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN.
Hujung minggu lalu dunia kita menyaksikan Perlumbaan Lumba Kereta Formula 1 Petronas di Litar Sepang dengan tiga buah pasukan di taja oleh Malaysia (sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia ini, walaupun bagi negara yang paling gila sukan ini).
Petronas, menerusi kerajaan BN, merasakan lebih baik, lebih bermanfaat, dan lebih dilihat sebagai melangsaikan tanggungjawab sosial terhadap rakyat Malaysia menganjurkan siri perlumbaan tersebut di negara ini dan sekali gus menaja sebuah pasukan Formula 1 daripada membayar royalti bagi membantu rakyat dan negeri Kelantan. Proton Holdings Berhad yang semakin terkenal dengan kerugian RM3.4 bilion pula merasakan tidak mengapa menaja sebuah pasukan lagi. Begitu juga pemilik bersama baru MAS yang juga mempunyai pasukan lumbanya dalam siri kejohanan sukan tersebut musim ini.
Itu hanya satu contoh. Banyak lagi contoh lain di mana kerajaan berlagak kaya. Contoh terbaru ialah pelupusan hutang RM589 juta usahawan Tajuddin Ramli kepada Pengurusan Danaharta Sdn Bhd.
Sebelum ini ialah pemberian BR1M yang dikatakan menelan wang pembayar cukai sebanyak hampir RM100 juta. Sudah tentu jumlah ini belum lagi termasuk peruntukan payun terjun dan pemberian khas Pengerusi BN (atas kapasiti Perdana Menteri) meluluskan projek itu dan ini kepada pelbagai pihak dalam setiap lawatan prapilihan raya umum beliau.
Justeru, tidak hairanlah apabila seorang ahli Parlimen BN dari negeri Perak dengan megah dan angkuh bangkit dalam Dewan Rakyat lalu menyanggah mengapa rakyat Malaysia harus bimbang dengan nisbah hutang negara kepada KDNK pada kadar yang akan kini. Dan seorang Timbalan Menteri pula mengeluarkan kenyataan berhubung perihal hutang negara ini dalam nada seolah-olah, “dont worry, it is just a debt...”
Tentu sekalilah mereka tidak perlu bimbang apa-apa kerana akhirnya bukan mereka yang terpaksa membayar hutang ini melainkan rakyatlah yang akan dibebankan dengan pelbagai cukai, penarikan subsidi dan macammacam lagi.
Seorang felo terkemuka di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Mohd Arif Abdul Kareem tidak lama dulu mengatakan pendapatan negara adalah terlalu perlahan bagi memadankan dengan kelajuan kerajaan meminjam wang. Menurutnya memang benar saiz hutang negara berbanding KDNK bukanlah sesuatu yang bermasalah, tetapi masalahnya kelembapan pertumbuhan ekonomi dalam tahun-tahun terakhir inilah yang dibimbangkan.
Penjelasan Mohd Arif tentulah ada asasnya. Nisbah hutang negara kepada KDNK melonjak daripada 41.4% pada 2008 kepada 53.1% pada 2010 sementara hutang kerajaan meningkat daripada 14.6% pada 2008 kepada 18.3% pada 2009 yang mana terlalu jauh mengatasi pertubuhan ekonomi.
“Jika tidak ada sesuatu dilakukan untuk menterbalikkan trend dalam perbelanjaan dan penghasilan kerajaan,ekstrapolasi menunjukkan hutang negara akan meletup kepada 100% dari KDNK pada tahun 2019 kelak,” kata Mohd Arif.
Melihatkan cara urus-tadbir ekonomi dan kewangan kerajaan BN yang begitu berlagak, terutama sejak awal 1980-an, apa yang dikatakan oleh felo tersebut tidak mustahil akan berlaku. Malaysia di bawah BN adalah sebuah negara yang serba boleh – justeru Malaysia Boleh.
Nampaknya sekira Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya sekalipun selepas PRU13, kita sama-sama sudah boleh menggunakan peribahasa Melayu moden - harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang dan BN mati meninggalkan hutang.


http://www.detikdaily.net/

No comments: