Cuba Banding

Wednesday, December 21, 2011

Jangan rosakkan masa depan rakyat dan negara

SBPA: Jangan rosakkan masa depan rakyat, negara| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi.
“Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan oleh kerajaan,” kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).
Katanya, seperti yang diketahui, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih perlu berunding dengan kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut.
Tetapi hari ini, katanya pihak guru-guru telah diminta untuk menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum sampai iaitu pada 31 Disember 2011.
PAS, jelasnya telah melalui pengalaman di mana pihak kerajaan telah menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup.
Tambahnya, tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.
Menurutnya, pada 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Justeru, katanya apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan, PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.
“Memadailah ibu bapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam pendidikan akhlak,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu besar seperti ini di samping membuat perancangan yang betul dalam bidang pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal diselesaikan sehingga hari ini.
“Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara,” ujarnya.

No comments: