Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Mana-mana pihak tidak wajar mempertikai kemampuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memerintah negeri itu.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selagi rakyat Kelantan mahu memilih Nik Abdul Aziz untuk menerajui Kelantan, selagi itu pihak luar tidak harus campur tangan.
 
“Kalau beliau masih mampu tadbir negeri dan rakyat masih sokong beliau untuk jadi Menteri Besar, tiada salahnya untuk beliau bertanding semula pada pilihan raya akan datang. Malah jika beliau yakin boleh menang, tiada sebab untuk tidak jadi calon,” katanya.
 
Menurutnya, tiga kriteria itu menjadi kayu pengukur untuk meletakkan calon, malah Nik Abdul Aziz dilihat masih kuat untuk bekerja walaupun usianya kini mencecah 80 tahun.
 
“Kepimpinan beliau masih diperlukan sama ada dalam Pas atau pun di Kelantan. Malah parti sendiri tidak pernah bangkitkan isu itu. Desakan datang daripada pihak luar. Saya sokong sepenuhnya jika beliau mahu bertanding lagi pada PRU13,” katanya.
 
Pada Selasa lalu, Nik Abdul Aziz, berkata, tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
 
Malah, beliau berikrar akan tetap bertanding pada PRU13 kerana mahu terus berlawan dengan Umno.
 
Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990. Pada PRU 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka, dengan mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, dengan majoriti 4,249 undi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami