Cuba Banding

Wednesday, September 7, 2011

Keluarga tuntut kerajaan isytihar Mat Indera Adalah Pejuang


Keluarga tuntut kerajaan isytihar Mat Indera pejuang, bukan pengkhianat

TERKINI @ 03:58:16 PM 07-09-2011
September 07, 2011

Baharom Shah Indera (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kanan) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR, 7 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat pada sidang media hari ini.
Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini, katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Isu Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong menjadi kontroversi selepas disentuh oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu ceramah bulan lalu. Beliau mengatakan bahawa peranannya dilupakan dan dilabel sebagai pengkhianat negara.
Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.
Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”
“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.
Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”
Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.
“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.
Baharom menambah, abangnya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.
“Beliau sering mengadakan perjumpaan dalam keluarga dan mendidik keluarga untuk komited dengan ajaran agama Islam.
“Beliau selalu menafikan, beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan British,” katanya lagi.
Kata Baharom, “sekarang negara sudah merdeka, kalau bukan kita yang membersihkan nama Mat Indera, siapa lagi yang boleh membersihkan nama beliau.”
“Saya berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan akan mengambil usaha segera... lakukan sekarang, isytihar beliau bukan pengkhianat,” katanya ketika ditanya siapa yang wajar dan dalam berapa lama isu ini perlu diselesaikan.
“Kita sudah merdeka lebih 50 tahun, saya berharap kerajaan akan melakukan dengan segera,” kata beliau yang turut berpegang pada buku terbitan kerajaan negeri Johor yang berjudul “Pengukir Nama Johor”.
Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.
Baharom berkata, beliau pernah menulis dua tiga artikel mengenai keperluan membersihkan nama abangnya di Utusan Malaysia pada 1978 atau 1979.
“Jadi ini harapan keluarga saya sekarang,” katanya dan menegaskan, pihaknya berpegang pada pendirian itu kerana “pegangan agamanya (Mat Indera) kuat dan seorang yang tegas dan tegar melawan British.”
“Saya serah kepada siapa yang hendak buat kajian, bersihkan nama dia,” tambah beliau.
Suhaizan juga berkata Mat Indera bukan seorang yang berideologikan komunis.
“Kalau dia seorang berideologikan komunis, sudah pasti dia tidak beragama,” katanya sambil menambah, “kemungkinan Mat Indera mempergunakan PKM untuk kemerdekaan negara.”
“Tetapi pada pandangan kami, dia tidak berideologikan komunis, dia hanya ahli PKMM dan API (Angkatan Pemuda Insaf,” katanya.
Mengenai laporan media bahawa Jamilah menafikan keluarganya diselamatkan oleh Mat Indera, Suhaizan berkata, “apa yang saya kata (dipetik Sinar Harian) adalah Mat Indera menyelamatkan Jamilah, bukannya menyelamatkan keluarga Jamilah.”
Jamilah dipetik berkata jika Mat Indera menghalang pihak komunis membunuh keluarganya ketika itu pasti ibu dan adik lelakinya tidak akan terkorban dalam serangan tersebut.
Kata Suhaizan, Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaba Ibrahim telah bertemu dengan Jamilah pada Ahad lalu, dan turut mengakui bahawa Mat Indera yang menyelamatkannya.
Ibu Jamilah dan adik lelakinya merupakan antara yang turut terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.
Suhaizan juga berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengkumpulkan maklumat dan bahan yang berkaitan.
“Dengan sekretariat itu, mana-mana keluarga yang hendak menuntut ganti rugi daripada British atas kecuaiannya sehingga ramai kakitangan polis dan anggota keluarga mereka terbunuh, akan dibantu dan diuruskan,” katanya.
http://www.themalaysianinsider.



TIDAK TERIMA PENCEN Sejak 1962 Akan Selesai Dalam SEMINGGU
Berita, Komentar, Ulasan & PendapatALOR SETAR, 6 Sept - KENANGAN ... Gambar Syed Omar Syed Yasin (empat, kanan) anggota Polis yang telah meninggal dunia pada 1962 tidak pernah menerima wang pencen ketika menjalani latihan Polis di Kuala Lumpur.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyelesaikan masalah pencen Syed Omar dalam tempoh seminggu bagi membolehkan wang pencen itu diserahkan kepada balunya Sharifah Aminah Syed Ali.



Sharifah Aminah Syed Ali (kanan) mengatakan sesuatu mengenai arwah suaminya Syed Omar Syed Yasin kepada Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA, Datuk Yeow Chin Keong (kiri) ketika kunjungan JPA di Taman Nakishah di sini, hari ini.



Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Yeow Chin Keong (dua, kiri) menerangkan mengenai prosedur penerimaan pencen kepada balu Syed Omar Syed Yasin, Sharifah Aminah Syed Ali (kanan) ketika ditemui di Taman Nakishah di sini, hari ini


Sharifah Aminah Syed Ali tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual pemberita di kediamannya di Taman Nakisah di sini, hari ini. Dia bersyukur apabila Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Yeow Chin Keong memberi jaminan akan menyelesaikan masalah anggota Polis Syed Omar Syed Yasin yang tidak menerima pencen sejak kematiannya pada 1962 dalam tempoh seminggu.


Hebat!. Itu saja yang boleh diucapkan kepada JPA. Selepas 49 tahun kematian Syed Omar. Hari ini JPA berjanji akan menyelesaikan masalah itu dalam masa SEMINGGU. Itupun selepas Mat Sabu berucap menyentuh kes serangan Mat Indera di Bukit Kepong. So kepada siapa harus diucapkan terima kasih?. JPA, Mat Sabu atau...Rosmah?. :Author Faethal
Posted on Wednesday, September 07 @ 00:02:38 MYT by ahmadi
http://www.selatanonline



Siri 3 : Isteri Kau..Isteri Aku, Punca Serangan BUKIT KEPONG
Berita, Komentar, Ulasan & Pendapat
Sejak Mat Indera popular dikalangan buruh sehingga diangkat menjadi pemimpin mereka, kerajaan British sudah mula memusuhi Mat Indera. Apatah lagi apabila Mat Indera bergerak di bawah Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad. Matlamat mereka ialah untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan Angkatan Pemuda Insaf (API).


Pada 20 Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh negara dan semua gerakan dan partai gerakan kiri telah diharamkan. Pada masa ini revolusi bergema di serata tempat. Mat Indera telah memimpin belasan pemuda memasuki Tentera Pembebasan Nasional Malaya, mengibarkan panji perjuangan bersenjata dan mengisytiharkan perang terhadap penjajah British. Mat Indera kemudiannya dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Wilayah Bahagian Johor Jabatan Kerja Melayu serta menjadi salah seorang pemimpin Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Mat Indera adalah seorang kader penyusun gerak yang sangat efektif. Pengaruh beliau yang sudahpun tersebar di pelbagai daerah negeri Johor adalah hasil perjuangan beliau pada masa aman dahulu. Pasukan kerja bersenjata pimpinan beliau wujud di pelbagai kawasan terutama di Muar, Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mat Indera bersama gerakan KaumMudanya telah berusaha menaburkan benih-benih revolusi di merata kampung dan memperluaskan pengaruh serta tapak organisasi di kalangan ramai pekerja khasnya kaum tani.

Hubungan beliau dengan masyarakat bagai isi dengan kuku. Mat Indera sangat mengambil berat kehidupan masyarakat pelbagai bidang. Masyarakat pula menyambutnya seperti putera terbaik kesayangan mereka sendiri. Mereka lebih-lebih gembira kerana mempunyai tentera mereka sendiri dan Mat Indera yang mereka anggap sebagai seorang pemimpin mereka di waktu aman dahulu kini muncul pula di tengah-tengah mereka sebagai seorang komander Tentera Pembebasan. Banyak kampung telah disusun dan menjadi asas untuk menyokong perjuangan bersenjata mereka. Tambahan pula kesan kemasukan tentera Gurkha dan Fiji British ketika era perang terhadap Jepun mula mendatangkan masalah kepada penduduk kampung.

Tentera Gurkha di Tanah Melayu

Inilah antara punca kepada peristiwa penyerangan Bukit Kepong. Menurut Pak Johan, masyarakat kampung ketika itu banyak diganggu oleh askar-askar upahan penjajah ini. Perangai dan tingkahlaku buruk yang ditunjukkan oleh tentera Gurkha dan Fiji ini semakin menyusahkan masyarakat kampung sejak Jepun keluar dari Tanah Melayu. Mereka lebih gemar berjudi dan mabuk, seterusnya mengganggu orang kampung. Askar Fiji pula lebih teruk lagi apabila tidak boleh melihat perempuan. Tidak kira anak dara atau isteri orang, jika mereka suka mereka akan mendapatkannya.

Pernah terjadi satu peristiwa seorang kampung menetak dengan parang seorang lelaki yang sedang mengendap isterinya di dapur. Rupa-rupanya lelaki yang mengendap itu adalah tentera Fiji. Walaupun tentera Fiji ini bersalah, dan hanya tercedera di lengan namun lelaki ini lebih malang lagi kerana dipenjarakan sehari di atas tindakannya itu. Bak kata Pak Johan,"Lagak askar Fiji ini dengan perempuan, tidak peduli. Jika mereka sudah suka, isteri kau..isteri aku.". Lebih malang lagi pengaruh buruk tentera-tentera upahan British ini turut mempengaruhi sebahagian anggota Polis melayu yang berkhidmat untuk British. Walaupun tidaklah seteruk hingga merogol isteri orang, namun budaya minum dan mabuk ini sudah menjadi kebiasaan dikalangan ramai anggota polis yang bekerja dengan British ketika itu.


Sdr Awang (kiri) bersama bapanya Yahya. Pak Yahya adalah anak kepada Pak Sanib.


Oleh kerana maklumat terperinci perjuangan Mat Indera ketika di dalam hutan tidak begitu diketahui oleh Pak Johan. Saya bersama SAMM berjaya menjejak anak kepada rakan baik Mat Indera iaitu Sanib Jasmani. Sanib Jasmani adalah merupakan Ketua Kompeni Rejimen Ke-10, juga berasal dari Johor, dan pernah sama-sama berjuang bersama Mat Indera. Kami berjaya menjejakkan kaki ke Jeram, Muar untuk bertemu anak kepada arwah Sanib Jasmani iaitu Pak Yahya yang berusia 68 tahun.

Menurut Sdr Awang, iaitu anak Pak Yahya yang pernah bertemu sendiri dengan Pak Sanib semasa hidupnya, telah dimaklumkan tentang keburukan perangai tentera dan polis Britih ketika itu yang berlaku zalim dan penindasan terhadap penduduk kampung. Namun apalah daya penduduk kampung ketika itu. Handak diharapkan kepada Polis melayu, mereka juga bekerja dengan British. Hendak melawan mereka tidak bersenjata.

Sanib Jasmani @ Masin merupakan anggota pasukan Melayu Johor.



Ketika inilah Mat Indera menjadi harapan masyarakat kampung untuk membela nasib mereka yang ditindas dan dizalimi oleh anjing-anjing British ini. Menurut Awang juga, Mat Indera yang sememangnya terkenal di kalangan penduduk kampung di Muar hanya menggunakan Komunis untuk mendapatkan bekalan senjata bagi melawan polis dan tentera penjajah ini. Pak Sanib akhirnya pulang kembali ke Malaysia selepas perjanjian damai hatyai pada 1989. Beliau telah meninggal dunia di Gunung Senyum di Jengka, Pahang beberapa tahun lepas.


Keluarga MAT INDERA Di Buang Negeri

Sejak Mat Indera menjadi buruan kerajaan British. Keluarga Mat Indra yang ketika itu tinggal di Bakri sentiasa mendapat penghinaan. Pak Johan turut menceritakan pengalamannya melalui zaman persekolahan ketika itu. Penghinaan terhadap keluarganya yang dikatakan menjadi penyokong komunis dan pengganas sudah ditanamkan oleh propaganda kerajaan British ketika itu. Propaganda itu turut menyerap dikalangan guru dan rakan-rakannya di sekolah ketika itu. Beliau sentiasa dicemuh oleh semua guru di sekolahnya sebagai keluarga komunis. Kecuali seorang guru agama, Haji Hitam yang sentiasa memberi sokongan dan meminta Pak Johan supaya bersabar. Perkara ini tidak sukar difahami kerana, kebanyakan guru ketika itu adalah merupakan lepasan sekolah Inggeris, melainkan guru agama yang mempunyai kefahaman agama yang lebih. Tambahan pula Mat Indera sendiri adalah seorang guru agama yang terkenal di Muar sebelum masuk berjuang di dalam hutan.


Hanya seorang guru agama sahaja yang tidak menghina dan mengutuk saya di sekolah sebagai Komunis dan pengkhianat - Pak Johan


Kemuncak tekanan kerajaan British kepada keluarga Mat Indera ialah mereka diusir dari bumi Johor. Keluarganya di arah untuk keluar dalam tempoh masa 3 bulan. Jika mereka engkar mereka sekeluarga akan dipenjarakan. Akhirnya Pak Johan dan keluarganya memilih untuk berpindah ke Singapura. Mereka sekeluarga tinggal di Singapura selama setahun.

Sepanjang tempoh lima tahun di Singapura ini, mereka tidak mengetahui khabar berita tentang Mat Indera. Mereka hanya mendengar khabar berita tentang Mat Indera daripada berita serangan di Bukit Kepong dan Mat Indera ditangkap ketika berada di Singapura.
Posted on Wednesday, September 07 @ 11:46:28 MYT by tok_aji
http://www.selatanonline




Mohamad Sabu dan Mat Indera
Posted on Tuesday, September 06 @ 06:52:57 PDT by paktam
Fokus Isu
Oleh Zul Sulong
MEMBACA transkrip ucapan timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Padang Menora, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu membuat kita faham kenapalah Uhttp://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/06/matsabu400px.jpgmno marah dan bimbang sangat dengan ucapan itu.

Rupanya, isu penting yang dibangkitkan oleh Mohamad adalah sejarah kemerdekaan negara ini. Mohamad memberikan andaian beliau kenapa sambutan kemerdekaan sejak kebelakangan ini hambar.

Puncanya, kata Mohamad adalah kerana rakyat terasa Umno telah menjadikan sambutan kemerdekaan negara seumpama sambutan memperingati perjuangan Umno sahaja.

"Sekarang kita ni dalam suasana nak sambut merdeka, kita tengok takda orang pun bawa bendera di kereta. Ada setengah tu kereta dia bubuh dekat 200 bendera, tu hak jenis masuk ayak (air) dalam kepala tu. Hak jenis tu ada tapi orang biasa, saya tak nampak pun, sebab rakyat tak berasa sambut merdeka, sambut merdeka seolah-olah perayaan Umno, betul ke dak?
"Sepatutnya tokoh pejuang kemerdekaan kena masuk dalam televisyen. Kalau nak buh Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn pun takpalah (tetapi) kena letak juga Dr Burhanudin, kena letak juga Ustaz Abu Bakar Al Bakir, kena letak juga Datuk Ahmad Bustamam, kena letak juga Datuk Ibrahim Yaakob, kena letak juga perjuang-perjuang seperti Mat Kilau dan sebagainya, ini penentang-penentang British.
(Mohamad Sabu menunjukkan kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang mencatatkan Mat Indera sebagai salah seorang heronya)

"Tapi bila merdeka, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn. Kalau gitu Umno lah saja yang layak, betul ke dak?" kata Mohamad Sabu dalam ceramah itu.

"Ertinya sambut merdeka ni seolah-olah kepunyaan Umno. Sebab tu kita lihat tulisan-tulisan, blog-blog kebelakangan ni, anak-anak muda kata ...umph.. sambut buat apa. Bendera pun dia kata serupa bendera Amerika. Lagu Negaraku pulak,lagu Hawai. Kemudian diterjemahkan lagu jadi  Terang Bulan di Indonesia, kemudian jadi lagu Negaraku.

"Mula-mula  saya ingat budak-budak ni melawak. Hari tu anak saya tunjuk, dia bukak YouTube. Dia kata ayah dengak, ini lagu Terang Bulan di Indonesia, ini lagu Negaraku, hundred percent serupa. Ertinya lagu ni lagu diambik daripada lagu Terang Bulan, bukan lagu patriotik apa-apa pun. Sebab tu kita harap, takpalah dah guna pakai nak buat macamana," kata Mohamad.

Dalam ceramah itu jelas Mohamad tidak menafikan sumbangan tokoh-tokoh Umno itu tetapi yang dikesalkan oleh beliau adalah sikap media yang dikuasai Umno menggelapkan jasa pihak lain yang turut berjuang untuk kemerdekaan negara.

Bagi Umno, hanya perjuangan Umno sahaja menyebabkan negara kita merdeka. Hanya pemimpin Umno sahaja yang berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Yang menarik juga, Umno melalui tukang-tukang tulis sejarah mengiktiraf mereka yang berjasa adalah mereka yang bersama dengan British yang menjajah negara kita. Mereka yang berjuang, bekerjasama dan bersekongkol dengan British adalah pejuang manakala penentang British adalah petualang.

Atas sebab itulah, Mohamad Sabu membawa balik cerita filem Bukit Kepong.

"Kita lihat cara yang dibuat itu memang banyak yang tak kena. Bila hari merdeka nanti tunjuklah filem Bukit Kepong, (dalam filem) Bukit Kepong, polis itu, polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat Indera, (seorang) Melayu.

"Tetapi semua sejarah itu ditutup. Jins Samsudin buat filem, Jins Samsudin tu Umno. Dalam cerita Bukit Kepong hak serang balai polis (rumah pasong nama ketika itu) tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka, negara kita diperintah oleh British. Tetapi dibuat filem yang hero hak pertahan balai polis (rumah pasong), hak serang tu pengganas. Padahal (yang hero) Mat Indera, ketua penyerang balai polis itu yang  akhirnya dia dihukum gantung di Jail Taiping," kata Mohamad dalam ceramah itu.

Inilah ayat-ayat yang digunakan oleh Umno untuk menyerang Mohamad Sabu. Kononnya, Mohamad menghina polis dan memuji komunis. Padahal dalam ceramah itu tidak ada pun perkataan komunis yang disokong beliau.

Kini, Mohamad telah menemui sebuah buku yang asalnya didedahkan oleh seorang pembaca Harakahdaily, Mohamed Hadi al-Majwi, melalui tulisannya bertajuk 'Kerajaan Johor Mengiktiraf Ketokohan Mat Indera'.

Buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor bertajuk "Pengukir Nama Johor" menyenaraikan Mat Indera sebagai salah seorang hero Johor. Di Johor, yayasan ini umpama Jabatan Muzium Negeri Johor kerana Johor tidak ada jabatan muzium ini. Ia adalah satu jabatan kerajaan di Johor.

Melalui buku ini, sejarah perjuangan Mat Indera memperjuangkan kemerdekaan dicatatkan dengan baik sekali oleh penulis buku ini.

Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Jika Umno dan medianya terus mengatakan Mat Indera komunis dan menyifatkan Mohamad Sabu sebagai penyokong komunis maka tuduhan Umno itu tidak patut berhenti di situ.

Umno juga mesti menuduh menteri besar Johor sekarang, Datuk Ghani Othman yang memberikan kata-kata aluan untuk buku ini sebagai penyokong komunis.

Umno juga perlu menuduh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn juga sebagai penyokong komunis kerana menulis bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis.

Di samping mereka berdua, Umno juga perlu menuduh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002 sebagai penyokong komunis juga kerana mereka berdualah yang menyunting buku itu.

Dan yang lebih penting lagi, Umno kena mendakwa dan membuat laporan polis terhadap Yayasan Warisan Johor kerana menerbitkan buku ini.

Kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin pula, beliau perlu mengkaji balik tuduhannya kepada Mohamad Sabu dan Mat Indera khasnya. Ini kerana, ayahanda beliau, Haji Mohamad Yasin adalah guru agama kepada Mat Indera.

Muhyidin kena mendakwa ayahandanya mengajar ilmu salah bahkan diserap fahaman komunis kerana telah menyebabkan Mat Indera menjadi komunis.

Kalau kita pergi lebih jauh lagi, kakak Muhyidin yang hampir berkahwin dengan Mat Indera juga patut didakwa oleh Muhyidin kerana pengaruh beliaulah menyebabkan Mat Indera jadi komunis jika benar Mat Indera komunis.

Semua ini tidak terlepas dari Umno dan benarlah apa yang dikatakan Mohamad Sabu, Umno menggali kuburnya sendiri dalam isu ini dan "saya mahu tabalkan MB Johor baharu dari PAS selepas pilihan raya umum akan datang," kata Mohamad Sabu sambil menepuk bahu seorang pemimpin PAS yang berasal dari Johor.

No comments: