Cuba Banding

Friday, August 19, 2011

Kristian guna hak asasi ganggu akidah Muslim


Kristian guna hak asasi ganggu akidah Muslim, dakwa NGO Islam

August 18, 2011
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa kumpulan-kumpulan Kristian “mempergunakan” Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia untuk menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.
Tegas Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kumpulan-kumpulan Kritian juga berselindung di sebalik badan-badan kebajikan dengan tujuan yang sama.
“Kita percaya bahawa ini adalah hasil dan natijah dan di belakangnya tentu ada perancangan yang tersusun rapi untuk mengkristiankan dan mengeksploitasi kebebasan beragama dalam Perlembagaan dan di atas nama hak asasi manusia.
“Tanpa kita sedari sebenarnya mereka (kumpulan Kristian) menggunakan peruntukan Perlembagaan dan hak asasi manusia untuk mencucuk jarum permusuhan dan merosakkan akidah umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru jelas beliau, kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya membuktikan agenda memurtadkan umat Islam wujud.
“Hasil siasatan Jais menjadi bukti jelas bahawa kegusaran umat Islam selama ini terhadap aktiviti memurtadkan bukan lagi menjadi perkara yang tersembunyi.
“Isu ini menjadi sensitif bagi umat Islam bukan sahaja kerana kerosakan akidah yang berlaku di kalangan masyarakat Islam yang hanya tinggal pada nama sahaja tetapi lebih penting daripada itu, kita perlu memahami bahawa usaha tersusun pihak bukan Islam yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Tegas Abdullah Zaik, kumpulan Kristian telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan agama lain disebarkan kepada umat Islam.
“Pada hari ini, kumpulan Kristian berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama. Sebenarnya tindakan mereka terang-terang telah melanggar peruntukan Perlembagaan di dalam Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar daripada agama itu.
“Dalam Perlembagaan tercatat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama masing-masing tetapi undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara penganut Islam,” katanya.
Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

No comments: