Cuba Banding

Sunday, August 14, 2011

Daftar pemilih: PAS memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pembersihan daftar pemilih melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)


Daftar pemilih: PAS mohon Agong campur tangan
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: PAS memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pembersihan daftar pemilih melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS mahu Agong mengambil tindakan terhadap pihak atasan SPR khususnya pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

"Walaupun sudah berulang kali disebut mengenai pembersihan daftar pemilih tapi dinafikan SPR, sekarang sudah terdedah banyak penyelewengan dalam SPR sehingga ada nama Kg Baru sebagai pemilih dan kes Mismah.

"PAS harap Yang di-Pertuan Agong dapat mengambil tindakan terhadap SPR supaya pilihan raya yang adil dapat dilaksanakan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, heboh apabila media mendedahkan mengenai penduduk tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah mendapat taraf warganegara dengan mudah, sekaligus didaftarkan sebagai pemilih.

Nama Kg Baru pula didapati layak mengundi di sebuah kawasan di Besut, Terengganu.

Selain itu terdapat pertindihan nama pemilih di beberapa kawasan yang sangat meragukan.

Tambah Mohamad, SPR harus mengakui kesilapan dan pengerusinya harus meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan yang setimpal.

Mohamad berkata, memandangkan memorandum mengandungi lapan tuntutan Bersih 2.0 telah diterima Agong, pihaknya mahu Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita tidak perlu serah memorandum lagi tapi mempertegaskan lapan tuntutan Bersih 2.0 khususnya dalam isu daftar pemilih ini," katanya.

Tegasnya, isu ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana melibatkan sistem demokrasi dan kepercayaan rakyat.

"Pilihan raya yang adil penting kerana kalau rakyat tidak terima keputusan pilihan raya, itu sangat bahaya kerana rakyat sekarang semakin celik maklumat," katanya.

Beliau juga kesal dengan SPR yang sering bertindak double standard terhadap Pakatan Rakyat.

"Datuk Wan Ahmad selalu guna kalimah parti pembangkang sedangkan beliau tidak berhak melabelkan mana-mana parti sebagai pembangkang kerana semua parti ialah pelanggannya dan harus bersifat adil," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir.

http://bm.harakahdaily


Dekan UM: Alasan SPR Tolak Tuntutan Bersih 2.0 Memalukan
Berita, Komentar, Ulasan & PendapatSeorang dekan Universiti Malaya hari ini membidas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sambil menyifatkan ia satu keputusan “memalukan.”

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Prof Dr Redzuan Othman berkata tindakan SPR menolak untuk melaksanakan tidak wajar kerana kesemua tuntutan itu boleh dilakukan badan pengurusan pilihan raya itu.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“Jawapan yang diberikan tidak melambangkan satu intelektual dalam SPR yang mana SPR kata tidak boleh (laksanakan), akses media dia (SPR) kata parti politik boleh gunakan media elektronik, tempoh kempen… SPR kata melibatkan soal keselamatan.
“Dalam pilihan raya umum di Malaysia, saya lihat sejak 1974 tidak ada satu pergaduhan dan tiada pertumparan darah, kalau ada pun disebabkan kemalangan semasa pilihan raya,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.
Justeru tegas Redzuan, SPR perlu memandang serius tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 sehingga membawa perhimpunan aman pada 9 Julai lalu di ibu negara.
“Isu keselamatan bukan alasan untuk kurangkan tempoh berkempen, undi pos pula SPR kata ramai pelajar kita di luar negara tapi dulu, semasa saya masih belajar di luar negara, semasa tiba pilihan raya saya pergi ke kedutaan (untuk mengundi) tapi tiada, saya tidak mahu sebut tuntutan lain…hujah yang diberikan SPR memalukan.
“Proses pilihan raya harus melambangkan rakyat merasakan keadilan, peranan SPR, saya lihat dalam soal tempoh berkempan dulu sejak 1955 tempoh berkempen selama 42 hari, kemudian pada 1969 35 hari, pada 2004 tempoh dipendekkan kepada lapan hari ini benarkan Barisan Nasional (BN) menang besar begitu juga dengan akses media, pembangkang tidak dapat akses media,” katanya.
Selain Redzuan, turut menjadi ahli panel adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Puaad.
Sebelum ini Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 dengan alasan tidak mempunyai kuasa.
Justeru beliau meminta Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan agar mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Jelas Wan Ahmad, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Lebih menjurus kepada lapan tuntutan Bersih 2.0 terutamanya akses media yang bebas dan adil, Redzuan meminta agar Putrajaya mencontohi Singapura yang membenarkan semua calon bertanding mendapat kebebasan media termasuk melalui televisyen.
“Kenapa kita tidak ikut Singapura, parti-parti politik diberi peluang untuk mendapat akses media, walaupun sehari sebelum hari mengundi semua calon tidak dibenarkan berkempen, namun mereka diberi peluang untuk bercakap di televisyen.
“Tapi di Malaysia media menggambarkan suasana pilihan raya sebagai perang, media memberikan gambaran yang tidak elok tentang pembangkang… tuntutan adalah tuntutan rakyat Malaysia, masyarakat sekarang tidak sama dengan masyarakat dulu… masyarakat hari ini tidak mahu diperbodohkan,” katanya.
Isu pengurusan pilihan raya semakin hangat baru-baru selepas Pakatan Rakyat mendedahkan banyak kepincangan dan penyelewengan dalam daftar pemilih termasuk tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
Pakatan Rakyat turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan perkara itu.
Pada sidang media semalam, SPR menafikan dakwaan bahawa badan pengurusan pilihan raya itu sengaja membenarkan pemastautin tetap menjadi pengundi yang sah.
Sebaliknya, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia hanya kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan JPN namun dikecam PAS.

Posted on Saturday, August 13 @ 17:45:00 MYT by tok_aji
http://www.selatanonline



Saifuddin: Saya tidak setuju samakan Bersih 2.0 dengan rusuhan London

August 13, 2011
KAJANG, 13 Ogos — Datuk Saifuddin Abdullah hari ini tampil membuat pendirian tidak bersetuju dengan Putrajaya menyamakan Himpunan Bersih 2.0 dengan rusuhan di Britain baru-baru ini.
Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 telah ditahan termasuk pemimpin Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.
Pendirian itu dilihat bertentangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam perkara itu.
“Saya juga tidak setuju samakan Himpunan Bersih 2.0 dengan rusuhan di London,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.
Semalam Najib langkah Putrajaya menghalang Himpunan Bersih 2.0 sebagai keputusan tepat bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Kata beliau, tiada sebarang jaminan bahawa semua peserta perhimpunan jalanan itu mempunyai niat untuk mengadakan perhimpunan secara aman.
Sementara itu Hishammuddin berkata, banyak pengajaran boleh dipelajari daripada rusuhan ganas yang berlaku di London dan beberapa bandar lain di England.
Hishammuddin juga berkata, insiden itu membuktikan pentingnya satu ketetapan dan ketegasan diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu secara bijaksana tanpa menjejaskan ketenteraman, kestabilan dan keharmonian di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar juga memberi pendirian yang sama.
Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat mengecam tindakan itu.
Dalam ucapan itu, Saifuddin (gambar) yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Barisan Nasional (BN) sepatutnya mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penganjuran perhimpunan aman.
“Ada di antara kita yang alergik bila dengan perkataan demonstrasi tapi dia tak sedar dia juga lakukan perkara sama juga menggunakan istilah yang berlainan,” katanya.
Beliau juga berkata Najib komited untuk melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.
“Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk pastikan pilihan raya bersih, beliau komited sejauh mana... kita perlu beri beliau masa,” katanya.
Keadaan di bandar-bandar utama di Britain kembali selepas dilanda rusuhan dan kegiatan mencuri yang berleluasa sejak minggu lalu sehingga mencetuskan kecemasan di negara itu.



http://www.themalaysianinsider

No comments: