Cuba Banding

Sunday, July 17, 2011

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul

Agong seru ambil panduan Quran Hadis
Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 17 Julai: Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul dalam masyarakat.


Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, Allah menggariskan agar al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti Firman-Nya di dalam Surah An-Nisa.


Baginda menyarankan demikian ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 yang bermula malam tadi hingga 23 Julai.


Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.


Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah turut berangkat.


Majlis itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen ke seluruh negara.


"Beta percaya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah, perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.


"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara.


"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar namun harus kita fahami ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda.


Pada tahun ini, seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara bakal memperdengarkan bacaan mereka dalam seminggu ini.


Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.


Dalam titah itu, baginda juga mengingatkan umat Islam agar menggunakan pendekatan bijaksana dengan mengutamakan rundingan sesama mereka.


"Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah," tegas baginda lagi.


Tuanku Mizan bertitah untuk itu, umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara.


"Hendaklah mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.


“Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda.


http://bm.harakahdaily


TPM: Siar segera rakaman video perhimpunan 9 Julai
Jul 17, 11 1:53pm
Polis perlu segera menyiarkan rakaman video mengenai usaha mereka menangani perhimpunan 9 Julai lepas yang boleh menjadi bahan bukti untuk menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa polis bertindak ganas, kata timbalan perdana menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis perlu bertindak pantas memandangkan media alternatif dan penulis blog pro-pembangkang telah memainkan isu tersebut untuk memburukkan kerajaan.

"Jadi, untuk nak patahkan pembohongan dan putarbelit pembangkang, polis sudah bersedia dengan bahan-bahan bukti, baik rakaman video, kenyataan umum dan sebagainya, eloklah dikemukakan supaya rakyat dapat menilai siapa di pihak yang benar," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata rakyat pula tidak sepatutnya mendengar dari sebelah pihak sahaja, sebaliknya perlu membuat penilaian sewajarnya terhadap segala tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani suasana ketegangan yang dicipta oleh sekumpulan manusia dalam perhimpunan itu

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai fakta dan bukti yang kukuh yang akan digunakan bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mensensasikan pelbagai isu yang berlaku dalam perhimpunan Sabtu lepas, termasuk rakaman sepanjang perhimpunan itu.

Muhyiddin berharap apa yang disebutkan oleh Hishammuddin itu dapat dilakukan dengan segera oleh polis memandangkan mereka "tahu apa yang diputarbelitkan oleh pembangkang dan kita juga sudah menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh pembangkang." .

Muhyiddin turut meminta supaya rakyat memahami serta menghargai tugas polis dalam menangani situasi bagi menghalang perhimpunan itu daripada berlaku seperti kesesakan lalu lintas atau langkah-langkah lain yang diambil demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

"Rakyat mesti faham bila mana polis berdepan dengan situasi segerombolan yang sebegini, mereka mesti menangani secara bijaksana. Apa yang dibangkitkan oleh pembangkang dan banyak media alternatif, Youtube dan sebagainya adalah gambaran kezaliman. 

"Mereka hanya ambil gambar seolah-olah ketika polis bertindak tapi tidak mengambil gambar sebelum perkara ini berlaku yang mungkin sudah ada provokasi, baling batu, menjerit-jerit nak tunjuk begitu hebat mereka dengan pihak berkuasa polis. Mereka manusia, polis pun manusia juga. Yang penting mereka (polis) telah mengamalkan satu disiplin yang cukup di mana mereka bertahan sedangkan boleh bertindak lebih," katanya.

Katanya, rakyat juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang disiarkan atau dibaca di dalam blog-blog berkenaan sebaliknya perlu meneliti apa sebenarnya yang berlaku khususnya mengenai tujuan atau tuntutan awal BERSIH yang kini sudah beralih kepada isu lain.

- Bernama

No comments: