Cuba Banding

Monday, July 4, 2011

Nik Aziz nafi larikan diri dari Bersih

Nik Aziz nafi larikan diri dari Bersih
Harakahdaily   
MADINAH, 4 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak tuduhan dan anggapan beliau sengaja melarikan diri dengan mengerjakan umrah untuk mengelak dari menyertai himpunan Bersih 9 Julai ini.

Bercakap di Madinah yang disiarkan menerusi Youtube beliau berkata tuduhan itu tidak tepat dan tidak betuL, lapor penulis Mohd Sayuti Omar melalui blognya.

Kata Nik Aziz, tidak timbul beliau melarikan diri kerana beliau sudah menegaskan himpunan Bersih itu halal dan perlu disertai oleh orang ramai untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

"Himpunan itu atau demostrasi itu sama dengan kita berjemaah dalam melalukan ibadat," katanya.

Baginya himpunan untuk menuntut supaya pilihan raya diadakan dengan adil sangat perlu kerana keadilan itu tidak pernah dirasai sendiri oleh beliau.

"Setiap kali saya serta pilihan raya, saya tidak merasakan ia adil, tetapi selalu berat sebelah," katanya.

Dengan penjelasan itu tidak timbul kalau Menteri Besar Kelantan itu sengaja melarikan diri bagi mengelakkan daripada menghadiri himpunan terbesar tahun ini.

Beliau sekali lagi menyeru supaya orang ramai menghadirinya tanpa merasa takut dan gerun kepada polis.

"Yang menangkap (polis) orang yang kena tangkap pun orang. Semuanya akan menghadap Allah," tegasnya.

Apa yang hendak disampaikan bahawa tindakan polis itu bukan sesuatu yang perlu ditakut dan menjadi halangan kerana semua pihak ada tanggungjawab dan tugas masing-masing dan akan berhadapan dengan Allah s.w.t.

Sama ada apakah polis benar atau orang ramai salah kerana menghadiri himpunan itu Allah yang akan menentukan.

"Sebelum ini saya mendapat tahu beliau dan setengah rombongannya akan pulang pada 10 Julai sehari selepas himpunan Bersih.

"Apakah dengan kenyataan itu Tok Guru akan mempercepatkan pemulangannya bagi membolehkan beliau bersama dalam himpunan yang kini dalam keadaan krtikal itu?" tulis Sayuti dalam blognya.

No comments: