Cuba Banding

Thursday, June 30, 2011

Tren terakhir ke Singapura jam 11 malam selepas 60 tahun perkhidmatan







Operasi KTMB Stesen Tanjung Pagar, Bukit Timah dihentikan

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2011/06/30
Tren terakhir ke Singapura jam 11 malam selepas 60 tahun perkhidmatan
SINGAPURA: Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah di sini, akan tamat mulai tengah malam ini, apabila perkhidmatan ke republik itu berakhir di Woodlands Train Checkpoints mulai esok.
Tren terakhir KTMB akan meninggalkan Stesen Tanjung Pagar mulai jam 11 malam ini menjadi noktah perkhidmatan stesen kereta api Tanjung Pagar, yang turut dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan pengangkutan itu.
Pengurus Stesen Tanjung Pagar, Shamsul Bahri Sahri, 43, yang turut bersedih mengenangkan tamatnya operasi KTMB di situ, turut berbangga kerana menjadi antara 67 kakitangan termasuk di Stesen Keretapi Bukit Timah itu.
“Tentunya saya turut bersedih, apatah lagi sepanjang hampir 15 tahun bertugas di stesen ini, semua kakitangan di sini sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
“Malah, boleh dikatakan 30 Jun memori paling menyedihkan sepanjang perkhidmatan 25 tahun saya bersama KTMB,” katanya yang menganggap dirinya sebagai duta kecil negara di Singapura.
Ketua Stesen Keretapi Bukit Timah, Atan Ahmad, 46, berkata cabaran paling besar sepanjang dua tahun bertugas di stesen yang wujud sejak 1951 sebagai laluan Singapura – Kranji itu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.
“Pernah terjadi insiden gerabak terbalik akibat masalah teknikal, namun syukur tiada yang cedera, namun saya gembira dengan tugas sebagai pengawal landasan walaupun ia sangat berisiko.
“Justeru, semua memori akan terpahat sampai bila-bila dan saya pasti sedih bila perkhidmatan terakhir pada 30 Jun nanti,” katanya.
Jarak laluan dari Stesen Woodlands ke Stesen Bukit Timah adalah sepanjang 14 kilometer, manakala laluan dari Stesen Bukit Timah ke Stesen Tanjung Pagar adalah 10.25 kilometer.

Tanjong Pagar Station


Mengabadikan stesen Tanjong Pagar yang menamatkan khidmatnya pada 30 Jun, 2011. 

Selamat Tinggal Tanjung Pagar Dan Bukit Timah





Stesen Keretapi Tanjung Pagar, yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road, mempunyai nilai yang sungguh berharga dari segi sejarah dan sentimen bukan sahaja kepada Singapura malahan jirannya Malaysia. 

Apapun berkuatkuasa 1 Julai, 2011, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan, dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik itu di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).

Stesen Tanjung Pagar yang dibuka pada 1932 dan stesen Bukit Timah yang dibuka pada 1903 dijangka menyaksikan peranan baru tetapi struktur dan warisannya akan terus dikekalkan. 




Pada 24 Mei, 2010, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa khidmat KTMB akan berakhir di WTCP dan bukan lagi di Tanjung Pagar berkuatkuasa 1 Julai, 2011.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa struktur Stesen Keretapi Tanjung Pagar dan Stesen Keretapi Bukit Timah di Blackmore akan dikekalkan kerana nilai sejarahnya.

Sumber:
AsiaOne,Berita Harian

Sejarah Stesen Tanjung Pagar Dan Bukit Timah Akan Terus Kekal

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah



SINGAPURA, 18 Mei, Stesen Keretapi Tanjung Pagar, yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road, mempunyai nilai yang sungguh berharga dari segi sejarah dan sentimen bukan sahaja kepada Singapura malahan jirannya Malaysia.

Apapun berkuatkuasa 1 Julai, 2011, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan, dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik itu di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).

Stesen Tanjung Pagar yang dibuka pada 1932 dan stesen Bukit Timah yang dibuka pada 1903 dijangka menyaksikan peranan baru tetapi struktur dan warisannya akan terus dikekalkan.


Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan langkah mewartakan kedua-dua stesen itu sebagai tapak warisan adalah antara Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) yang dicapai pada 1990.

Beliau memberitahu Bernama Stesen Tanjung Pagar khasnya mempunyai nilai sentimental bagi rakyat Malaysia selain melambangkan hubungan sosial dan budaya antara kedua-dua belah tambak.

Md Hussin berkata persiapan bagi perkhidmatan KTMB berakhir di WTCP sedang berjalan lancar dan mengikut jadual.

BAGI GENERASI MASA DEPAN

Memandangkan kepada nilai sejarah kedua-dua stesen itu dan langkah untuk melindungi peninggalan fizikal warisan sejarah, kerajaan Singapura baru-baru ini mengumumkan komitmen untuk memulihara kedua-dua stesen itu.

Lembaga Pemuliharaan Monumen (PMB) mewartakan Stesen Keretapi Tanjung Pagar sebagai monumen negara, sementara Lembaga Pembangunan Bandar (URA) mewartakan Stesen Keretapi Bukit Timah Railway sebagai bangunan terpelihara.

Pada 24 Mei, 2010, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa khidmat KTMB akan berakhir di WTCP dan bukan lagi di Tanjung Pagar berkuatkuasa 1 Julai, 2011.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa struktur Stesen Keretapi Tanjung Pagar dan Stesen Keretapi Bukit Timah di Blackmore akan dikekalkan kerana nilai sejarahnya.

CIRI-CIRI SENIBINA

Stesen Tanjung Pagar khasnya, dianggap sebagai tanda tempat yang jelas kerana bentuk senibina muka hadapannya yang menampilkan ciri-ciri Neo-Classical dan Art-Decoe.

Ciri senibina lain yang dianggap menarik di stesen ini ialah bumbung 'barrel-vault' setinggi 72 kaki di atas balai menunggu serta lukisan mural yang menampilkan pemandangan dari Malaya.

Pada zaman di mana perjalanan dengan kereta api dikaitkan dengan kemewahan, stesen ini menampilkan keanggunan dan kemewahan.

KEKAL MENJADI TANDA TEMPAT

Menurut Jean Wee, Pengarah PMB, stesen ini akan terus kekal sebagai tanda tempat walaupun selepas ia mengambil peranan baru yang akan tetap melambangkan ciri dan kekuatan hubungan antara kedua-dua negara di kedua-dua belah tambak.

Dengan Stesen Keretapi Tanjung Pagar diwartakan sebagai struktur warisan, bilangan monumen negara di Singapura berjumlah 64.

STESEN KERETAPI BUKIT TIMAH



Stesen Keretapi Bukit Timah berhampiran King Albert Park adalah antara stesen kecil yang dibina untuk menghubungkan kawasan luar bandar Singapura.

Bangunan ringkas diperbuat daripada batu-bata ini bersama dewan menunggu terbuka ini dilihat sebagai satu lagi tanda tempat yang menarik.

Bangunan satu tingkat ini mengikut gaya tradisional yang lazim boleh ditemui di stesen bandar-bandar kecil di United Kingdom dan Malaya pada 1930-an.

Ler Seng Ann, Pengarah Kumpulan (Khidmat Pemuliharaan & Pembangunan) di URA, berkata bangunan serta struktur berkaitan dengan perkhidmatan kereta api di Singapura mewakili memori sosial kolektif Singapura.

"Program pemuliharaan URA diwujudkan untuk mengekalkan warisan binaan kita.

"Di bawah program yang memenangi anugerah ini, kami berjaya mengekalkan Clifford Pier dan bekas lapangan terbang Kallang yang menjadi gerbang keluar-masuk Singapura semasa zaman kegemilangannya.

Dan apabila struktur-struktur utama perjalanan kereta api dipulihara, maka secara tersendiri lengkaplah warisan sejarah pengangkutan Singapura.

Sumber: BERNAMA



2 comments:

Anonymous said...

Mereka yang terlibat menyerahkan tanah KTM di Singapura akan dikenang sampai bila-bila. Mereka akan kekal berada dalam lipatan sejarah. Kalau Sultan Hussien of Kampong Glam dikenang sebagai orang yang menyerahkan Temasek kepada Stamford Raffles, nama mereka yang terlibat menyerahkan tanah KTM di Singapura sebaris dengan Sultan Hussien of Kampong Glam. Kalau nama Sultan Hussien of Kampong Glam dikutuk sampai bila-bila, nama mereka yang terlibat menyerahkan tanah KTM di Singapura pun akan dikutuk sampai bila-bila.

Anonymous said...

Nilai sebenar tanah KTM di Singapura menurut anggaran pada tahun 1995 ialah RM1.5 trillion. Bagi forumer yang gagal matematik ketika UPSR (atau Penilaian Darjah Lima), RM1.5 trilion bermaksud RM1,500,000,000,000.00.

Itu adalah penilaian pada tahun 1995. Pada tahun 2011, nilainya bertambah berkali-kali ganda lagi. Pada tahun 2015, nilai tanah itu boleh mencecah RM3 trillion. Jumlah RM3 trillion itu kalau dibelanjakan untuk bajet tahunan negeri Kelantan, 7,500 tahun baru boleh habis. Apa yang Malaysia dapat sebagai imbuhan ialah tanah sekangkang kera di pinggiran pantai yang nilainya tidak seberapa.

Bandingan dengan bajet tahunan negeri Kelantan ialah RM400 juta. Bagi forumer yang gagal matematik ketika UPSR (atau Penilaian Darjah Lima), RM400 juta bermaksud RM400,000,000.00.

Tanah KTM sudah terlepas ke tangan Singapura. Persoalan yang timbul ialah, oleh kerana nilai tanah itu sangat mahal, siapakah yang mendapat komisyen dari GOS dan berapa banyak?