Cuba Banding

Wednesday, June 22, 2011

IRF: Ibrahim Ali kurang ajar


IRF: Ibrahim Ali kurang ajar
Dr Ahmad Farouk Musa
Jun 22, 11
9:43am
Kongsi 25
Kami membaca berita tentang Ibrahim Ali daripada PERKASA mendakwa kononya akan mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH 2.0 daripada mengadakan perhimpunan pada 9 haribulan Julai dengan penuh rasa marah dan kesal. 

Tindakan dungu membakar dan memijak gambar Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan suatu penghinaan yang sungguh menjelikkan. Tambahan pula menggelarkan beliau dengan panggilan “wanita Hindu” adalah bersifat kurang ajar dan jelas menggambarkan sikap biadab Presiden PERKASA itu sendiri.

Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa perhimpunan yang dirancang adalah dipelopori oleh masyarakat madani tanpa sebarang perintah daripada mana-mana parti politik. 

Tuntutan telah pun disampaikan bahawa kami menuntut pilihanraya yang bebas dan adil serta demokrasi liberal yang tulen. Untuk bertahun lamanya kita telah melihat pengaturan undi dan penentuan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada pihak tertentu (gerimander). 

Tidak lupa juga liputan media yang berat sebelah dan mendiamkan sebarang kritikan ke atas parti pemerintah.
Tidak pernah ada 'lapangan permainan' politik yang sama rata dan kita telah lelah melihat pelbagai gangguan politik. Amalan rasuah yang menjijikkan begitu tersebar luas sehingga seakan-akan telah membudaya di dalam masyarakat.

Inilah masanya untuk perubahan, dan biarlah BERSIH 2.0 menjadi pemangkin kepada perubahan itu. Ancaman Presiden PERKASA bahawa apa-apa pun boleh terjadi pada hari tersebut dan masyarakat Tiong Hua hendaklah membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah tidak akan melunturkan semangat kami untuk berarak demi demokrasi. 

Keputusan pilihanraya terkini di Sarawak jelas menunjukkan tiada sebarang perubahan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil seperti yang dijanjikan.

Dengan itu kami telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kebejatan sistem yang ada sekarang adalah dengan mengadakan satu perhimpunan aman. 

Hak untuk berhimpun adakah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (Artikel 20) dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21).

Kepada saudara Muslim yang berniat untuk terus berkecuali dan tidak mahu ambil peduli dengan tindakan angkuh yang tidak menghormati prinsip-prinsip demokrasi, kami ingin mengingatkan bahawa tindakan berdiam diri hanya akan memperkukuhkan pemerintahan kuku besi yang korup, dan tiada perubahan akan dapat dilihat dengan hanya berdoa untuk perubahan tanpa sebarang usaha.
“Sesungguhnya, Tuhan tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri” [Qur'an 13:11]

Sekiranya demokrasi itu mencambahkan “semangat penentangan”, maka sebenarnya ia telah pun menjadi sebahagian daripada sejarah dan budaya umat Islam. Imam-imam kepada mazhab-mazhab fekah utama dalam Islam bersungguh-sungguh memprotes daripada mazhab mereka dijadikan mazhab rasmi negara pada zaman itu. 

Ramai telah dipenjarakan akibat kritikan terhadap pemerintah di zaman mereka. Kita adalah pewaris kepada tradisi ini, yang membekalkan umat Islam hari ini dengan khazanah idea-idea yang demokratik.

Rejim kuku besi haruslah diajar bahawa cukuplah apa yang telah mereka lakukan selama ini. Ayuh hadir pada 9 haribulan Julai, baik lebatnya hujan ataupun teriknya mentari, kita akan berada di sana, berarak untuk kebebasan dan demokrasi.
Penulis adalah Pengerusi dan Pengarah, Islamic Renaissance Front (IRF)

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
AMK desak Ibrahim Ali ditangkap dan didakwa
Abdul Rahim Sabri & Norain Saleh
Jun 22, 11
1:30pm
Kongsi 132
Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip di ibu pejabat polis Dang Wangi pada jam 12.24 pagi ini.

NONEBeliau turut diiringi enam anggota AMK termasuk timbalan ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Dalam laporan polis itu, Rozan mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIh tidak dibatalkan.

Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.

NONE"Saya percaya bahawa kata-kata ini berunsur hasutan jenayah yang menjurus kepada keganasan secara khusus ditujukan kepada orang berbangsa Cina yang ingin mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dijamin di bawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, bebas dari sebarang ancaman keganasan dari mana-mana pihak semasa menyertai perhimpunan BERSIH," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan itu, Rozan mendakwa perbuatan Ibrahim adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.

"Saya dengan ini menuntut agar Ibrahim Ali ditangkap dan didakwa di mahkamah sesegera mungkin," katanya.

NONESeksyen tersebut merujuk kepada perbuatan, mengedar atau membuat kenyataan yang berbentuk hasutan dan mengajak membuat jenayah.

Sehubungan itu, Rozan meminta polis untuk mengambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Bagaimanapun semalam Ibrahim berkata kenyataan beliau itu bersifat nasihat dan bukannya satu ugutan.
Dalam sidang media selepas itu, Rozan berkata kenyataan Ibrahim dilihat bertujuan ingin mencari publisiti murahan untuk menjadi wira orang Melayu.

“Kami yakin ini ialah sebenarnya niat jahat dan publisiti murahan Ibrahim Ali supaya beliau terkenal dan segera ditangkap dan menjadi seolah-olah hero Melayu.

NONE"Pada hakikatnya, perkara itu kita tidak mahu, sebaliknya ia satu (perkara) yang memalukan bangsa dan imej orang Melayu,” kata Rozan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Ibrahim mengaitkan kaum Cina dalam ucapannya yang didakwanya boleh menimbulkan perasaan takut di kalangan mereka.

"Kenapa beliau tidak tujukan kepada kaum Melayu, pada hal beliau mewakili NGO Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Rozan berkata pihaknya tidak bersetuju penggunaan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap Ibrahim.

Ini kerana, katanya, ia bercanggah dengan perjuangan mereka untuk memansuhkan kedua-dua akta tersebut.

Sehubungan itu, katanya, AMK berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas dalam menangani NGO yang mengamalkan perkauman kerana ianya bercanggah dengan perjuangan transformasi 1Malaysia

“Pada hakikatnya (ianya hanya) retorik kalau tiada tindakan segera diambil terhadap Ibrahim Ali,” katanya.

No comments: