Cuba Banding

Friday, September 16, 2011

ISA dan Akta Buang Negeri dimansuhkan


K'jaan mansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri
Sep 15, 11 9:03pm
Kongsi 2768
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959.
"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," katanya dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia malam ini dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1.
Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan," tambahnya.
Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa," tambahnya.
sementara itu, Najib berkata, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, ditamatkan kuatkuasanya.
"Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau," tambahnya.

Gubal dua undang-undang baru

Bagaimanapun, katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

"Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Di atas segalanya, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri," tambahnya.

Di sudut lain, tambahnya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," tegasnya.
"Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan.
"Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk.
"Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya," tambahnya.

http://www.malaysiakini


Hisham: Akta baru ganti ISA tak ambil masa lama
Sep 15, 11 10:45pm
Kongsi 250
Proses menggubal undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan tidak akan mengambil masa yang lama kerana kerajaan tidak perlu membentangkan sebarang pindaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata undang-undang baru itu akan merujuk undang-undang di negara lain sebagai contoh.

"Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, contohnya Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia, semua ini boleh dijadikan contoh dalam kita hendak memerangi keganasan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas ucapan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri malam ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan terus ISA selain kajian komprehensif pihak kerajaan terhadap beberapa undang-undang lain, antaranya Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Polis 1967.

Kajian itu akan dimulakan dengan mengambil kira pandangan pihak dan agensi yang berkaitan, katanya.

Hishammuddin juga berkata fokus utama kerajaan selepas ini ialah mencari keseimbangan antara kepentingan dan keselamatan, serta kepentingan suasana demokrasi semasa dalam menggubal undang-undang baru itu.

Selepas pemansuhan ISA, kerajaan perlu lebih matang menangani risiko dengan pewujudan dua undang-undang baru yang bakal digubal.

"Risikonya berhubung kait dengan mencari keseimbangan antara keselamatan dan kepentingan negara, selaras dengan tuntutan dan suasana demokrasi semasa, jadi risiko dalam apa jua keadaan sentiasa wujud.

"Saya yakin dengan apa yang diumumkan malam ini, perjalanannya bermula dua tahun dahulu, dan ia telahpun mengambil kira pandangan pihak berkuasa seperti polis, tentera dan agensi yang terlibat dengan ISA," katanya.

Kira-kira 700 wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan awam menghadiri acara khas itu, yang diakhiri dengan nyanyian lagu sempena sambutan Hari Malaysia bersama-sama perdana menteri.

Bernama


Najib: ‘Kerajaan insaf realiti negara sudah berubah’


Oleh G Manimaran September 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah selain merasai resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya.

Sehubungan itu kata beliau (gambar), kerajaan juga merasakan bahawa pendapat, idea dan kebimbangan massa perlu lebih diberi perhatian agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal “dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka.”

“(Oleh itu) kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

“Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam ini.

Katanya, sebagai yang ramai maklum bahawa kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini.

Malah beliau juga mengumumkan beberapa perkara lain termasuk tindakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia antara perubahan paling drastik dalam tempoh pascapilihan raya umum Mac 2008.

Katanya, dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik.

“Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan.

“Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai,” katanya.

Dari perspektif undang-undang Islam pula, kata beliau, “ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda.”

“Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku.

“Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai,” katanya lagi.

Tambah Najib, perkembangan ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing.

“Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

“Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu,” kata beliau sambil menambah, “itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.”

http://www.themalaysianinsider

No comments: