Gigi, rusuk patah: Keluarga tetap tunggu laporan HKL
Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu.
Sedangkan, pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Allahyarham pada malam 9 Julai lalu, kata seorang anak mangsa berkenaan, Mohd Nasrul.
"Saya tertanya-tanya, kenapa kami belum dapat lagi (laporan bedah siasat), tapi polis dah keluar kenyataan," kata Mohd Nasrul, 22, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau juga enggan memberikan komen lanjut berhubung kecederaan yang dialami mangsa berkenaan memandangkan keluarganya masih belum menerima laporan tersebut walau telah berkali-kali mendesak hospital berkenaan.
Namun, polis telahpun menafikan dakwaan bahawa pasukan berkenaan telah melakukan keganasan ke atas Allahyarham Baharudin manakala kecederaan dialami mangsa itu pula berpunca daripada rawatan yang diberikan ke atasnya.
Seorang pegawai kanan Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada Jumaat lalu dilaporkan sebagai berkata, tulang rusuk mangsa yang patah itu juga "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.
Gigi lelaki berusia 58 tahun itu pula "mungkin" patah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam mulut lelaki berkenaan bagi tujuan "menyedarkannya semula."
Salleh turut mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.
Ketika ditanya, anak mangsa berkenaan bagaimanapun pantas menjawab, beliau tidak akan memberikan komen selagi belum melihat laporan bedah siasat berkenaan."Kami pun tak dapat laporan bedah siasat, sebab kematian pun tak tahu. Jadi tunggu keputusan bedah siasat dahulu baru kami boleh komen," kata Mohd Nasrul lagi.
Tambahnya, pihak Hospital Kuala Lumpur memberitahu beliau bahawa keluarga mangsa tersebut hanya akan menerima keputusan berkenaan dalam tempoh "empat hingga enam minggu lagi."
Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis
http://www.malaysiakini.
Pengundi hantu: Pengakuan SPR bukti dakwaan Pakatan benar, kata PAS
July 25, 2011
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pusingan-U apabila secara rasmi mengakui wujudnya pengundi hantu dalam daftar pilihan raya.
Exco Dewan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat berkata pengakuan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar membuktikan segala dakwaan Pakatan Rakyat dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) selama ini adalah benar.
Bersih 2.0 dalam tuntutannya juga meminta agar SPR membersihkan daftar undi bersama tujuh tuntutan lain termasuk mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Wan Ahmad semalam dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah menafikan kewujudan “klon” dalam daftar pemilih.
Sehubungan itu, jelas beliau, SPR sentiasa menggesa pengundi agar tampil memeriksa pendaftaran mereka selain mengharapkan kerjasama parti politik untuk membersihkan daftar semasa.
Beliau menjawab persolaan yang ditimbulkan oleh Suhaizan sebelum itu berhubung dakwaan pendaftaran berganda di Baling dan Kuala Nerang.
“Setelah 16 hari Himpunan Bersih 2.0 akhirnya SPR mengaku bahawa terdapat klon kepada kad pengenalan pengundi yang terdapat dalam daftar pemilih sah yang dikeluarkan SPR dan secara tidak langsung Wan Ahmad telah mengaku bahawa pengundi hantu benar-benar wujud.
“Ini merupakan kenyataan pusingan-U SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui, malah menuduh Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita untuk melunturkan keyakinan rakyat kepada SPR,” kata Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat.
Jelas beliau, pengakuan Wan Ahmad itu, yang disiarkan satu akhbar tempatan semalam, berkisar pada pendedahan dibuat mengenai seorang wanita yang memiliki dua hak mengundi dan seorang lelaki yang mempunyai dua identiti.
“Mariam Binti Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510 dan dia memiliki dua hak mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dan Parlimen Baling,” katanya.
Dia merupakan pemilih berdaftar di lokaliti 016/32/10/003 iaitu Kampung Jawa, Kuala Ketil.
Kata Suhaizan, seorang lagi pemilih bernama Murugan a/l Subramaniam pula dilahirkan pada 02 Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan a/l Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, DUN, Parlimen dan negeri yang sama.
“Hanya empat digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan Subramaniam. Nombor kad pengenalan pertama Murugan Subramaniam adalah 731002025877 dan kad pengenalan kedua adalah 731002025201,” katanya.
Tegas Suhaizan, dua insiden itu membuktikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR telah melakukan kesalahan yang besar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kes Mariam Su dan Murugan Subramaniam telah membuktikan dua kesalahan besar yang dilakukan oleh JPN dan SPR iaitu pertamanya JPN telah mengeluarkan satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua identiti, keduanya SPR telah membenarkan seorang pemilih memiliki hak mengundi lebih daripada sekali.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) kedua-dua jabatan ini perlu dikaji semula, sistem komputer JPN dan SPR telah menggunakan SOP yang salah,” katanya.
Selama ini SPR telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya pengundi hantu yang kerap kali dibangkitkan Pakatan Rakyat.
Sebelum ini dalam beberapa siri pilihan raya kecil Pakatan Rakyat turut membangkitkan isu pengundi hantu namun dinafikan kewujudannya oleh SPR.
Selain itu Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar.”
Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.
Kejadian itu dikatakan berlaku di Selangor, Kelantan dan negeri-negeri lain namun dinafikan SPR.
Dalam pada itu Suhaizan juga mengkritik proses pembatalan data bertindan yang didakwa memerlukan proses rumit.
Ini kerana Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan daftar yang sedia berkuat kuasa menjadi keterangan prima facie bagi menentukan sama ada seseorang berhak mengundi.
Sehubungan itu, Suhaizan berkata, jika pilihan raya diadakan pada waktu terdekat, ia akan menggunakan daftar pemilih yang diragui.
“Mana-mana parti yang menang dalam pilihan raya ke-13 tetapi mempunyai data-data pemilih yang meragukan mungkin boleh dibatalkan kemenangannya. Ini merupakan sesuatu yang serius bakal akan berlaku.
“Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu suruhanjaya diraja mengkaji sistem perjalanan pilihan raya dalam negara kita yang dilihat bermasalah,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.
http://www.themalaysianinsider
Kajian: Kos hidup naik, BN boleh rasa tempias di PRU
July 25, 2011
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.
Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.
Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.
Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.
Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.
Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.
“Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik,” kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.
Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.
Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka “miskin” sekarang ekoran peningkatan inflasi.
Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.
Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.
“Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga),” katanya lagi.
Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.
Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.
Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.
“Kehidupan di sini semakin buruk sekarang,” kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.
Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.
Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.
Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.
“Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini,” kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.
“Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup,” katanya lagi.
Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.
“Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya,” kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.
“Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran,” katanya.
Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.
“Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.
Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.
“Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?” kata Wan Saiful.
“Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB,” katanya lagi sambil menambah, “sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang.”
Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.
Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.
Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.
Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.
Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.
Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.
Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.
“Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua,” katanya dengan nada kesal.
No comments:
Post a Comment