Misteri Tandan Pisang Paling Panjang
Posted on 06 June 2013.
Shafie (kiri) dan Abdul Hamid menunjukkan tandan pisang yang mempunyai ketinggian orang dewasa
JENGKA 19 – Seorang peneroka, di sini, terkejut melihat pokok pisang milik jirannya mengeluarkan tandan buah yang mempunyai ketinggian orang dewasa.
Peneroka terbabit, Shafie Mat Akhir, 51, berkata, rupa pelik tandan pisang berkenaan disedarinya tiga hari lalu.
“Ketika itu saya sedang membaiki kereta, sambil itu saya pandang sekeliling rumah, tiba-tiba saya nampak buah pisang ini. Peliknya ia memanjang dan tidak seperti tandan pisang lain,” katanya.
Pemilik pokok pisang berkenaan, Abdul Hamid Mohd, 60, berkata, pokok terbabit ditanam isterinya, Razemah Awang Mohd, 60, pada November tahun lalu.
“Pokok pisang ini dibawa pulang oleh anak pakcik. Ia mula berbuah Januari lalu dan pakcik tengok semakin lama ia semakin memanjang.
“Kalau diperhatikan, jantung pisang ini masih lagi mengeluarkan buah. Pakcik tidak tahu sepanjang mana ia akan berhenti berbuah,” katanya.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, tandan pisang itu dianggarkan sepanjang 2.5 meter dan mengeluarkan sebanyak 2,500 biji buah.
Abdul Hamid berkata, dia tidak memaklumkan kejadian pelik pokok pisangnya kepada orang ramai kerana menganggap ia perkara biasa.
Katanya, jika ada yang berminat untuk membeli buah pisang itu, dia akan menjualkan pada harga yang ditawarkan mengikut keadaan.
“Pakcik tidak tahu ia pisang jenis apa dan masih tidak tahu sama ada ia boleh dimakan atau tidak.
“Pakcik masih menunggu sehingga jantungnya habis mengeluarkan buah, lepas itu barulah boleh tahu,” katanya.
Sumber dari: Sinar
No comments:
Post a Comment