Peguam kepada Rafizi Ramli hari ini menayangkan klip video ucapan Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam perhimpunan agung wanita Umno tahun lalu di mahkamah, yang antara lain menyifatkan pengarah strategi PKR itu sebagai 'Si Tanggang'.
NONEShahrizat yang juga ketua Wanita Umno pada 30 November lalu ketika menyampaikan ucapan dasarnya antaranya melabelkan Rafizi sebagai "si Tanggang muda" berikutan serangannya berhubung isu National Fidlot Corporation (NFC.)

Beliau dilaporkan berkata, Rafizi sepatutnya "belajar dengan ibu-ibu" di perhimpunan itu dan bukan jadi "anak derhaka, jual agama dan bangsa".
NONEVideo yang dimainkan oleh peguam Ranjit Singh itu juga menunjukkan Shahrizat sebagai berkata, Rafizi - bekas pegawai di Petronas - dilihat seperti menentang orang yang memberinya biasiswa.

Shahrizat sebelum ini diasak hebat oleh Rafizi dalam isu NFC yang dimiliki anggota keluarganya, sehingga memaksanya berundur sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada April lalu.

Sementara itu, Shahrizat juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berdepan dengan serangan pembangkang dalam isu NFC merupakan "cabaran terbesar" dalam karier politiknya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Shahrizat menafikan beliau menjadi bebanan kepada BN, Umno dan kerajaan berikutan skandal projek Pusat Fidlot Nasional.
    
Shahrizat berkata peletakan jawatannya pada April lepas juga bukanlah kerana menjadi bebanan parti yang diwakili.
    
Ketua Wanita Umno itu berkata tindakan meletak jawatan adalah satu pengorbanan untuk keluarga akibat fitnah tersebut.
    
"Saya meletak jawatan untuk membersihkan nama saya dan keluarga, serta berkorban demi parti," katanya ketika disoal balas peguam Ranjit Singh, yang mewakili Mohd Rafizi.

Shahrizat turut memberitahu mahkamah Zuraida dan Mohd Rafizi telah menzalimi serta memfitnahnya dengan mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.
    
Beliau juga menyalahkan mereka berikutan tersiarnya berita (di beberapa laman portal) berhubung saranan beberapa bekas pemimpin tertinggi Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Rafidah Aziz, yang memintanya meletak jawatan.
    
Ditanya Ranjit rasional tindakan meletak jawatan sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati beliau bebas daripada projek NFC, Shahrizat berkata, "Ia kerana kata-kata fitnah daripada kedua-dua defendanterhadap saya dan keluarga. Saya mempunyai suami dan tiga orang anak, dan mahu bersama mereka."
    
Shahrizat menyifatkan serangan itu bagaikan dirancang dan amat kejam kerana ia mempersoal tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri, ibu, wanita dan pemimpin.
    
Pada 19 Januari lepas, beliau memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya dalam isu NFC.
    
Beliau menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai 

gantirugi teladan dan teruk, selain injunksi bagi menghalang defendan terus mengeluarkan kenyataan, sama ada secara lisan atau penerbitan, terhadapnya berhubung NFC atau syarikat bersekutu.
    
Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Mac tahun depan.

 http://www.malaysiakini.com/news/211767