Cuba Banding

Sunday, August 5, 2012

Setiausaha agung PKR disiasat polis kerana dakwa timbalan pengerusi SPR ahli Umno


August 05, 2012
SHAH ALAM, 5 Ogos — Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini disiasat oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkenaan dakwaan setiausaha agung PKR itu bahawak timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli kepada parti Melayu Umno. 
Saifuddin (gambar) disiasat atas tuduhan fitnah jenayah kerana memperlihatkan kononnya SPR adalah sebuah badan yang tidak adil dan bekerja untuk memenangkan Umno. 
Ahli parlimen Machang itu ditemani oleh peguamnya, Latheefa Koya. 
“Ye, Saifuddin sedang disiasat sekarang di IPD Putrajaya. 
“Saya bersama beliau,” kata Latheefa ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi. 
Saifuddin sebelum ini dalam sebuah kenyataan pernah mendakwa bahawa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga adalah ahli Umno. 
Setiausaha agung PKR itu menjelaskan nombor keahlian Abdul Aziz ialah 113804 dan berdaftar di Cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Lembah Jaya dalam Parlimen Ampang, Selangor. 
Manakala nombor keahlian Umno bagi Wan Ahmad pula ialah 2374564 dan beliau berdaftar dalam Cawangan Kubang Bunggor DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas di Kelantan. 
Walaubagaimanapun, Wan Ahmad menafikan dakwaan Saifuddin yang kononnya beliau adalah ahli Umno. 
Menurut timbalan pengerusi SPR lagi, dakwaan tersebut adalah satu pembohongan dan fitnah yang berat bertujuan merosakkan nama dan integritinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR. 
Latheefa memberitahu, Saifuddin dipanggil polis berikutan dengan laporan polis yang dibuat sendiri oleh Wan Ahmad pada 17 Mei lalu. 
“Laporan polis dibuat kerana Saifuddin dakwa dia (Wan Ahmad) ahli Umno. 
“Ia berdasarkan kepada wawancara Saifuddin dengan Sinar Harian yang dilakukan oleh G. Manimaran,” katanya lagi. 
Peguam PKR itu berkata, kes ini dibawah kategori jenayah fitnah. 
“Siasatan dijalankan dibawah seksyen 500, Kanun Keseksaan. 
“Setakat ini kita belum tahu apa tindakan polis yang selanjutnya,” kata Latheefa lagi.

1 comment:

Anonymous said...

Tindakan terdesak.Doalah banyak2 agar umno melingkup dalam pru 13 nanti dan bersihkan semua agensi seperti PDRM , SPR , JPN , SPRM agar mereka menjadi lebih berakauntibiliti, dan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat bukan kepada pemimpin zalim.