Posted on Monday, July 30 @ 09:18:05 MYT by paktam Oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad Apakah reaksi SELURUH rakyat Terengganu apabila tanah milik kerajaan negeri terpaksa dilelong oleh sebuah bank ekoran kegagalan membayar pinjaman bank? Inilah yang berlaku kepada tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) seluas kira-kira 15 hektar yang terletak di Mukim Kerteh yang terpaksa di lelong. Tanah yang menjadi milik kerajaan negeri ini telah digadaikan kepada bank pada tahun 1997 bagi membangunkan satu projek 432 lot perumahan bercampur yang dikenali sebagai ‘Bandar Baru Kerteh Jaya’. Amat memalukan! Akibat kegagalan membayar pinjaman, Hong Leong Bank telah melelong tanah milik kerajaan negeri ini melalui satu lelongan awam yang telah diadakan pada 18 Julai, 2012. Menurut dokumen Lelongan Awam terbabit, tanah tersebut telah di lelong pada jam 10.30 pagi di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Sebuah syarikat bukan Bumiputera, yang berpengkalan di Pulau Pinang, Alam Sierra Development Sdn Bhd telah menjadi pembida tunggal yang berjaya membida tanah kerajaan negeri itu dengan harga rezab RM 5.594 juta. Ia mempunyai 158 lot tapak rumah banglo, 168 lot tapak rumah berkembar dan 106 lot tapak rumah kedai. Persoalan besar yang menjadi tanda-tanya kepada seluruh rakyat Terengganu kini adalah, siapakah yang bertanggungjawab dengan kejadian yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu ini? Apakah kerajaan Terengganu khususnya Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu ambil peduli sehingga tanah milik kerajaan ini ‘terlelong’ begitu sahaja kerana ianya digadai kepada bank bukan di zaman pemerintahan beliau? Atau apakah kerajaan negeri sudah kehabisan sumber kewangan sehinggakan tidak mampu lagi untuk membida bagi menebus kembali tanah milik kerajaan ini? Semua rakyat Terengganu tahu bahawa pentadbiran Ahmad Said boleh berbelanja besar setiap tahun. Sejak tiga tahun lepas lebih RM6 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek-projek mewah seperti Kawasan Bebas Cukai di Kenyir dan pembinaan Zoo di Kemaman yang di luluskan diatas nama pembangunan untuk rakyat Terengggganu. Namun kejadian yang sama ini juga berlaku apabila tanah orang-orang Melayu di bandaraya Kuala Terengganu terhakis apabila ada tanah milik orang Melayu di pusat bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain. Kerajaan negeri gagal memainkan peranan bagi menghalang tanah milik orang Melayu bertukar tangan setelah dimajukan pihak tertentu. Ia tergadai kerana kerajaan negeri tidak ada dasar yang berkesan. Saya telah berkali-kali memaparkan di ruang ini tentang masadepan perkampungan orang-orang Melayu yang terletak di bandaraya Kuala Terengganu yang kini seolah-olah menjadi pelarian di bumi sendiri. Masa depan mereka tidak menentu dengan siri demi siri pengambilan tanah penduduk yang dilakukan oleh kerajaan negeri di atas nama ’pembangunan’ dan membela orang-orang Melayu Terengganu. Kebanyakan rakyat yang terlibat dengan pengambilan tanah ini adalah penduduk asal Melayu yang tinggal di bandar dan pinggir bandaraya Kuala Terengganu sejak ratusan tahun. Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada kampung tradisi seperti Kampong Tanjung, Ladang Sehat, Bukit Besar, Losong hingga ke Pasar Cabang Tiga. Sepatutnya kerajaan negeri meneliti dengan serius cadangan agar agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu (LTAWNT), Yayasan Terengganu dan Yayasan Islam perlu memain peranan mengambil alih tanah milik orang Melayu di sekitar bandaraya Kuala Terenggan. Meskipun ada sebahagian dari tanah-tanah ini bersaiz kecil, namun ia amat penting dimajukan demi kebaikan ekonomi dan masadepan anak bangsa Melayu Terengganu. Namun sehingga kini kepimpinan Menteri Besar tidak mempunyai kepekaan bgi mendengar rintihan rakyat ini dan dan tanah-tanah ini tergadai begitu sahaja ditelan pembangunan. Kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat sepatutnya lebih peka dengan isu-isu yang amat penting ini khususnya bagi penduduk asal Melayu terengganu yang telah ratusan tahun meneroka negeri ‘Darul Iman ini’. Tergadainya tanah milik kerajaan di Kerteh ini membuktikan bahawa kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar sekali lagi gagal dan tidak mampu memikul amanah bagi membela rakyat Terengganu Darul Iman. Mungkinkah juga seluruh negeri penyu bertelur ini akan juga ‘terlelong’? ---------------------------------------------- Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it , Twitter; @syedazman http://www.detikdaily.net |
KUALA LUMPUR, 26 Julai — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan Pulau Pinang hari ini turut mengumumkan bonus Aidilfitri untuk kakitangan kerajaan negeri yang dipimpin mereka, menjadikan mereka bersaing dengan Barisan Nasional (BN) demi mendapat sokongan rakyat sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian sama kepada penjawat awam kerajaan.
Di George Town, Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bonus setengah bulan dengan kadar minimum adalah RM600 kepada 3780 kakitangan kerajaan negeri.Beliau turut mengumumkan pembayaran RM300 kepada 10 penyelia dan 1,391 buruh. Kesemuanya menelan kos sejumlah RM3.9 juta.
Di Selangir pula, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaannya akan membayar separuh bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam negeri.Tambahan RM200 bonus turut dimasukkan ke dalam simpanan skim Selangorku untuk setiap kakitangan. Sementara tambahan RM200 lagi akan didepositkan ke dalam akaun Tabung Haji bagi beragama Islam, manakal untuk bukan Muslim, akan mendapat pembayaran melalui Bank Simpanan Nasional.
Perbelanjaan itu akan menyaksikan Selangor menampung beban sejumlah RM20 juta.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian separuh bulan bonus berjumlah RM500 bagi kakitangan awam dan tambahan RM500 untu pesara yang akan dibayar bermula 9 Ogos depan.
Pembayaran bonus itu bakal menyaksikan kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2.2 bilion dan memanfaatkan 1.27 juta kakitangan awam termasuk 657,000 pesara kerajaan.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan pentadbiran Najib mungkin akan melaksanakan pilihan raya pada September, sebelum Hari Malaysia jika meneruskan rancangan untuk membubarkan Parlimen bulan hadapan.
Difahamkan, pembantu Najib dan pegawai rasmi BN telah memberi penerangan untuk menangguhkan pilihan raya antara Hari Raya Aidifitri, pada 19 Ogos, dan pembentangan Bajet pada 28 September. Hari Malaysia jatuh pada 16 September.
Najib sedang berkira-kira tentang tarikh pilihan raya walaupun menyuarakan keyakinan akan memenangi semua kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
BN menguasai Putrajaya dengan sembilan negeri, manakal Pakatan Rakyat menguasai Kedah, Selangor, Kelantan, dan Pulau Pinang. PR hilang Perak selepas tiga wakil rakyat mereka menjadi Bebas pada Febuari 2009 dan membolehkan BN menawan kembali negeri tersebut.