Suasana itu berterusan sehingga petang semalam, malah warnanya bertambah pekat sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk dan individu yang melalui kawasan pinggiran sungai itu.
Seorang pemuda, Mohd Najid Ahmad, 21, berkata, keadaan cuaca dalam keadaan baik dan tidak berlaku hujan lebat atau rebut petir yang menjejaskan kandungan air sungai seperti sebelum ini.
Menurutnya, lazimnya ketika musim tengkujuh air sungai hanya meningkat dan berwarna keruh seakan air teh sahaja.
“Fenomena kali ini amat luar biasa yang tidak pernah dilihat sepanjang hayat dan saya percaya penduduk di pinggiran sungai juga maklum dengan perbezaan suasana air sungai kemerahan ini.
“Saya tidak dapat menjangka apakah punca berlaku perubahan warna air seperti ini tetapi pihak berkaitan wajar lakukan siasatan dan pantau agar tidak memudaratkan orang ramai,” katanya.
Libat banyak kawasan
Fenomena ini tidak berlaku di Jeram Besu sahaja memandangkan banyak kawasan perkampungan terlibat secara langsung sepanjang Sungai Lipis.
Tinjauan Sinar Harian mendapati aliran sungai di Sega, Kuala Atok hingga ke Benta turut menunjukkan fenomena serupa.
Mohd Najid berkata, tidak mustahil keadaan ini berlaku di antara lokasi sekitar Hutan Simpan Tersang memandangkan punca air sungai di Ulu Slim dan Ulu Sungai tidak terjejas langsung seperti di Sungai Lipis.
Katanya, kebanyakan penduduk tidak dapat menjangka sebarang kemungkinan yang berlaku tetapi perasaan ingin tahu terlalu menebal.
“Bagi menentukan punca fenomena ini bukanlah bidang kemahiran kita tetapi penduduk wajar diberikan penerangan tentang perkara sebenar yang berlaku.
“Difahamkan wakil kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada melakukan tinjauan dan siasatan di beberapa kawasan sepanjang Sungai Lipis,” katanya.
Mohd Najid dan penduduk kampung berharap agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat memberikan jawapan tepat kepada masyarakat setempat tentang fenomena sungai merah itu.
Bukan tanah runtuh
Sinar Harian difahamkan bahawa kemungkinan kejadian seperti itu bukanlah akibat daripada tanah runtuh di bahagian hulu sungai tetapi faktor lain yang masih belum jelas puncanya.
Mohd Najid berkata, golongan dewasa memberitahu kepadanya sekiranya berlaku tanah runtuh, kandungan warna air hanya keruh pekat seperti teh susu.
Katanya, jika berlaku hujan lebat di bahagian hulu sungai juga tidak menjadikan warna air berubah teruk kerana ditapis daun-daun dan akar pokok di hutan.
Mahu siasatan segera
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Hoh Khai Mun berkata, beliau masih belum menerima aduan rasmi penduduk berkaitan kejadian itu.
Katanya, pegawai daripada Jabatan Perhutanan dan JAS akan dihantar untuk menyiasat punca sebenar fenomena sungai merah yang berlaku sepanjang Sungai Lipis ini.
“Kita akan dapatkan laporan lengkap daripada siasatan itu dan akan memaklumkan perkembangannya kepada masyarakat tidak lama nanti,” katanya./Sinar harian
No comments:
Post a Comment