Cuba Banding

Saturday, March 31, 2012

PM bayangkan akan kawal media

PM bayangkan akan kawal media dalam talian
Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dibentangkan di Parlimen pada sesi yang sedang berlangsung bersama dengan undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan dalam Negeri 1960, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata selain daripada memansuhkan keperluan pembaharuan lesen secara tahunan, kerajaan juga mengambil keputusan untuk mengkaji secara komprehensif terhadap keperluan kewujudan akta sedia ada dengan mengambil kira kemajuan sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT) hari ini.

"Kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mempunyai 'double standard' (memberi layanan berbeza) dalam peraturannya terhadap media cetak dan media digital," katanya ketika berucap pada majlis Malam Kewartawanan Malaysia dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 di
Kuala Lumpur Jumaat malam.

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya.

Najib berkata langkah-langkah yang kerajaan laksanakan barang kali digemari pihak antarabangsa sehingga menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia pada 2011 bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.

Di kalangan 178 negara yang dipantau organisasi Wartawan Tanpa Sempadan, Malaysia kini berada pada tangga 122 berbanding 141 pada 2010, naik 19 anak tangga, katanya.

"Di kalangan negara-negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar.

"Tetapi sebelum dibuai oleh penilaian itu, ingin saya tegaskan kita tidaklah terlalu taksub dengan 'rating' (penarafan) yang diberi oleh pihak luar itu atau menjadikan penarafan itu satu 'gold standard' (piawaian emas) dalam mengukur kebebasan media kita. Kita mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri yang perlu dijaga," katanya.

Beliau berkata kerajaan amat menyedari keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan sesebuah negara.

"Kita perlu bersyukur kerana Malaysia semenjak merdeka telah memiliki tradisi serta budaya media seumpama ini. Hakikatnya dalam komuniti hampir 200 negara-negara bangsa di dunia, kenapakah ada negara yang berjaya dan kenapa pula ada negara yang dikategorikan sebagai gagal.

"Apakah faktor-faktor yang menentukan jaya atau gagal sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor-faktor tersebut serta faktor-faktor lain yang tidak disebut?" soal beliau.

Najib berkata dalam lipatan sejarah, ada negara yang mempunyai sumber alam yang melata dan modal insan yang produktif namun menjadi negara yang gagal.

Ada juga negara yang berjaya sebahagian daripada perjalanan tetapi kemudian mula terbantut proses pembangunannya manakala ada juga kategori yang walaupun tandus sumber alam tetapi berjaya kerana gabung jalin faktor-faktor lain yang dimiliki, katanya.

"Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah tetapi saya yakin dan percaya peranan dan kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan.

"Jika media sesebuah negara tidak memainkan peranan yang sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebar maklumat, mendidik, advokasi dan mencetuskan debat terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara adil dan bertanggungjawab maka media sebenarnya 'are not doing a service' (tidak memberi khidmat) kepada negara, rakyat dan kerajaan," katanya.

Beliau bekata kerajaan menghormati kedudukan media sebagai sebuah entiti bebas yang melaksanakan peranan untuk memantau dan menegur pentadbiran kerajaan.

"Seperti yang selalu saya sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir," katanya.

Kerajaan turut menyambut baik usaha para peneraju pengarang media cetak untuk menubuhkan sebuah Majlis Akhbar Malaysia yang bertindak sebagai badan pengawas untuk mengukuhkan tahap profesionalisme industri berita di negara ini, katanya.

Beliau berkata di bawah persepakatan itu, para editor bersetuju untuk menyediakan satu kod etika yang memperincikan prinsip-prinsip kewartawanan untuk dijadikan prinsip panduan dalam tugas-tugas pengumpulan dan penerbitan maklumat bagi dijadikan hasil kewartawanan.

"Saya menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas yang telah dibentuk oleh pengarang-pengarang itu untuk menghasilkan kod etika yang boleh digunakan dan dilaksanakan sepenuhnya.

"Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkaitan dengan profesionalisme kewartawanan ini. Kerajaan akan menerima apa juga cadangan yang dikemukakan dengan hati dan fikiran yang terbuka," katanya.

Najib berkata beliau setuju dengan pandangan rakan-rakan wartawan bahawa peraturan-peraturan sedia ada berhubung media tidak boleh kekal statik.

"Peraturan-peraturan itu bukannya dibancuh dalam acuan simen yang tidak boleh dipecahkan. Kita sekarang berada pada era digital yang memberikan kita semua akses kepada maklumat tanpa batas.

"Dasar kerajaan sendiri adalah untuk mewujudkan negara tanpa wayar sepenuhnya kerana kita tidak mahu warga Malaysia menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam era dunia tanpa sempadan sekarang.

"Komitmen saya adalah untuk melahirkan warga Malaysia yang berfikiran global dengan akarnya kukuh pada peringkat lokal atau glokal," katanya.

- Bernama

Ramalan muram Mahathir musnah keyakinan Najib?

Ramalan muram Mahathir musnah keyakinan Najib?

Lim Kit Siang,31 Mac 2012
Menjelang Pilihan raya Umum Ke-13 yang dijangka akan berlangsung pada bulan Jun, Najib dalam bayang kempen-kempen pilihan raya beliau semenjak tiga bulan ini telah menunjukkan keyakinan yang meningkat untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang, termasuklah untuk merampas kembali negeri Selangor dari pucuk pimpinan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Populariti Najib yang kelihatan meningkat 10 poin kepada 69 peratus berikutan peranan baru beliau sebagai “Santa Claus” dengan pemberian tunai RM500 Najib kepada golongan yang berpendapatan rendah dan deretan kontrak yang bernilai jutaan ringgit serta peruntukan-peruntukan yang telah diagihkan seiring dengan dasar falsafah beliau “I help you, you help me”. Namun demikian, kadar populariti Najib tidak dapat dibandingkan dengan parti-parti komponen Barisan Nasional.

Minggu lepas sahaja, Najib telah menyebut dengan bangga maklum balas rakyat yang sangat menggalakkan dan kononnya rakyat jelata telah memaklumkan kepada beliau bahawa sokongan rakyat telah dikembalikan kepada Barisan Nasional semenjak pilihan raya 2008.

Semuanya sudah kelihatan siap sedia untuk menghadapi Pilihan raya Umum Ke-13 pada bulan Jun.

Tetapi sesuatu yang aneh telah berlaku dalam beberapa hari yang lepas di mana momentum untuk pilihan raya diadakan pada bulan Jun tiba-tiba kelihatan goyah.

Adakah keyakinan Najib untuk meraih kemenangan besar dalam Pilihan raya Umum ke-13 dimusnahkan oleh ramalan muram Mahathir?

Kelmarin, dalam ucapan terbaru, sebagai amaran kepada Barisan Nasional, Mahathir telah menyatakan bahawa “Tiada kemenangan yang mudah”, dan supaya Barisan Nasional jangan terus yakin dan percaya yang mereka boleh menikmati kemenangan pilihan raya yang terjamin, terutama sekali kerana Pakatan Rakyat merupakan pihak pembangkang yang bukan dari zaman beliau sebagai Perdana Menteri.

Seperti yang dimaklumkan oleh Mahathir kepada Bernama Online:

“Apa yang pasti adalah, bukan mudah untuk BN meraih kemenangan dua pertiga majoriti untuk kali ini. Pihak pembangkang sekarang bukanlah seperti pembangkang dahulu dan situasi sekarang agak membimbangkan”.

Sehari sebelum itu, Umno telah digemparkan dengan kenyataan Mahathir untuk membedil keyakinannya apabila beliau membuat pengakuan yakni Umno tidak memiliki pemimpin yang bertauliah dan berkualiti untuk membentuk kerajaan yang berkemampuan sebagaimana yang diketahui “Sudah berdekad, Umno “tidak membenarkan” golongan yang bijak untuk mendaftar sebagai ahli parti”.

Kini Mahathir memberi sokongan kepada Umno bahawa parti tersebut perlu mencalonkan orang luar untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, mencalonkan “calon yang bermutu”, sama ada yang dicalonkan itu mempunyai keahlian dengan parti ataupun tidak dan meninggalkan kebiasaan mereka dalam pemilihan calon dari ketua bahagian untuk bertanding.

Dengan keyakinan awal Umno untuk meraih kemenangan besar dalam PRU ke-13 yang semakin terhakis dan peluang untuk merampas kembali pentadbiran negeri Selangor serta pengekalan negeri Perak di bawah jajahan mereka, mood pilihan raya nampaknya sudah ditetapkan bagi Najib, menjelang ulang tahun ketiga sebagai Perdana Menteri, untuk berdolak-dalik menundakan tarikh pilihan raya pada masa yang lebih lewat.

Lim Kit Siang ialah Penasihat DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Friday, March 30, 2012

Peneroka Felda diminta menandatangani akuan sumpah untuk sokong FGVH

'Peneroka Felda diminta tandatangan sokong FGVH'
Peneroko Felda diminta menandatangani akuan sumpah untuk memberikan sokongan kepada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, dakwa NGO yang rapat dengan PAS.

NONEPresiden Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata, tindakan itu boleh menghilangkan hak mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan pada masa depan.

Pihak peneroka atau pewaris tanah diminta menandatangani akuan itu yang digelar "borang biru", dakwa Mazlan dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Dakwanya, borang itu sebenarnya akuan bersumpah supaya peneroka tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Felda, seperti terkandung dalam perenggan lima di halaman kedua.

[Berita penuh menyusul]

Lima negeri ‘dalam bahaya’ untuk BN ketika PRU,

Lima negeri ‘dalam bahaya’ untuk BN ketika PRU, kata Khir Toyo

March 30, 2012
KUALA LUMPUR, 30 Mac — Bekas Jawatankuasa tertinggi Umno Dr Mohd Khir Toyo telah menyenaraikan lima negeri yang mungkin sukar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya akan datang, kerana formula lama yang digunakan untuk meraih undi tidak lagi berkesan.
Antara negeri yang dinamakan Khir adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan juga Kuala Lumpur, yang mana jumlah pengundinya tidak mempunyai perbezaan ketara antara Melayu dan bukan Melayu.
“Ini adalah negeri yang sukar, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah, jika kita lihat pengundi di sini, bilangan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama dengan pengundi Melayu, jumlah mereka tidak banyak berbeza.
“Negeri-negeri ini dalam bahaya,” kata Khir (gambar) kepadaThe Malaysian Insiderdalam temuramah eksklusif minggu lalu.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata sementara Melayu masih lagi menyokong Umno, kebanyakan sokongan tersebut adalah daripada kumpulan pengundi di kawasan luar bandar, sementara pengundi “bandar” akan mengundi untuk Pakatan Rakyat (PR).
“Bukan kerana pembangkang bagus. tidak, mereka banyak kelemahan. Adakah mereka menunaikan janji mereka? Tidak.
“Namun pengundi bandar adalah sangat berbahaya di negeri-negeri ini. Masalahnya adalah menjadikan Umno terlalu dominan ... mungkin akan hilang negeri ini,” katanya.
Sementara Umno melakukan segala tugas BN akan menjadikan pengundi bukan Melayu seperti tidak berkuasa akan menyebabkan kurangnya sokongan kepada kerajaan.
“Saya belajar dari kesilapan saya. Menjadikan Umno terlalu dominan dalam BN adalah tidak baik. Kepimpinan negara perlu mempunyai strategi lain.
“Lihat PAS, mereka lebih berbahaya daripada Umno tapi bukan Melayu tetap menyokong mereka, kenapa? Kerana mereka tidak dominan dalam Pakatan,” tegas Khir.
Pemimpin Umno itu turut mengeluh kerana adalah sukar untuk mengukur sokongan terhadap BN daripada bangsa, dan menyalahkan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana tidak cukup agresif.
Isu lain menurutnya adalah masalah pertuturan antara pengundi bukan Melayu dan Umno.
“MCA, MIC sepatutnya turun padang dan bercakap dengan pengundi. Umno sudah lakukannya untuk Melayu.
“Bila Umno cuba untuk berkomunikasi dengan bukan Melayu, kadangkala berlakunya halangan dari segi bahasa, contohnya, di bandar, mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, tapi sesetengah pemimpin Umno tidak dapat memahaminya,” tambahnya lagi.
Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh” MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.
“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya.
Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan oleh sebab itu pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.
“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum pilihan raya.
“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat (Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”
Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu menyokong BN.


http://www.themalaysianinsider.com/






PRU13: Rakyat gusar taktik kotor Umno BN

Harakahdaily,30 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa yakin sekiranya Pilihan raya Umum ke 13 dijalankan dengan adil, bersih dan telus berkemungkinan besar Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya.


Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ini hasil kajian daripada pelbagai pihak, dan daripada ‘mood’ serta momentum yang dicetuskan oleh rakyat dengan semangat mahukan angin perubahan dalam pilihanraya umum ke 13.

Namun demikian, ujarnya sejak akhir-akhir ini, sudah beberapa gambaran taktik dan strategi kotor dalam PRU digunakan dapat dikesan melalui pendedahan beberapa individu.

Ini, katanya termasuk pendedahan bekas pemimpin terrtinggi Umno, Tan Sri Syeikh Abdul Kadir Syeikh Fadzir bahawa Umno mengamalkan taktik membeli undi dalam pilihanraya sebelum ini.

“Pengakuan bekas Ketua Penerangan Umno bahagian Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bahawa Umno mengamalkan taktik persempadanan kawasan mengundi bagi memenangkan mereka menguatkan lagi hujah penipuan yang telah dan bakal dicipta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya isu pertukaran tempat mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parlimen Petaling Jaya Utara di Selangor kepada Parlimen Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan amat menggusarkan rakyat.

Tambahnya, tidak pasti pula berapa jumlah sebenar ‘mangsa’ pemindahan tempat mengundi dan tiada jaminan pengundi lain tidak akan diperlakukan perkara yang sama dalam PRU ke 13 nanti.

SPR pula, ujar beliau telah mendaftarkan seramai 240,000 petugasnya sebagai pengundi pos, suatu jumlah yang agak besar dan cukup untuk membantu memenangkan banyak parlimen yang terlibat kepada satu pihak.

“Pendedahan Dr Hatta Ramli, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga ahli Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi penambahbaikan pilihanraya bahawa terdapat seramai 79,098 pengundi ragu dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mempunyai alamat sama menambah keraguan adakah pilihanraya kali ini akan berlangsung dalam suasana yang amat kotor,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, katanya PAS WP meminta pemimpin serta jentera Pakatan Rakyat bersiap sedia dengan menumpukan usaha memastikan segala penipuan dalam PRU13 nanti dapat dihidu dan dibongkarkan agar taktik ini tidak dapat dilaksanakan nanti.

Tambahnya lagi, tidak mustahil semua taktik yang telah didedahkan termasuk ‘taktik tawan Terengganu 2004’ digunapakai di seluruh negara bagi memenangkan sebuah kuasa yang dalam keadaan terdesak sekarang.

Tegasnya, PAS WP percaya rakyat mahukan sebuah pilihan raya yang benar-benar adil dan bersih yang ditentukan oleh rakyat sebagai pengundi yang sah.

Rakyat juga, ujarnya lagi tidak mahukan sebuah pilihan raya kotor yang sarat di dalamnya dengan unsur penipuan.

“Masa depan negara perlu ditentukan oleh pengundi sah, bukan ditentukan oleh pengundi yang bukan mendapat warganegara segera, pengundi yang telah mati, serta pengundi pos,” katanya.

Justeru, kata beliau PAS WP mengingatkan Umno BN agar tidak berniat mahupun melakukan apa juga taktik kotor dalam menghadapi PRU13.

“Jadilah insan yang berjiwa besar dengan menerima apa juga keputusan rakyat dengan menjalani sebuah pilihanraya yang adil dan bersih.

“Jika tidak, jangan dikesali jika rakyat kemudiannya bangkit meruntuhkan rejim yang kotor dan korup ini dengan cara yang paling menghinakan,” katanya lagi.


http://bm.harakahdaily.net/



Panas! Terbongkar sudah siapakah YB yang ditahan di pusat hiburan

Diterbitkan oleh: Editor@WD
Rabu, Mac 28, 2012
WarkahDaily -- Berikutan tersiarnya laporan berita seorang wakil rakyat Adun Melaka telah ditahan bersama-sama 27 orang yang diperiksa dalam serbuan dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah pusat hiburan di Melaka baru-baru ini [Baca sini], ramai membuat andaian siapakah wakil rakyat yang ditahan itu.

Sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh edisi cetak bertarikh 26hb Mac 2012 dilaporkan telah membuat pembongkaran siapakah wakil rakyat bergelar YB yang ditahan itu.

Para blogger pro Pakatan Rakyat turut tidak ketinggalan membuat 'penyiasatan' membongkar siapakah YB berkenaan.

Akhirnya dalam blog erapasca.com mendakwa, wakil rakyat yang di tangkap sebagai pelanggan kelab malam itu ialah seorang YB dari Barisan Nasional (BN) iaitu Adun RIM dalam parlimen Jasin.

Apa yang mengejutkan menurut blog berkenaan, wakil rakyat berkenaan merupakan Timbalan pengerusi Hal Ehwal Islam negeri Melaka (timbalan exco agama).

Dakwa blog itu lagi, wakil rakyat itu juga banyak menyandang jawatan antaranya Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Jasin, AJK Perhubungan negeri Melaka selain terlibat dengan Belia 4B dan menjadi Pengerusi Bola Sepak Melaka.

Kelmarin, PAS Melaka menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendedahkan siapakah YB yang ditahankan itu. PAS memberi tempoh seminggu untuk Ali Rustam mendedahkannya siapakah YB yang terlibat dengan gejala tidak sihat itu [Baca sini].

Apa yang menyedihkan, menurut laporan dalam Sinar Harian baru-baru ini, YB yang memegang portfolio timbalan exco agama itu menjadi pelanggan kepada kelab malam yang disertai para pelayan daripada wanita tempatan dan warga asing.

Sungguh memalukan jika dakwaan itu benar. Bagi penulis WarkahDaily (WD), inilah gambaran jelas bagaimana rosaknya integriti yang ditonjolkan oleh Umno-BN yang dikatakan memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Apa yang pasti, golongan sebegini merupakan makhluk perosak yang bakal meruntuhkan moral masyarakat negara kita.

Lebih memeranjatkan lagi, antara yang ditahan itu, sebahagiannya didapati positif dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri. Jangan jadi, "harapkan pagar, pagar makan padi".

--WARKAHDAILY

http://warkahdaily.blogspot.com/





'Siasat anak PM berhubung manipulasi harga saham'

'Siasat anak PM berhubung manipulasi harga saham'
Suruhanjaya Sekuriti (SC) digesa menyiasat anak kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - Nazifuddin - berhubung dakwaan manipulasi harga saham.NONEDalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (kiri) berkata penglibatan Nazifuddin baru-baru ini dalam dua syarikat yang harga saham banyak turun naik, adalah sangat mencurigakan.

Dalam kes pertama, harga saham Harvest Court Industries Bhd melonjak 2.575 peratus selepas Nazifuddin menyertai lembaga pengarahnya akhir tahun lalu, dan harganya merudum selepas dia berhenti sebulan kemudian.

Kes terbaru melibatkan Supercomnet Technologies Bhd, yang menyaksikan harga sahamnya melonjak 362 peratus selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah ditawarkan pilihan untuk memperolehi 18.66 peratus saham.

Harga saham Supercomnet merudum dua hari kemudian selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah menolak tawaran saham tersebut.


http://www.malaysiakini.com/


Tuan rumah sidang gas dunia, M’sia rayu Israel

Hazayani Zakaria,29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac:PKR mendedahkan bahawa Umno BN memohon bantuan dari Israel sewaktu melobi untuk menjadi tuan rumah Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung pada 4 hingga 8 Jun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan merayu bantuan Israel itu turut mendapat restu dan nasihat Wisma Putra.

"Keadilan mempunyai bukti yang mengesahkan sikap talam dua muka Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara malaysia dan Israel sedang ia menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. (Gambar Suara Keadilan)

Beliau turut  menunjukkan satu surat dari wakil Malaysia kepada wakil Israel yang mengesahkan bahawa Wisma Putra telah merestui pendekatan merayu bantuan dan sokongan Israel demi mendapatkan hak penganjuran sebuah persidangan antarabangsa.

Penganjuran persidangan itu, kata Saifuddin dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh Petronas dan dinasihati mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persidangan itu adalah persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh negara.

Justeru, Saifuddin mendesak Wisma Putra dan Tun Mahathir menjelaskan pendirian mereka berhubung perkara itu kerana ia bertentangan dengan solidariti rakyat malaysia yang memperjuangkan hak rakyat Palestin.

"Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomat menentik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Tuesday, March 27, 2012

Tender untuk ambil alih projek pusat fidlot nasional

K'jaan buka tender ambil alih projek pusat fidlot nasional
Kerajaan akan membuka tender kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengambil alih projek ternakan lembu daging Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
    
Beliau berkata kementerian itu serius untuk memastikan projek tersebut dapat diteruskan dan berjalan lancar seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Menurutnya, cadangan mempelawa syarikat lain meneruskan projek itu telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta diminta memastikan projek itu diteruskan, lapor Bernama.
    
"Kita telah melantik juruaudit bebas kerana kita serius (untuk teruskan projek ini). Kita juga dalam proses kedua iaitu membuka tender projek untuk diteruskan oleh mana-mana syarikat yang berminat," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
    
Isu NFC berbangkit apabila didakwa telah menyalah guna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging.

Dalam ucapannya, Noh tidak menyebut sama ada keluarga menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kehilangan projek tersebut.

Beliau juga tidak menyebut sama ada kerajaan persekutuan akan mendapatkan semula pembayaran daripada pinjaman mudah RM250 juta kepada keluarga Shahrizat.

Masalah yang melibatkan NFC pertama kali didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang menunjukkan syarikat itu gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2007.

Berikutan ini, PKR mengeluarkan dokumen yang menunjukkan bahawa pinjaman mudah RM250 juta didakwa telah disalahgunakan untuk beberapa pelaburan yang tidak berkaitan dengan industri pemeliharaan lembu.

Ini termasuk pembelian beberapa unit kondominium mewah di Kuala Lumpur dan luar negara, meneroka industri restoran dan pasar raya serta sebidang tanah di Putrajaya.

Selepas berbulan-bulan menafikan sebarang salahlaku, Shahrizat mengumumkan pada 11 Mac bahawa beliau tidak akan dilantik semula sebagai senator apabila tempohnya tamat pada 8 April.

Sehari selepas membuat pengumuman tersebut, suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa atas dua tuduhan pecah amanah jenayah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965.





malaysiakini.

Adakah Hisham jenis menteri tidak kisah?

Samseng: Adakah Hisham jenis menteri tidak kisah?

Harakahdaily,27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: “Kenapa sekarang baru Datuk Seri Hishammuddin Hussien Onn  menyatakan ahli politik diminta lapor pada polis jika rasa terancam?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad(gambar).

Tanya beliau lagi, apakah Hishammuddin selaku Menteri Dalam Negeri tidak dimaklumkan atau memang jenis menteri yang tidak mengambil kisah berkenaan dengan beberapa gangguan oleh samseng Umno yang mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

“Sekarang baru beliau bersuara. Itu pun apabila kononnya Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong hendak dipukul pada 25 Mac lepas ketika beliau menghadiri perhimpunan membantah kekurangan guru pendidikan Cina di Kajang.

“Jika tidak kena kepada Dr Wee, maka Hishammuddin masih tertidur dan tidak kisah apa anggota bawahan beliau buat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di antara ceramah Pakatan Rakyat yang diganggu ialah pada 21 Januari lalu  iaitu ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Klang sehingga seorang cedera dan 11 Februari pula ceramah aktivis pelajar di Kampung Idaman Klang.

Selain itu, ceramah Mohamad Sabu di Seremban, Rembau, Muar, malahan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Februari di Sembrong, Johor iaitu kawasan parlimen Hishammuddin sendiri sehingga cermin kereta dinaiki Anwar pecah.

“Begitu juga ceramah Anwar Ibrahim diganggu di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka. Sehingga kini ceramah Pakatan Rakyat diganggu oleh penyokong Umno BN di Melaka.

“Kenapa pihak polis tidak bertindak kepada samseng upahan Umno?” tanya Idris.

Beliau berkata, mereka melakukannya sebagai provokasi untuk menguji penyokong Pakatan Rakyat.

“Kita bimbang jika perkara ini berterusan ia akan memberi suasana yang tidak baik di dalam iklim politik di negara ini,” ujarnya.



harakahdaily.





Najib Penipu ; Bongkar Ketua Audit Negara
Berita, Komentar, Ulasan & Pendapat
Sekali lagi, Laporan Ketua Audit Negara membongkar segala masalah yang berlaku di dalam Malaysia. Dan kali ini, Tan Sri Ambrin Buang membuat kenyataan bahawa hutang sebenar negara adalah RM 362.39 bilion! Jauh dari kenyataan Perdana Menteri semasa ucapan Bajet 2011 tempohari iaitu RM 233.92 bilion.


Berikut di bawah merupakan petikan teks kenyataan dari Ketua Audit Negara
(baca selanjutnya....)


Ketua Audit: Hutang negara pada paras tertinggi
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun. 
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini. 
Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu. 
Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK. 
Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar. 
Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan
Dari sini, dapat dilihat Perdana Menteri kita tidak bersifat jujur dalam menutur apa yang sebenarnya berlaku. Rakyat berhak tahu dalam perkara ini. Hutang sebenar Malaysia iaitu RM 362.39 bilion itu adalah mencakupi lebih dari 50% KDNK, iaitu pada 53.7 peratus. Bermakna Malaysia telah berada dalam keberhutangan yang agak serius buat pertama kali dalam sejarahnya sendiri.

Soal kami di sini, mengapa perlu berdolak-dalih untuk mengatakan perkara yang benar? Kalau hutang negara RM 362.39, cakap betul-betul. Tak perlulah nak menipu dalam ucapan Bajet 2011 tempohari dengan mengatakan hutang Malaysia berjumlah RM 233.92 Bilion.

Sangat besar perbezaan nilai di situ iaitu lebih RM 130 bilion! Bukan RM 130. Seperti artikel yang kami paparkan pada tempohari berkenaan hutang negara yang perlu dilunaskan dalam tempoh tiga tahun, dengan kenyataan dan angka terbaru yang diberikan oleh Ketua Audit Negara ini, sah Malaysia telah berhutang melebihi KDNK yang sepatutnya berada pada paras maksimum 40%.

Dengan jumlah hutang sebenar yang banyak ini, ditambah pula dengan pelbagai lagi Projek Mega yang bakal dibina seperti Menara Warisan dan yang lain-lainnya, di mana sebenarnya terletak slogan ” Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan”?

Sudah pasti dengan jumlah hutang yang besar ini, kerajaan juga terpaksa memikirkan cara untuk mengaut kembali wang-wang yang telah dibazirkan. Dan di antara langkah-langkah yang pasti, adalah menaikkan cukai, dimana kerajaan dapat memungut hasil secara langsung dan tidak langsung.

Akhirnya, ianya kembali membebankan rakyat. Mungkin golongan rakyat yang mewah, tidak merasakan apa-apa, namun kita perlu ingat bahawa, golongan rakyat di Malaysia ini juga dah jadi macam Piramid. Di mana, golongan pertengahan dan golongan miskin yang menjadi mangsa di atas kecuaian dan pembaziran kerajaan.

Janganlah memperbodohkan rakyat lagi macam apa yang berlaku tidak lama dulu semasa ingin menaikkan harga barangan. Cakap sahaja harga barang perlu dinaikkan, tidak perlu cakap “Penyelarasan Harga Barang”, untuk menidakkan maksud sebenar yang tidak difahami oleh rakyat.

Cuma satu sahaja yang kami fikirkan, adakah Laporan Ketua Audit ini sebenarnya memberikan kesan kepada pemerintah sekarang. Macam tahun lepas juga, pelbagai skandal yang dapat dibongkarkan seperti Skandal Projek Landasan Berkembar Eletrik dan Skandal PKFZ yang akhirnya, senyap begitu sahaja./BR